Ahad, 29 Disember 2013

Borhan, aktivis budaya, politik Melayu gigih

29 Disember 2013

 Borhan Mohd Yaman
Borhan Mohd Yaman Borhan Mohd Yaman
MELAKA - Datuk Borhan Mohd Yaman, juga dikenali dengan nama penanya Burmy, adalah seorang tokoh yang tidak mengenal penat lelah dalam memperjuangkan budaya dan politik orang Melayu.

Borhan, 84, terkenal sebagai seorang penulis dan ahli politik sejak zaman Tunku Abdul Rahman dan aktif bersama Tun Abdul Ghafar Baba memperjuangkan nasib orang Melayu menerusi Umno.

Beliau pernah menjadi Setiausaha Umno Melaka pada tahun 1958 dan 1960 hingga 1961 dan menjadi Ketua Pemuda Umno negeri Melaka dari tahun 1959 hingga 1969.

Borhan yang dilahirkan di Kg Lubok Redan, Kuala Sungai Baru di sini pada 7 April 1929 telah memainkan peranan penting membawa masuk anak-anak muda ke dalam Umno.

Semangat beliau yang cintakan kepada bangsa, agama dan kemerdekaan negara dibuktikan apabila beliau mula menjadi ahli Umno pada tahun 1951 ketika berumur 22 tahun. 

Sebagai anggota yang berkaliber, Borhan telah dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Melaka seterusnya pada tahun 1954 beliau telah dipilih menjadi Penolong Setiausaha Pemuda Umno Melaka.

Bintang politiknya mula bersinar apabila menjadi Setiausaha Umno Melaka pada 1958 dan 1960 hingga 1961, dan pada tahun 1959, beliau telah dipilih menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Melaka sehingga 1969 di samping menjadi Ahli  Jawatankuasa Umno Tanah Melayu pada tahun 1961 hingga 1971.

Bertugas sebagai seorang guru di sini dan mendapat kebenaran berpolitik dari Jabatan Pelajaran Negeri Melaka, beliau mempunyai minat membaca dan menulis di dalam akhbar dan majalah.

Di samping itu, beliau menjadi wakil Akhbar Merdeka, lidah rasmi Umno, bagi negeri Melaka malah sebagai seorang anak muda yang cintakan bangsa, agama dan tanah air, Borhan sentiasa mengambil berat pergolakan politik Tanah Melayu sejak 1940-an lagi serta beliau berminat membaca berita-berita dan buku-buku yang berhubung dengan politik Tanah Melayu dan luar negara antaranya Indonesia.

Beliau kerap menulis di dalam Majalah Guru dan Akhbar Merdeka, juga terkenal sebagai seorang penulis rencana dan puisi yang bertemakan kebangsaan malah telah menggabungkan kegiatan politik dengan lapangan penulisan.

Jasa Borhan dalam pembelaan bangsa, agama dan negara amat luas.

Ketika menjadi Ahli Jawatankuasa Lembaga Kemajuan Bahasa Kebangsaan (LKBK) di bawah Majlis Perbandaran Kota Melaka pada tahun 1962, beliau memainkan peranan penting bagi menukar nama-nama jalan kepada nama-nama bercorak kebangsaan.

Antaranya beliau mengusulkan penukaran Wolforstan Road kepada Jalan Bendahara, Main Road dan Eastern Road kepada Jalan Temenggong, Buona Vista Road kepada Jalan Hang Tuah, First Street kepada Jalan Hang Jebat, Second Cross Street kepada Jalan Hang Kasturi, Third Cross Road kepada Jalan Hang Lekir.

Ketika menjadi Pengerusi LKBK, beliau telah membuat seruan kepada wakil-wakil Dewan Perniagaan Cina, Dewan Perniagaan Chettiar dan Dewan Perniagaan Melaka supaya mengubah tulisan-tulisan papan tanda kedai mereka ke
dalam Bahasa Melayu.

Borhan meninggal dunia pada pukul 7.30 pagi ini akibat sakit tua di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Klebang di sini pada pukul 2.15 petang. - Bernama
SINAR HARIAN ONLINE 29.12.13

Tiada ulasan:

Catat Ulasan