Rabu, 25 Disember 2013

Bandar Bahru, bukan lagi bandar

BEBERAPA remaja meneliti kubur askar British termasuk JWW Birch di Bandar Bahru, Kampung Gajah, Perak.
DALAM menyediakan laporan khas mengenai Dato' Sagor satu nama lokasi yang kerap muncul dalam perbincangan mahupun tulisan adalah Bandar Bahru.

Bandar Bahru itu merujuk satu kawasan di tebing Sungai Perak yang pernah menjadi markas tentera British dan menempatkan pejabat JWW Birch.

Di kawasan itu juga ditanam mayat Birch yang hanyut selama empat hari selepas dibunuh oleh pahlawan Melayu pada 2 November 1877.

Kawasan itu dipilih menjadi markas British kerana kedudukannya yang strategik iaitu berada di tengah laluan antara Pasir Salak dan Batak Rabit (dekat Teluk Intan) tempat Sultan Perak bersemayam ketika itu. Sekali gus ia memudahkan British mengawal dan menguatkuasakan pentadbiran di kawasan Hilir Perak.

Bagaimanapun hasrat S2 untuk melihat semula tempat itu yang terletak antara kampung Teluk Memali dan Pasir Panjang tidak mudah kerana diberitahu banyak jalan yang menghubungkan kawasan itu sudah terputus, dipenuhi semak dan lalang serta bahaya kerana dikatakan tebing sungai di situ mudah runtuh.

Namun dengan bantuan beberapa penduduk Kampung Tersusun Teluk Memali, usaha diteruskan.

Selepas melalui jalan kampung, denai dan jalan kelapa sawit termasuk di tepi Sungai Perak, kami berada di kawasan yang satu ketika dahulu pernah menjadi tumpuan dunia.

Namun tiada apa lagi yang boleh dilihat kerana semuanya bertukar menjadi ladang kelapa sawit. Yang ada hanya empat kubur tentera British termasuk JWW Birch.

Tidak jauh dari kawasan itu terdapat sebuah masjid lama dipercayai berusia ratusan tahun terbiar kerana penduduk asal kawasan itu sudah berpindah jauh ke darat berhampiran jalan Teluk Intan - Kampung Gajah.

Seorang penduduk asal Kampung Teluk Memali yang hanya mahu dikenali sebagai Yeop Suri, 82, berkata, di kawasan Bandar Bahru dahulu banyak ditemui meriam, peluru dan minuman keras askar British.

"Dahulu dari Pulau Besar sehingga ke Tanjung Penangguk kawasan tersebut meriah. Rumah banyak, dekat-dekat.

"Lepas jalan dibina, sedikit demi sedikit orang pindah sampai hilang kampung tersebut," katanya kepada S2.

Beliau menambah, proses hakisan semula jadi sungai menyebabkan tebing di kawasan Bandar Bahru semakin mengecil.

"Dahulu tebingnya jauh ke tengah sungai tetapi proses hakisan semulajadi sungai menyebabkan tebing di sini semakin mengecil manakala tebing di seberang sana semakin membesar," ujarnya yang mempunyai 53 cucu dan lapan cicit.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20131221/lk_06/Bandar-Bahru-bukan-lagi-bandar#ixzz2oUq9HEGO © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan