Selasa, 26 November 2013

Sejarah: mata pelajaran @ nostalgia


Oleh Shuhada Mansor
Semakin kita menjauhi tanggal 31 Ogos 1957, iaitu hari kemerdekaan tanah air tercinta, semakin itulah generasi sekarang lupa mengenai pengertian sebenar makna perjuangan dan pengorbanan untuk mencapai kemerdekaan.
Mungkin kebanyakan daripada kita amat sukar menghayati erti sebenar kemerdekaan berikutan sebahagian besar adalah generasi pasca merdeka atau lahir selepas tarikh keramat itu. 
Ketika ini, sambutan bulan kemerdekaan sudah pun bermula. Esok, negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-56. Ketepikan soal bila anda dilahirkan, inilah masanya untuk rakyat Malaysia terutama generasi muda berbilang kaum menunjukkan semangat patriotik dan kasih sayang terhadap negara. Bukan dengan cara paksaan, tetapi secara sukarela menyambut ulang tahun kelahiran Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat. 

Sejarah bukan setakat dipelajari sebagai mata pelajaran di sekolah. Ia perlu didedahkan sebagai persiapan kepada Gen Y khususnya untuk menjadi peneraju kepimpinan negara pada masa depan.

Hal ini diakui pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Fatin Fayyadhah Zabidi, 23, yang berpendapat, untuk menjadikan subjek sejarah itu menarik, ia perlu diisi dengan aktiviti menarik. Contohnya, program memupuk serta meningkatkan semangat nasionalisme dan patriotisme dalam kalangan generasi muda perlu dipergiatkan demi menjadikan sejarah sebagai subjek pilihan.

“Jika kita tahu dan faham kronologi sejarah negara dan dunia, percayalah, ia adalah rentetan peristiwa yang cukup menarik untuk dipelajari. Dengan sejarah, kita dapat tahu kewujudan sesebuah bangsa dan negara dan di mana datangnya asal usul bangsa kita,” katanya. 

Bagi pekerja swasta, Azizul Hakim Borhan, 27, subjek sejarah mungkin dianggap bosan kerana menceritakan peristiwa lampau yang tiada kena mengena dengan zaman sekarang. Atas faktor itulah membuatkan generasi muda memilih hanya untuk belajar dan lulus dalam pelajaran tanpa ada pengisian lepas tamat belajar. 

Azizul bersetuju sekiranya subjek Sejarah di sekolah atau institusi pengajian tinggi di selaraskan dengan visual atau rakaman peristiwa bersejarah yang berlaku di masa silam. Ia bertujuan untuk beri gambaran sebenar kepada penuntut membayangkan lebih jelas mengenai tragedi yang melanda negara. 

Bagi sambutan Hari Kemerdekaan kali ini, diharap kita bersama-sama menyambutnya dengan semangat patriotik berkobar-kobar. Patriotisme bukan sekadar mengibar bendera ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan. Ia juga tidak sekadar beruniform kemas serta aksi berkawad yang tersusun rapi dengan gaya segak. Ia suatu komitmen, suatu perasaan mendalam, suatu semangat perlu dihayati oleh semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan