Jumaat, 27 Disember 2013

Persatuan berusaha pindahkan makam Tok Gajah ke Jerantut

Zulkifli Mohamad (duduk, lima dari kanan) bersama waris keturunan Tok Shahrom, Tok Gajah dan Mat Kilau selepas mesyuarat persatuan tersebut di Jerantut, Pahang, baru-baru ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
JERANTUT 18 Ogos - Persatuan Waris dan Keturunan Tok Shahrom, Tok Gajah dan Mat Kilau berusaha untuk memindahkan makam Tok Gajah di Kampung Pasir Nering, Kuala Berang, Terengganu ke Kampung Kedondong, Pulau Tawar di sini tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, usaha itu dilaksanakan bagi menempatkan semula makam tersebut di kampung asalnya berdekatan dengan makam anaknya, Mat Kilau di Kampung Kedondong yang kini digazetkan sebagai Kota Warisan.

Menurutnya, Tok Gajah yang dikenali sebagai Imam Perang Rasu Shahrum merupakan Orang Besar Raja Pahang meninggal dunia pada 1901 dan dikebumikan di Pasir Nering, Kuala Berang.

"Usaha kami memindahkan makam berkenaan dibuat sejak awal penubuhan persatuan ini pada 2008, tetapi masih belum kesampaian kerana masalah kewangan dan pengurusan tertentu.

"Kini, ahli persatuan sudah bersedia melaksanakan pemindahan makam berkenaan membabitkan kos pengurusan bernilai RM100,000 di samping mengharapkan bantuan kerajaan negeri untuk mempercepatkan usaha ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dengan ahli jawatankuasa persatuan itu di Rumah Persinggahan Jerantut di sini kelmarin.

Menurut Zulkifli, kerja itu bukan mudah kerana pihaknya perlu berunding dengan kerajaan Terengganu, Muzium Terengganu, Jawatankuasa Pelancongan Negeri dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan (JKKK) Kampung Pasir Nering kerana makam berkenaan telah diselenggarakan oleh mereka sebagai aset sejarah serta pelancongan di sana.

Katanya, persatuan itu akan mendapatkan bantuan dan kerjasama kerajaan negeri, pakar sejarah universiti tempatan dan pakar forensik sebelum kerja tersebut dijalankan nanti.

"Waris Tok Shahrom, Tok Gajah dan Mat Kilau di sini berharap kerajaan Terengganu bersetuju merealisasikan pemindahan ini dan perundingan akan diatur oleh saya dan ahli persatuan dalam masa terdekat," ujarnya.

Katanya, pemindahan itu bertujuan mengembalikan kegemilangan sejarah perjuangan ketiga-tiga pahlawan tersebut untuk tatapan generasi akan datang selain merancakkan sektor pelancongan di sini.

"Usaha ini antara lain juga bagi meletakkan status ketokohan Tok Gajah yang diburu penjajah British pada 1892 sehingga membawa diri ke Hulu Kelantan dan meninggal dunia di Hulu Terengganu sebagai pahlawan yang berasal dari Pahang," katanya.

RUJUKAN:http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130819/wp_02/Persatuan-berusaha pindahkan-makam-Tok-Gajah-ke-Jerantut#ixzz2ofINrTqH © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan