KLUANG 22 Sept. - Kelab Veteran Komando Johor (KVKJ) menentang sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang ingin membawa pulang abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini.
Selain itu, KVKJ turut mengecam pihak yang cuba melakukan majlis penghormatan terakhir ke atas mendiang Chin Peng kerana dia telah melakukan kekejaman sehingga menyebabkan ramai anggota keselamatan negara terbunuh semasa era perang komunis suatu ketika dahulu.
Yang Dipertua KVKJ, Ghali Hassan berkata, kematian Chin Peng sememangnya telah lama dinantikan oleh semua bekas anggota tentera yang pernah bertugas semasa era tersebut.
Tanpa mahu berselindung, menurutnya, disebabkan angkara yang ditimbulkan oleh pengkhianat negara itu, ramai anggota tentera yang terbunuh dan mengalami kecacatan seumur hidup sehingga menghadapi kesulitan hidup.
"Kematian Chin Peng memang kami nantikan dengan penuh kesyukuran, namun kami tidak merelakan walaupun sebutir abu mayatnya dibawa masuk ke negara ini kerana dia adalah pengkhianat negara yang tidak boleh diampunkan langsung.
"Kerana dialah kami kehilangan ratusan rakan seangkatan dan kerana dia juga ramai anggota yang hidup menderita dalam kecacatan hingga sekarang. Malah hingga kini, dendam kami terhadapnya tidak pernah pudar kerana seolah-olah apa yang dilakukan oleh Chin Peng bagaikan baru berakhir semalam dan masih segar dalam ingatan kami semua," katanya di sini hari ini.
Ghali yang merupakan bekas anggota tentera berpangkat sarjan berharap agar Kerajaan Malaysia tetap bertegas tidak akan membenarkan sebarang acara bagi mengingati kematian musuh negara itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Md. Jais Sarday berkata, kerajaan amat memahami perasaan semua keluarga tentera yang terlibat dalam memerangi pengganas komunis pada zaman itu.
"Pada 27 Julai 2009, Mahkamah Rayuan telah menolak tuntutan Chin Peng atas ketiadaan dokumen yang menyokong bahawa beliau adalah rakyat Malaysia. Maka, jika Chin Peng bukanlah warganegara Malaysia, tiada sebab mayatnya perlu dikebumikan di negara ini.
"Kita tidak sewajarnya menyamakan Malaysia dengan negara lain. Chin Peng bukan sahaja membawa fahaman komunis, mengangkat senjata menentang kerajaan malah tidak pernah menyatakan kekesalannya membunuh rakyat Malaysia," katanya sambil berharap tiada lagi pihak yang mempertikaikan tindakan kerajaan untuk tidak menerima abu mayat Chin Peng disemadikan di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan