Khamis, 12 Jun 2014

SISTEM PEMBESAR DI PAHANG PADA ABAD KE-19

OLEH - AHMAD BIN YAAKOB
 Sistem pembesar di Pahang hampir sama dengan Melaka. Pahang mempunyai seorang Bendahara, Penghulu Bendahari dan Temenggung. Pada abad ke-17 para pembesar Pahang dilantik oleh Sultan Johor seperti Orang Besar Indera Mahajara Perba Jelai atau Tok Raja, Orang Kaya Indera Segara Temerloh, Orang Kaya  Pahlawan Chenor dan Orang Kaya Indera Syahbandar.[11]

      Pada abad ke-19 di pahang, Bendahara memainkan peranan penting dalam pemerintahan. Beliau bertanggungjawab mengendalikan urusan perhubungan luar, mengetuai peperangan, mengadili kes-kes perbicaraan serta menjadi lambang perpaduan rakyat. Bendahara sangat bergantung kepada peranan Orang Besar Berempat seperti Orang Kaya Indera Syahbandar, Orang Kaya Indera Maharaja Perba, Orang Kaya Indera Segara Temerloh dan Orang Kaya Indera Pahlawan, Chenor. Orang Besar Berempat akan mengenakan cukai atau kutipan lain apabila keadaan memerlukan. Contohnya, pembesar boleh memungut cukai daripada setiap penduduk di daerah mereka untuk membiayai perbelanjaan ke Pekan bagi tujuan mengadap sultan.[12]

      Pembesar boleh mengenakan cukai terhadap barang yang diimpot dan diekspot di daerah masing-masing. Kadangkala, mereka memegang hak monopoli terhadap barang tertentu yang kemudian dijual kepada rakyat dengan harga yang lebih tinggi.  Orang Besar Berempat juga mengendalikan kes jenayah dan awam.Pada teorinya, hukuman mati hanya boleh dijatuhkan oleh sultan, tetapi secara praktiknya, pembesar berkuasa penuh di daerah mereka. Biasanya semakin jauh daerah itu dari Pekan, semakin kuat kuasa dan kebebasan Orang Besar Berempat. Mereka juga menjadi ahli dalam Majlis Penasihat Istana. Sultan memerlukan mereka dalam perundingan tentang hal-hal negeri yang penting.[13]  

      Orang Besar Berlapan dan Orang Besar Enam Belas mempunyai bidang kuasa yang sama seperti Orang Besar  Berempat; cuma kuasa mereka terhad dalam kutipan cukai, pengadilan dan pentadbiran sahaja. Mereka juga diberi daerah kecil untuk ditadbir.[14]  Terdapat dua orang Pembesar Berlapan yang mempunyai hak kuasa yang sama dengan Orang Besar Berempat. Mereka ialah Orang Kaya Lipis dan Orang Kaya Semantan.[15]

      Satu lagi kumpulan pembesar yang memegang kuasa yang luasdi Pahnag ialah Orang Besa Raja. Mereka biasanya adalah orang kesayangan di istana yang menjadi terkenal semasa peperangan. Contohnya Imam Perang Rasul. Beliau berjuang di pihak sultan semasa Perang Saudara di Pahang dan telah meningkatkan imej pasukan tentera Pahang dalam peperangan tersebut. Oleh sebab jasa tersebut, maka beliau telah dianugerahkan gelaran Orang Kaya Imam Perang Indera Gajah Pahang atau Tok gajah. Tok Gajah juga dikurniakan kawasan Pulau Tawar dan Budu.


    Datuk Bahaman juga merupakan pembesar Pahang yang penting. Beliau merupakan panglima perang yang banyak berjasa kepada sultan Pahang. Beliau telah membantu Bendahara Wan Ahmad dalam tiga siri peperangan iaitu pada tahun 1858, 1860, 1862 serta Perang Kelang di Selangor.Disebabkan kegagahan tersebut, beliau dianugerahkan gelaran Orang Kaya Dato’ Setia Perkasa Pahlawan Semantan. Beliau juga dilantik  sebagai pembesar Temerloh setelah kematian Orang Kaya Indera Segara.[16]




[11] Zainuddin , Sejarah Malaysia, (Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd, 2003),27.
[12] Ong Loo Chen, Teks STPM Sejarah, (Bandar Baru Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd, 2013),10.
[13] Ong  Loo Chen, Teks STPM Sejarah, (Bandar Baru Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd, 2014),10.
[14] Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000,8.
[15] Ong  Loo Chen, Teks STPM Sejarah, (Bandar Baru Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn.Bhd, 2014),10.
[16] Ibid,11.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan