Rabu, 25 Disember 2013

Misteri istana lama dan peti besi

HANYA menunggu masa untuk menyembah bumi. Itulah gambaran yang tepat kepada sebuah rumah agam yang terselindung di sebalik rimbunan semak-samun di Kampung Permatang Pasir, Jugra.

Walaupun sebahagian besar daripada strukturnya sudah musnah, reka bentuk asas yang berdiri dengan sokongan enam batang tiang gergasi jelas menunjukkan ia bukan sembarangan rumah.

Bahkan penulis pada mulanya langsung tidak menyangka bahawa sisa-sisa runtuhan rumah yang berdiri di depan mata itu adalah sebuah istana. Istana milik Sultan Abdul Samad Al-Marhum Raja Abdullah.

Tersorok jauh di dalam kebun buah-buahan kira-kira 300 meter dari laluan utama Kampung Bukit Jugra, tidak ramai yang menyedari kewujudan istana tersebut.

Kehadiran penulis pada petang itu diiringi oleh Mohamad Ali Alimin, pengkaji sejarah mukim Jugra yang membawa bersama sekeping gambar lama sewaktu istana tersebut masih lagi berpenghuni.

Kami mengambil masa beberapa minit untuk mencari lokasi gambar tersebut dirakam. Pada kedudukan yang sama, persekitaran dan imej mula menunjukkan kesepadanan, jelas menandakan ia adalah subjek yang sama.

Menurut buku Sentosa Ketakhtaan, istana berusia lebih 150 tahun yang dibina di atas sebidang tanah di pinggir Bukit Jugra itu dikenali sebagai Istana Sedang Masa semasa pemerintahan Sultan Abdul Samad antara 1857 hingga 1898.

Mohamad Ali berkata, selain menjadi tempat bersemayam sultan, istana tersebut pernah menggemparkan penduduk negara melalui penemuan sebuah peti misteri yang dipercayai menjadi tempat penyimpanan harta-harta berharga kepunyaan Sultan Abdul Samad.

Katanya, pada 1968, kewujudan peti besi itu mula mendapat perhatian umum apabila usaha Jabatan Muzium untuk memindahkan peti dari istana itu ke Muzium Selangor berdepan dengan pelbagai perkara pelik dan luar biasa.

Salah satu daripadanya adalah kesukaran yang dihadapi kakitangan muzium untuk mengangkat peti sehingga terpaksa menggunakan khidmat kren.

"Memang pelik kerana saiz peti itu hanya satu meter panjang dan setinggi paras paha. Secara logiknya ia boleh diusung oleh empat hingga lima orang.

"Kejadian misteri itu tidak berakhir di situ kerana selepas dipindahkan ke muzium berlaku banyak gangguan terhadap kakitangan dan pelawat.

"Lebih kurang seminggu kemudian pihak muzium mengambil keputusan menghantar semula peti itu ke tempat asalnya,'' ujar ahli jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Selangor itu.

Namun katanya, peti besi tersebut sudah tiada di istana usang itu kerana telah dipindahkan oleh kaum kerabat sultan iaitu Raja Kasim yang mendakwa bertanggungjawab menjaga peti berkenaan.

Menurut Mohamad Ali, semasa di bangku sekolah beliau sendiri pernah menjejakkan kaki ke istana itu untuk melihat peti besi yang dikatakan boleh memberi hadiah kepada sesiapa yang bernasib baik ketika membukanya.

"Seingat saya semasa darjah tiga saya pernah naik ke tingkat atas istana dan membuka peti besi itu. Tidak ada apa-apa hanya ada surat khabar lama.

"Orang kata ada jumpa duit emas, keris dan macam-macam bergantung pada nasib tapi saya tidak percaya sangat,'' katanya.

Selain tinggalan istana milik Sultan Abdul Samad, turut kelihatan sisa-sisa daripada Istana Long Puteri iaitu cucunda Sultan Abdul Samad yang terletak berhampiran. Semuanya dalam keadaan terbiar.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20131123/lk_03/Misteri-istana-lama-dan-peti-besi#ixzz2oUyOKZLw © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan