Sabtu, 19 Mei 2018

England tuan rumah, juara Piala Dunia 1966


PEMAIN England meraikan kejayaan muncul juara Piala Dunia selepas
PEMAIN England meraikan kejayaan muncul juara Piala Dunia selepas mengalahkan Jerman Barat pada 1966.
19 Mei 2018 3:00 AM

22
PENGANJURAN Piala Dunia 1966 di England yang berlangsung 11 hingga 30 Julai menyaksikan buat pertama kali dalam tempoh 32 tahun akhirnya skuad The Three Lions dinobat sebagai juara di laman sendiri dan penggunaan maskot kejohanan mula diperkenalkan.

Selain kecemerlangan tuan rumah itu, pasti ramai yang tidak mengetahui bahawa England FA berdepan situasi cemas dua bulan sebelum bermulanya kejohanan apabila trofi Jules Rimet hilang secara misteri daripada bilik pameran di Methodist Central Hall London, Westminster pada Mac.


Itu adalah kali pertama trofi berprestij tersebut hilang daripada simpanan sejak diperkenalkan pada 1930.

Ketika itu keadaan panik menyelubungi tuan rumah kerana trofi tersebut hilang di England yang pastinya akan mengaibkan tuan rumah sebagai penganjur.

Bagi berdepan situasi cemas tersebut Setiausaha England FA ketika itu, Daniel Follows telah mengupah seorang penempa barangan perak, George Bird untuk mengukir sebuah replika mirip trofi Jules Rimet dengan tujuan bagi mengaburi pandangan umum dan merahsiakan sementara insiden kehilangan misteri berkenaan.

Ketika siasatan terperinci telah dijalankan oleh England bagi mencari trofi tersebut, pihak media telah menghidu situasi cemas penganjur hingga memaksa tuan rumah mendedahkan perkara sebenar.

Akhirnya pada 27 Mac, seorang lelaki dikenali sebagai David Corbett yang sedang berjalan sekitar kediamannya di Norwood, Selatan London telah menemui trofi Piala Dunia tersebut.

Corbertt yang ketika itu sedang perjalanan bersama anjing belaannya bernama Pickles dapat merasakan sesuatu tidak kena apabila haiwan tersebut meluru ke arah satu balutan pakej hitam di tepi jalan.

Reaksi luar biasa ditunjukkan oleh anjing tersebut memaksa Corbett membuka bungkusan tersebut sebelum tergamam selepas mendapati ia adalah Jules Rimet.

Piala Dunia 1966 juga adalah penganjuran dengan catatan rekod jumlah kehadiran penonton tertinggi dalam tempoh 28 tahun iaitu 1.5 juta sebelum rekod itu diatasi oleh penganjuran Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat, 3.5 juta penonton keseluruhan.

Setiap kejohanan Piala Dunia tidak akan sunyi daripada kontroversi begitu juga pada 1966 yang menyaksikan pasukan dari Benua Afrika memboikot kejohanan tersebut kerana tidak puas hati dengan peraturan kelayakan ditetapkan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).

Dalam perlawanan akhir, England menang 4-2 ke atas Jerman yang menyaksikan pemain tuan rumah, Geoff Hurst melakukan hatrik, hatrik pertama dalam saingan akhir Piala Dunia.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/england-tuan-rumah-juara-piala-dunia-1966-1.675281#ixzz5FzHeUvLA
SUMBER-© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan