Ahad, 29 Disember 2013

Perginya Srikandi UMNO

Oleh Nurul anuar kari
PADA hari Jumaat, penghulu segala hari dan di ambang permulaan perjuangan untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), UMNO kehilangan seorang lagi srikandi, Tan Sri Aishah Ghani, 90, yang meninggal dunia pada 12.50 tengah hari di Hospital Gleneagles di Kuala Lumpur.

Allahyarham meninggal dunia genap seminggu selepas perginya seorang lagi tokoh politik dan antara pengasas UMNO, Datuk Paduka Fatimah Abdul Majid yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 12 April lalu.

Aishah dilahirkan pada 15 Disember 1923 di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor dan menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Bukit Raya, Cheras, Selangor.

Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di Diniyah Puteri, Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia dari 1936 hingga 1939 dan memasuki Maktab Perguruan Tinggi Islam di Padang, juga di Sumatera Barat antara 1940 hingga 1943.

Allahyarham kemudian mengejar cita-citanya dengan melanjutkan pelajaran dalam jurusan kewartawanan di Regent Street Polytechnic di London bermula 1955 hingga 1958 sebelum kembali ke tanah air pada 1959 untuk memulakan tugas sebagai wartawan di Berita Harian dan penyunting di Kumpulan Akhbar New Straits Times.

Perkahwinannya dengan Allahyarham Abdul Aziz Abu Hassan sejak 1946 pula dikurniakan empat orang anak, iaitu Shairudin, Mariati, Datuk Astaman dan Zarim.

Penglibatan Allahyarham dalam bidang politik bermula dengan penyertaan dalam Parti Kebangsaan Melayu (PKM) selaku ketua sayap wanitanya, Angkatan Wanita Sedar (AWAS).

Beliau kemudian keluar dari parti tersebut pada 1946 dan menjadi ahli UMNO bermula 1949 di Cawangan Pasar Pudu dan aktif bersama UMNO Kampung Baru setelah diberi tugas sebagai Setiausaha.

Aishah mengundurkan diri dari bidang kewartawanan pada 1963 apabila diangkat menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Naib Ketua Wanita UMNO, di samping menggalas tanggungjawab selaku Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Selangor antara 1960 dan 1972.

Allahyarham juga dilantik sebagai Senator wanita pertama negara pada 1962 dan 1968, seterusnya diberi kepercayaan selaku wanita pertama mewakili Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Antara 1967 hingga 1972, beliau turut menjadi wakil Malaysia ke Persidangan Suruhanjaya Taraf Wanita PBB, sebelum mengambil alih jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia daripada Allahyarham Tan Sri Fatimah Hashim, bermula 1972 sehingga 1984.

Bermula 1973, beliau dilantik menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat dan memegang jawatan tersebut selama 11 tahun sebelum menamatkan khidmat sebagai menteri pada 1984.

Allahyarham merupakan individu yang melancarkan Yayasan Kebajikan Negara yang masih berfungsi sehingga sekarang dan menjadi Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia sejak 1986.

Antara jawatan lain yang diamanahkan kepada beliau termasuk Pengerusi Koperasi Jaya Murni Wanita Berhad sejak penubuhannya pada 1975; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (1985-1997), Ahli Jawatankuasa Yayasan Tun Abdul Razak dan Pengerusi Pusat Perlindungan Wanita Darsaadah.

Sepanjang hayatnya, Aishah turut bergiat aktif dalam dunia perniagaan dan turut dianugerahkan pelbagai bintang serta pingat kebesaran, termasuk Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2002.

Bermula dari peringkat bawah dalam UMNO, Allahyarham pernah menyatakan telah memberikan yang terbaik sepanjang berjuang di peringkat kebangsaan parti antara 1960 hingga 2004.

Jiwanya yang berkobar-kobar demi bangsa dan negara timbul sejak melihat kepahitan penindasan Jepun di Malaya sehingga mendorong beliau menyertai perjuangan untuk keluar daripada belenggu penjajah, walaupun ketika itu beliau cuma seorang pelajar yang masih muda.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130420/re_01/Perginya-Srikandi-UMNO#ixzz2owVSBjOJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan