Selasa, 26 November 2013

Contohi semangat patriotisme generasi dulu


SAMBUTAN Hari Malaysia boleh melahirkan generasi muda yang sayangkan negara dan mempunyai jati diri yang tinggi.


TATKALA Sarawak meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-50 di bawah nama Malaysia, penerima anugerah Tokoh Kemerdekaan 2010, Datuk Seri Dominic Dago menaruh harapan agar rakyat Malaysia tetap bersatu padu di bawah semangat 1Malaysia.
Bekas Ahli Parlimen Serian itu mahu generasi muda mencontohi semangat patriotik nenek moyang mereka dalam mencapai kemerdekaan.
Beliau menegaskan supaya anak-anak muda tidak ambil mudah berhubung keharmonian, keamanan, kestabilan dan kesejahteraan negara yang dinikmati selama ini.
"Hari Malaysia yang jatuh setiap 16 September adalah bagi meraikan pembentukan Malaysia lima dekad lalu. Ia asas kepada masa hadapan kita," kata Dago yang kini berusia 80 tahun.
Beliau merupakan satu-satunya anggota Jawatankuasa Antara Kerajaan, yang merundingkan penyertaan Sarawak dan Sabah ketika itu dikenali sebagai North Borneo ke dalam Persekutuan Malaysia. Persekutuan Malaysia pada masa itu ditunjangi Malaya dan Singapura.
Namun, apa yang menyedihkan Dago ialah apabila tidak ramai anak muda hari ini yang mengetahui Sarawak telah merdeka daripada jajahan British pada 22 Julai 1963.
Pada 16 September 1963, majlis pengisytiharan Persekutuan Malaysia yang diadakan di Padang Merdeka (dulu dikenali sebagai Padang Central) telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri yang pertama iaitu Datu Abang Openg Abang Sapiee iaitu arwah bapa kepada Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak sekarang, Datuk Amar Abang Johari.
Ketua Menteri Sarawak yang pertama, mendiang Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan Menteri Persekutuan, Tan Sri Mohd. Khir Johari yang mewakili kerajaan Malaya turut berucap pada hari bersejarah itu.
Beliau berkata, ketika itu ramai orang Sarawak menyokong pembentukan Malaysia dengan Parti Negara Sarawak (Panas) yang diketuai oleh arwah Datuk Bandar Mustapha, sekali gus menjadikannya parti politik pertama menyokong langkah tersebut.
Bagaimanapun, ada sekumpulan kecil masyarakat Sarawak yang mahukan British terus memerintah kerana menganggap mereka pihak neutral manakala sebahagian lagi memilih untuk lari ke Indonesia dan menyertai perjuangan bersenjata yang memulakan bibit pemberontakan komunis di negeri ini.
Sejarah dinodai
Dalam tempoh beberapa tahun pertama sejarah Malaysia dinodai dengan Konfrontasi Indonesia-Malaysia, serangan komunis, tuntutan Filipina ke atas Sabah dan pemisahan Singapura daripada Persekutuan pada 19 Ogos 1965.
"Orang kita menghadapi pelbagai masalah dan kesusahan, terutama mereka yang tinggal berhampiran sempadan Indonesia-Malaysia kerana terpaksa menggali lubang di bawah rumah untuk menyelamatkan diri," cerita Dago.
Pihak berkuasa ketika itu juga terpaksa melaksanakan perintah berkurung, terutama di kawasan pedalaman yang berdepan dengan ancaman komunis.
Kerajaan akhirnya memutuskan untuk menempatkan semula penduduk yang disasar komunis ke kawasan terkawal seperti Siburan, Beratok dan Tapah sepanjang Jalan Kuching-Serian. Di Sibu ditubuhkan pula Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rajang (Rascom).

KELIHATAN dua petugas melakukan kerja-kerja akhir pemasangan replika logo sambutan 50 tahun Sarawak Merdeka dalam Malaysia di Kuching, Sarawak baru-baru ini.



"Sebelum itu, kawasan berkenaan tiada jalan, bekalan air atau elektrik, sekolah mahupun klinik. Tetapi kini, saya gembira melihat masyarakat hidup di penempatan baharu dengan jalan bertar, bekalan air dirawat, elektrik, sekolah, klinik dan sebagainya," luah beliau.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penulis Blog Sarawak, Cyril Dason, 30, memuji keputusan kerajaan Persekutuan mengiktiraf kepentingan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia dengan mewartakan 16 September sebagai cuti umum, beberapa tahun lalu.
"Ia juga bagus kerana mengajar generasi muda sejarah sebenar Malaysia. Sebelum ini tiada siapa pun kisah tentang Hari Malaysia. Malah, ketika saya belajar dahulu, buku-buku sejarah pun tidak banyak memaparkan mengenainya," katanya lagi.
Mungkin ramai anak muda hari ini yang dikenali sebagai Generasi Y ingin meraikan Hari Malaysia dengan melepak di pusat beli-belah bersama rakan-rakan, ke kelab malam atau bersantai di tepi pantai.
Namun, sebagai seorang penulis blog, Cyril bercadang menggunakan media sosial untuk menghebahkan sambutan hari bersejarah itu di samping berkongsi pelbagai artikel menarik menerusi blognya.
Bagi Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Marudi, Sahrein Maloh, 33, Hari Malaysia bagaikan satu peringatan kepada setiap rakyat Malaysia pentingnya perpaduan, tidak kisahlah sama ada mereka dari Sabah, Sarawak atau Semenanjung.
Sahrein akan menyertai pelbagai aktiviti anjuran kerajaan bagi meraikan Hari Malaysia termasuklah perarakan yang melibatkan 92 kontinjen dan 4,000 peserta di Padang Merdeka di Kuching.
Scott Kuek, 34, seorang eksekutif di sebuah agensi kerajaan turut berminat untuk turun padang dan melihat perarakan berkenaan.
"Ramai yang dalam lingkungan umur saya ini lebih suka melihat siaran langsung di kaca televisyen untuk mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Namun saya teringin untuk merasakan sendiri kemeriahan sambutan di lokasi," ujarnya.
Meskipun sibuk dengan tuntutan pekerjaan, Scott mengakui tetap mencari peluang melawat pameran Sarawak 50 Glorious Years di Kompleks Pelancongan Sarawak. Pameran itu padat dengan maklumat berguna yang menceritakan tentang keperitan perjuangan di Sarawak dalam mengecapi kemerdekaan.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan berangkat menghadiri perarakan Hari Malaysia di Padang Merdeka semalam.
Turut menghadiri sambutan ialah pasukan veteran Komanwel dari Britain, Australia dan New Zealand, keluarga Brooke dan pegawai kerajaan yang telah berkhidmat di Sarawak ketika ia mencapai kemerdekaan.
Sambutan itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo. kosmo online 16.9.13

Tiada ulasan:

Catat Ulasan