Kolumnis
Jumaat, 11 Mei 2018 | 7:0
Oleh Ahmad Zaini Kamaruzzaman
KONGSI ARTIKEL
KATAKAN apa sahaja. Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelmarin menunjukkan berlaku tsunami. Jika PRU-12 pada 2008 dilanda tsunami Cina, kali ini berlaku gelombang lebih besar, yakni tsunami rakyat.
Dari Perlis sampai ke Sabah, isyarat yang diberikan pengundi adalah rakyat menjadi penentu siapa atau parti mana yang layak memerintah.
Barisan Nasional (BN) tewas selepas memerintah selama 61 tahun. Kerusi yang diperoleh pula jauh merosot kepada hanya hanya 79 berbanding 133 pada PRU-13.
UMNO, tunjang kepada BN hilang 34 kerusi apabila hanya menang 54 kerusi, berbanding 88 kerusi pada PRU-13. Kecuali Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang masing-masing mengekalkan satu kerusi, parti komponen lain mengalami kemerosotan.
MCA menyusut daripada tujuh kepada satu kerusi MIC (4-2), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (14-13), Parti Rakyat Sarawak (6-3), Parti Demokratik Progresif (4-2), UPKO (3-1) dan PBS (4-1).
Ramai yang mencari jawapan apa yang sebenarnya berlaku sehingga BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak, bukan sahaja gagal membentuk kerajaan, malah pencapaian jauh merosot daripada pilihan raya lalu.
Pelbagai andaian dan analisis dibuat, namun yang jelas adalah penolakan pengundi terhadap BN. Kenapa mereka menolak? Jawapannya pelbagai.
Nama Najib disebut pengundi
Seorang pegawai ibu pejabat UMNO berkata, memang sukar menerima keputusan itu, tetapi ada beberapa perkara yang menyebabkan keputusan tidak memihak kepada BN.
"Isu GST, 1MDB, kos sara hidup tidak dapat dijawab. Pengundi juga sudah membuat ketetapan lebih awal tidak memilih kita. Nama Datuk Seri Najib disebut oleh pengundi. Mereka mahu digantikan dengan Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) sebagai Perdana Menteri," katanya.
Beliau mengakui UMNO gagal mengesan gelombang tsunami kerana ia melanda tanpa diduga. Ia hanya dikesan apabila jentera turun menemui pengundi ramai yang bertanya mengenainya dengan riak wajah kelihatan hambar.
BN membuat perkiraan mampu menang sehingga 130 kerusi walaupun ada seorang menteri berani menyatakan BN mampu menang sehingga 149 kerusi, melepasi angka 148 bagi membentuk kerajaan dua pertiga kali ini.
Namun, ia tidak menjadi walaupun menampilkan rekod cemerlang sepanjang lima tahun lalu, selain tawaran manifesto yang pada anggapan kebanyakan penganalisis serta pakar ekonomi dan kewangan sebagai yang terbaik untuk rakyat.
Pengaruh media sosial
Penganalisis politik, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani menjelaskan pengundi bandar dan pinggir bandar menolak BN kerana kemarahan kepada Najib dan dasar ekonomi seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta isu FELDA, selain faktor sabotaj dalaman oleh ahli dalam parti komponen BN sendiri.
"Ini menyebabkan kemenangan besar PAS di Kedah dan Terengganu, selain Pakatan Harapan di beberapa kubu kuat UMNO seperti Kedah, Perak, Johor dan Selangor," katanya.
Beliau mengakui ada faktor pengundi muda dan belia bawah usia 40 tahun yang berjumlah lebih tujuh juta. Media sosial mempengaruhi mereka mengenai isu nasional dan setempat yang boleh diperoleh di hujung jari.
"Isu calon juga menjejaskan peluang BN kerana menampilkan calon lama dan baharu yang ditolak pengundi. Mereka dilihat tidak berjiwa rakyat dan lebih menjaga kepentingan diri serta kroni.
Gagal atasi isu dibangkit PH
Tinjauan penulis di beberapa negeri mendapati, selain lambat membaca isyarat gelombang tsunami, BN gagal menangani isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Harapan, sebaliknya menyerang keterlaluan, terutama terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jentera BN di Parlimen Kuala Kedah menghadapi masalah memberi penjelasan kepada ahli pada peringkat akar umbi kerana mereka sendiri tidak pasti apa yang mahu dijelaskan, termasuk serangan terhadap Dr Mahathir.
Seorang bekas Ahli Jawatankuasa UMNO cawangan dan aktif pada peringkat bahagian ketika ditemui tiga hari sebelum hari mengundi pula berkata, beliau hilang kepercayaan terhadap parti serta pemimpinnya kerana pelbagai isu, khususnya 1MDB dan GST.
Beliau yang memandu Grab mendakwa boleh membawa sekurang-kurangnya 15 ahli UMNO mengundi Pakatan Harapan dan berkempen kepada pelanggan sepanjang perjalanan ke destinasi mereka.
Isu pokok yang dibangkitkan rakyat tidak ditangani sewajarnya. BN mempertahankan diri dengan menyerang, tetapi tidak cukup berbisa untuk melumpuhkan musuh. Serangan terhadap usia 93 tahun Dr Mahathir yang terlalu tua untuk menjadi Perdana Menteri tidak diterima oleh rakyat.
Dr Mahathir pula dilihat lebih fokus dalam membuat serangan dengan hanya menjadikan Najib sebagai sasaran. Ia berkesan dan menarik minat pengundi apabila ribuan hadir setiap kali ceramah di seluruh negara.
Jumlah jutaan penonton yang mengikuti ceramah secara langsung menerusi Facebook Live pula tidak disangka menjadi realiti hingga dibawa ke kertas undi dengan memilih Pakatan Harapan.
Menurut penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain pula, beberapa faktor boleh dikaitkan, termasuk persepsi tebal pengundi yang mengaitkan BN dan UMNO sebagai parti tidak ada integriti, rasuah dan gagal mentadbir urus.
"Serangan terhadap pemimpin tertentu dalam siri jelajah kempen juga memberi kesan. Dalam ceramah di Johor misalnya, Pakatan Harapan mengeksploitasi kelemahan pemimpin tertentu untuk dapatkan sokongan rakyat. Mereka tidak perlu pun jelaskan manifesto dan tawaran yang hendak diberikan," katanya.
Kelemahan kepemimpinan parti komponen
Selain itu, kelemahan kepemimpinan parti komponen terserlah apabila tiga presiden parti - MCA, MIC dan GERAKAN - kalah. Kekuatan BN yang sepatutnya dibantu oleh parti komponen hanya dominasi oleh UMNO.
Katanya, jika PRU-13 banyak berkisar soal kepentingan Melayu/Islam lawan bukan Melayu/Islam, kini isu lebih besar berkaitan massa, iaitu isu ekonomi dan sara hidup mempengaruhi pola pengundian.
Mohd Izani juga berpendapat beberapa pemimpin BN dan UMNO sepatutnya boleh menghidu tahap sokongan rakyat dan segera mengundurkan diri sebelum PRU-14 bagi memulihkan sokongan.
Dalam banyak-banyak punca sehingga berlaku tragedi hitam terhadap UMNO, kekuatan sebenar pakatan harapan adalah Dr Mahathir yang merencana tsunami rakyat menolak BN.
Untuk rekod, dalam PRU-14, undi popular Pakatan Harapan meningkat kepada 50.1 peratus, BN menurun kepada 31.9 peratus dan PAS hanya 18 peratus. Untuk PRU-15, banyak yang perlu dilakukan oleh UMNO dan persidangan perwakilan parti itu, termasuk pemilihan pucuk pimpinan mungkin boleh dijadikan ruang muhasabah diri dan memulihkan parti.
Penulis adalah Pengarang Eksekutif Berita Harian
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 11 Mei 2018 | 7:00am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan