Rabu, 11 Disember 2013

PKM mengaku alami kekalahan teruk


Sekumpulan pengganas komunis berkumpul di dalam hutan menerima arahan daripada ketua mereka.
RANCANGAN Briggs yang diperkenalkan oleh penjajah British pada Jun 1950 benar-benar memberi tamparan hebat kepada gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menakluk Tanah Melayu.

Pengunduran Setiausaha Agung PKM, Chin Peng dan kumpulannya pada Julai 1953 dari hutan tebal di Pahang menuju ke selatan Thailand melalui Kelantan merupakan kejayaan besar Rancangan Briggs dan kegagalan besar PKM dalam perjuangan bersenjatanya.

Beberapa orang anggota Jawatankuasa Pusat PKM turut berundur ke selatan Thailand bersama-sama Chin Peng.

Pengunduran Chin Peng dan kumpulannya itu merupakan isyarat jelas kekalahan teruk PKM daripada segi ketenteraan, sejak PKM melancarkan perjuangan bersenjata pada 1948.

Akibat kekalahan daripada segi ketenteraan itu, PKM dalam arahan terbarunya pada lewat 1951 terpaksa mengubah strategi perjuangannya termasuk membentuk platun-platun yang lebih kecil dan berundur lebih jauh ke dalam hutan belantara bagi mengelak dikesan pasukan keselamatan.

Usaha PKM untuk menawan hati penduduk Orang Asli yang tinggal di dalam hutan di bawah program ASAL turut terjejas apabila pasukan keselamatan bertindak membina kubu-kubu di dalam hutan berhampiran kawasan kediaman Orang Asli.

Ini sekali gus memberi tekanan lebih hebat kepada PKM untuk mendapatkan sokongan Orang Asli dan juga mendapatkan bekalan makanan.

Tekanan demi tekanan yang dihadapi PKM dan kekalahan besar yang dihadapi mendorong PKM membuat persediaan untuk memanjangkan tempoh perang bagi membolehkan mereka berundur ke selatan Thailand dan beberapa kader kanan PKM seperti anggota Jawatankuasa Pusat parti itu, Ah Su telah dihantar untuk membuka pangkalan di Betong.

Ini disahkan oleh Chong Chor dalam laporan sulit yang mendedahkan bahawa dia terpaksa berada di dalam hutan dalam tempoh yang lama sehingga September 1955 untuk berlindung daripada pasukan keselamatan.

Pada masa yang sama kumpulan Min Yuen yang ditubuhkan PKM turut menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan makanan. Tanaman sayur-sayuran yang diusahakan oleh Min Yuen di dalam hutan dimusnahkan oleh pasukan keselamatan.

Kem-kem Min Yuen yang dibina di dalam hutan sering diserang pasukan keselamatan hingga mendorong mereka untuk berundur lebih jauh ke dalam hutan tebal.

Menjelang 1953 hingga 1955, hampir separuh kekuatan PKM yang dibina semasa Darurat berjaya dibunuh dengan hanya tinggal kira-kira 100 orang pengganas komunis dan selebihnya ditahan atau menyerah diri.

Selain mengetuai Unit Penggempur, Chong Chor turut diberi tugas mengetuai unit akhbar PKM Perak pada akhir 1953, ketika beroperasi di Pusing, Perak.

Dia bertanggungjawab mengendalikan penerbitan bahasa Cina. Selain mencetak bahan-bahan Hsueh Hsih. Unit akhbar itu turut menerbitkan Berita-berita Kemanusiaan, Berita-berita Semasa dan Berita-berita Lenin.

Beberapa orang pengganas komunis yang ditugaskan dengan Seksyen Percetakan Akhbar PKM Perak ini membina kem-kem mereka di beberapa lokasi di kawasan Rimba Panjang dan kawasan Sungai Bekor, barat Manong.

Chong Chor turut mengakui bagi memanjangkan tempoh perang dengan pasukan keselamatan mereka melaksanakan strategi berdasarkan konsep Mao Tze-Tung.

Serangan berterusan pasukan keselamatan ke atas kem-kem dan kubu-kubu komunis di Perak berjaya menumpaskan gerakan komunis di negeri itu sehingga Perak diisytiharkan kawasan putih pada 1959.

Ketika berdepan kekalahan teruk itulah, PKM pada 28 Disember 1955 bersetuju mengadakan rundingan damai dengan Kerajaan Perikatan di Baling dalam usaha untuk menamatkan perang.

Chong Chor mengakui walaupun rundingan Baling gagal, PKM telah lama mengalami kekalahan teruk dalam perang bersenjata.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131212/re_08/PKM-mengaku-alami-kekalahan-teruk#ixzz2nCACQovu

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan