Rabu, 25 Disember 2013

Dato' Sagor tak mati digantung?

 

TERBIAR... Makam Dato' Sagor di Matang, Perak yang terletak berhampiran kawasan pelupusan sampah dipenuhi lalang sehingga sukar mengesannya.
FAKTA rasmi yang diketahui ramai bahawa Dato' Sagor meninggal dunia setelah digantung British pada 20 Januari 1877 atas kesalahan bersubahat membunuh Residen British, JWW Birch pada 2 November 1875.

Jenazahnya kemudian dikebumikan di sebuah lokasi berhampiran sungai di Matang, Perak.

Namun terdapat satu lagi versi cerita mengatakan pahlawan negara itu sebenarnya tidak mati di tali gantung.

Ketua Sidang Kampung Teluk, Ramli Ngah Mat Ali yang juga cicit kepada Dato' Sagor memberitahu, kisah tersebut diceritakan oleh saudaranya, Dato' Mohd. Abas Ahmad.

Mohd. Abas merupakan waris keturunan Dato' Sagor dan antara individu yang dihormati di negeri Perak satu ketika dahulu.

Menurut Ramli, ketika hendak digantung, British menghadapi kesukaran melaksanakan hukuman itu kerana tali gantung putus.

Diceritakan sebanyak tiga kali tali gantung putus ketika hendak menggantung Dato' Sagor. Situasi itu berlaku kerana kerja menjalankan hukuman gantung itu dilakukan oleh bukan Islam.

"Syarat untuk membolehkan hukuman itu dijalankan adalah ia mesti dilakukan orang Islam. Lalu British mencari orang Islam yang berani melakukan tugas itu. Ada seorang tampil namun atas kerjasama dia helah berjaya dilakukan dan Dato' Sagor terselamat daripada tali gantung.

"Pada ketika itu juga pakatan telah dilakukan bersama pembesar dan hulubalang Melayu untuk 'menyeludup' keluar Dato' Sagor dari daerah Matang tanpa diketahui British," katanya.

Dato' Sagor dikatakan dibawa lari ke Pekan, Pahang dan menetap di sana menggunakan identiti berbeza.

Ramli berkata, ketika hidupnya, Mohd. Abas mendakwa dia pernah bertemu individu yang dikatakan Dato' Sagor itu sebanyak tiga kali di Pekan, Pahang.

"Kali pertama untuk mencungkil rahsia, menyoal siasat identiti, namun tidak berhasil. Selang beberapa bulan, pertemuan diatur lagi dan dengan persediaan maklumat rapi oleh Mohd. Abas dia berjaya memecah rahsia sehingga individu tersebut mengaku sebagai Dato' Sagor.

"Kemudian Mohd. Abas kembali dan berjanji datang sekali lagi untuk membawa keluar individu tersebut. Malangnya belum sempat pertemuan ketiga diadakan, individu tersebut telah meninggal dunia,'' ceritanya lagi

Menurut Ramli, kegagalan itu ada kaitan dengan sumpah yang telah dibuat dan selalunya dilakukan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan negara.

"Apabila mereka melanggar sumpah mendedahkan identiti, maka ajal pun menyambut mereka dan keadaan itu berlaku kepada beberapa pahlawan lain. Dikatakan usia Dato' Sagor ketika meninggal dunia adalah 105 tahun.


"Ini bukan sekadar cerita tetapi usaha yang dilakukan oleh Dato' Abas dan beberapa rakannya. Malangnya semua individu terbabit sudah meninggal dunia. Jadi sama ada mahu percaya atau tidak, terpulang," katanya
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20131221/lk_05/Dato-Sagor-tak-mati-digantung#ixzz2oUn7OO7t © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan