Jumaat, 27 Disember 2013

Kompleks Pasir Salak hargai jasa pejuang

Oleh Zaini Raban

 
Terowong sejarah di Kompleks Sejarah Pasir Salak, Perak.

KAMPUNG GAJAH 30 Mei - Terletak kira-kira 70 kilometer dari bandar raya Ipoh, Kompleks Sejarah Pasir Salak dekat sini merupakan salah satu destinasi lawatan yang cukup terkenal di Perak.

Ia merupakan sebuah memorial khas bagi membolehkan orang ramai melihat sejarah yang sukar dilupakan bagi Pasir Salak dan penduduknya dalam menentang penjajah British secara lebih dekat.

Secara umumnya, ramai mengetahui bahawa Pasir Salak merupakan tempat penting dan istimewa dalam sejarah Malaysia.

Ini kerana nama Pasir Salak memang cukup sinonim dengan perjuangan dan keberanian orang Melayu kerana di sinilah tempat bermulanya semangat nasionalisme orang Melayu.

Sebagaimana yang tercatat di dalam sejarah, keberanian orang Melayu memang tidak dapat dinafikan terutama selepas berlakunya pembunuhan Residen British pertama di Perak, J.W.W Birch pada tahun 1875.

Peristiwa berdarah berkenaan sememangnya telah menyedarkan orang-orang Melayu pada masa itu malah tindakan berani sekumpulan pahlawan Melayu itu berjaya mencetuskan peperangan antara pentadbiran kolonial British dengan penduduk Melayu.

Walaupun tentera British dilengkapi dengan senjata lebih moden, ramai mempercayai bahawa peristiwa itu telah menyemarakkan semangat nasionalisme hingga membawa kepada pengisytiharan kemerdekaan negara daripada penjajah British pada 1957.

Justeru, bagi memperingati dan menghormati tokoh-tokoh pejuang terbabit, kerajaan negeri telah membina kompleks sejarah ini supaya generasi muda sedar dan terus menghargai jasa pejuang-pejuang Melayu terdahulu.

Antara pahlawan Melayu terkenal pada zaman berkenaan adalah Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela.

Sebagai tanda khusus memperingati mereka, kerajaan negeri telah mendirikan memorial istimewa berbentuk sundang sebagai lambang keberanian Melayu.

Buat pengetahuan ramai, sundang merupakan senjata seperti pisau yang begitu meluas digunakan oleh orang Melayu khususnya di Pasir Salak pada zaman penentangan British itu.

Selain itu, salah satu tarikan utama kompleks sejarah ini sudah tentulah terowong sejarah di mana kebanyakan detik-detik utama dan peristiwa-peristiwa penting sejarah bangsa Melayu dan Malaysia dipamerkan kepada pengunjung dalam bentuk diorama.

Pengunjung juga boleh meluangkan masa dengan melawat kubur Seputum yang juga merupakan salah seorang pahlawan terlibat dalam penentangan British.

Terdapat juga rumah dan kubu Maharajalela; lela rentaka - sejenis meriam yang digunakan oleh orang Melayu; rumah tradisional Melayu Perak yang dipanggil Rumah Kutai dan gerai-gerai cenderamata.

Pemandangan Sungai Perak yang banyak mencatatkan sejarah dan menawarkan pelbagai aktiviti di sekitar kompleks tersebut juga merupakan tarikan utama pengunjung.

RUJUKAN:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0531&pub=utusan_malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm#ixzz2ofDPmDkA © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan