Isnin, 25 November 2013

R&D MAT KILAU TAHUN 2003

Pada tahun 2003 saya telah membuat kajian tentang Mat Kilau bersama Cikgu Soberi Hadzir di Pulau Tawar, Jerantut. Tujuan kajian ini ialah untuk mengisi ceramah Jejak Mat Kilau untuk Sambutan Bulan Kemerdekaan SMK Jengka 2.

       Inilah kali pertama saya menziarahi Makam Pahlawan Mat Kilau setelah 13 tahun mengajar sejarah di bumi Pahang. Mengapa begitu lewat saya terlibat dengan R&D Sejarah sedangkan disiplin ini diajar sejak tahun 1984 ketika menuntut di UKM dahulu. Saya merasa sangat teruja kerana akhirnya dapat juga sampai di Makam Pahlawan ini.

LATAR BELAKANG MAT KILAU
      Mat Kilau (1847-1970) merupakan seorang pahlawan Melayu yang berjuang menentang penjajah British di Pahang. Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu atau Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai "Dikir Pahang". Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras.

      Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, dari Kampung Kedondong. Imam Daud adalah seorang guru agama yang disegani di daerah Pulau Tawar, Jerantut, Pahang dan juga merupakan guru mengaji kepada Mat Kilau dan rakan-rakanya. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak.

      Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang. Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Montok (Hj.Uthman bin Senik) yang merupakan mufti Pahang ketika itu.
Mat Kilau juga dikatakan pergi bertapa di Gua Kota Gelanggi yang terletak tidak jauh dari Pulau Tawar untuk mendalami ilmu yang dituntutnya. Gua tersebut masih ada hingga kini. Menurut beberapa pendapat orang-orang lama, gua ini boleh menghubungkan Pahang, Terengganu dan Kelantan.[1]

      Mat Kilau terlibat dalam penentangan terhadap British apabila Datuk Bahaman bangkit menentang British. Pada 9 Mac 1882 Datuk Bahaman menyerang dan menawan Lubuk Tena.[2] .(Buku sejarah lain menyebut Lubuk Terua). Semangat penentangan dan bencikan pihak British yang dimulakan Dauk Bahaman mula merbak dan mempengaruhi pembesar-pembesar Pahang yang lain.Salah seorang pembesar yang sungguh berazam untuk menentang pihak Britias ialah Tok Gajah dan anaknya Mat Kilau.



[1] http://ms.wikipedia.org/wiki/Mat_Kilau (diakses pada 1 Januari 2003)
[2] Zainal Abidin Abdul Wahid,ed.,Malaysia Warisan dan Perkembangan Edisi Kedua,(Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1996)145.


                                           



                                            

Tiada ulasan:

Catat Ulasan