Khamis, 28 November 2013

Bekas speaker Dun Pahang meninggal dunia

NORFARHIZA MOHD ATAR
21 Januari 2013


KENANGAN...Mohd Khairuddin menunjukkan gambar kegiatan politik dan kewartawanan ketika diwawancara di rumahnya di Batu Satu, Jalan Jerantut-Benta.
JERANTUT - Bekas speaker Dun Pahang, Datuk Mohd Khairuddin Mohd Kawi meninggal dunia disebabkan sakit tua pada usia 85 tahun di Hospital Jerantut pada jam 4.30 pagi semalam.
Mohd Khairuddin menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Datin Zainah Razak, 55, dan empat anaknya.

Allahyarham yang dikenali sebagai tokoh politik, budaya dan penulis di Pahang sebelum ini dikurniakan anugerah Dato’ Kurnia Budiman daripada kerajaan negeri.

Adik Allahyarham, Datuk Chu Rahimah Mohd Kawi berkata, abangnya dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan pada jam 5 petang kelmarin setelah mengadu sakit.

Menurutnya, Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mat Kilau, bandar Jerantut pada petang semalam.

“Saya mewakili ahli keluarga abang saya (Mohd Khairuddin) berterima kasih kepada hospital, jawatankuasa Masjid Jamek bandar ini, bekas kenalan politiknya dan ahli kariah kerana menziarahi serta menyumbangkan tenaga untuk pengebumiannya," katanya, di sini, semalam.

Mohd Khairuddin dilahirkan pada 3 Ogos 1928, menerima pendidikan awalnya di Kuala Lipis sebelum menyambung ke peringkat pendidikan Inggeris di Sekolah Clifford sehingga lulus Senior Cambridge.

Langkahnya dalam politik bermula pada 1951 apabila beliau mula berdamping dengan Tun Abdul Razak di Kuala Lipis ketika Tun dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Persekutuan dan Ketua Pemuda Umno Malaya.

Beliau berkecimpung dalam arena politik dan wakil rakyat selama lima penggal bermula 1955 apabila menjadi calon Umno ketika berusia 27 tahun serta memenangi kerusi kawasan Lipis Barat Daya pada Pilihan Raya Persekutuan Tanah Melayu yang pertama.

Seterusnya, Allahyarham dipilih menjadi wakil rakyat Umno dari 1959, 1964, 1969, 1974 sehingga 1978 di kawasan Lipis dan Jerantut.

Selepas memenangi pilihan raya Dun Kawasan Jerantut pada 1978, Allahyarham dilantik sebagai Speaker (Yang Di Pertua) Dun Pahang yang pertama ketika berusia 42 tahun.


Allahyarham semasa hayatnya juga merupakan wartawan Utusan Melayu bermula sewaktu pemerintahan British hinggalah pasca merdeka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan