Rabu, 27 November 2013

Perlukah sejarah ditulis semula?


Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid
HARI Sabtu ini adalah ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-56. Tarikh yang mengingatkan kita bagaimana jerihnya perjuangan pemimpin terdahulu untuk menentukan haluan negara, dari sebuah negara yang rakyatnya dikatakan “tidak mampu membuat sebatang jarum", dalam tekad dan kesungguhan akhirnya Malaysia menuju ke tahap negara maju.
Kejayaan membina negara bangsa yang berdaulat, yang mempunyai kestabilan ekonomi dan politik memerlukan pengorbanan dan kesungguhan, menterjemahkan hasrat rakyat menjadi hasrat negara, adalah satu petunjuk bahawa penglibatan rakyat yang aktif dan berkesan. Tanpa kerjasama setiap rakyat, suatu kerangka yang baik akan bertukar menemui kegagalan.
Rakyat Malaysia boleh meneladani apa yang sedang berlaku di Mesir. Kemerdekaan yang mereka dapatkan dari penjajahan hanyalah kemerdekaan secara simbolik sahaja kerana hakikatnya rakyat tidak merdeka dari suasana negara yang damai dan aman. Kuasa-kuasa luar selalu membayangi perjalanan kerajaan mereka. Tiga presiden Mesir adalah dalam kalangan tentera (Gamal Abdel Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak) dan Dr. Mohamad Mursi merupakan kalangan orang awam yang pertama menduduki jawatan itu.
Bagaimanapun, hayat pentadbiran Mursi hanyalah kekal selama setahun lima hari, beliau ditumbangkan oleh tentera, yang mendapat sokongan Amerika Syarikat.
Sebulan sebelum Mursi digulingkan, Amerika Syarikat menyalurkan bantuan lebih satu bilion dolar kepada pihak tentera manakala presiden yang dipilih oleh 61 peratus pengundi pada bulan Jun 2011, masih gagal membawa pelaburan bernilai dua bilion dolar dari negara-negara Arab. Mursi terus dikuasai oleh Ikhwanul Muslimin, akibatnya pada bulan sebulan sebelum disingkirkan, berlaku tunjuk perasaan mendesak beliau mengundurkan diri.
Semasa berucap menerima jawatan Presiden Mesir, Mursi telah berjanji akan membantu memulihkan ekonomi dengan membawa masuk pelaburan yang besar, dan dengan itu rakyat akan memperoleh peluang pekerjaan di samping menyediakan perumahan untuk rakyat.
Sayangnya, semua janji tersebut tidak berjaya dilaksanakan kerana Mursi hanya menumpukan seluruh keupayaannya untuk mengukuhkan kedudukan Ikhwanul Muslimin.
Apa yang dapat kita pelajari bahawa menguruskan sesebuah negara bukanlah satu perkara yang mudah, tidak sekadar boleh berjanji kepada rakyat. Rakyat akan menghukum pemimpin yang hanya tahu berjanji, kerana rakyat memerlukan suasana kehidupan yang lebih baik dan nasib mereka akan berubah.
Berlainan dengan landasan tindakan yang diambil oleh pemimpin Malaysia. Sebaik sahaja mencapai kemerdekaan, azam pemimpin ialah membasmi kemiskinan menerusi potensi sumber manusia dengan menggerakkan setiap daripada mereka bersekolah, kerana percaya pengetahuan bakal mengubah nasib seseorang.
Sejak merdeka, kerajaan tidak pernah berhenti untuk membina infrastruktur, daripada kemudahan kesihatan, pendidikan dan sosial hinggalah mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat bahkan merupakan negara yang paling cepat berjaya melepaskan kemelesetan. Ia didorong oleh pertumbuhan domestik yang mapan dan terus meningkat
Sejak merdeka, Mesir tidak membangunkan pertumbuhan ekonomi domestik yang tinggi, kerana terus mengharapkan bantuan dan sumbangan dari luar. Lebih separuh penduduk Mesir hidup dalam kemiskinan, dan sebahagian besar ekonominya bergantung kepada kemasukan pelancong asing.
Sejak revolusi yang membawa kepada penyingkiran Hosni Mubarak, sektor pelancongan terjejas teruk menyebabkan sebahagian rakyat mula mempersoalkan keberkesanan Mursi memulihkan ekonomi.
Ada setengah pemimpin politik merasakan bahawa ideologi yang mereka bawa itu lebih baik dengan kepentingan politik mereka, didesak agar sejarah nasionalisme negara ditulis semula agar haluan politik kiri yang tidak bersendikan “ketuanan Melayu" diterima sebagai dominasi nilai baharu yang bersendikan prinsip kebebasan dan meritokrasi.
Hasrat mereka adalah jelas kerana dengan menghapuskan “ketuanan Melayu", negara ini akan memperlihatkan prinsip pemerintahan yang lebih adil dan saksama. Bagi mereka, oleh kerana pertubuhan politik masih berasaskan perkauman, ia tidak akan membawa kepada penyatuan yang lebih baik dan berkesan.
Pemimpin politik yang berjuang untuk menghapuskan “ketuanan Melayu" itu sebenarnya merupakan kelompok yang menikmati kedudukan lebih baik daripada perjuangan pemimpin Melayu sebelumnya, meletakkan dasar dan kepentingan membangunkan ekonomi Melayu.
Misalnya, berdasarkan latar belakang keluarga, Tan Sri Khalid Ibrahim banyak memperolehi kekayaan peribadi menerusi dasar tersebut, daripada seorang sederhana beliau menjadi seorang yang memiliki saham dan aset jutaan ringgit.
Kegagalan Mursi melaksanakan apa yang pernah dijanjikan membawa padah yang besar, kerana usaha Amerika Syarikat untuk kembali mencaturkan politik Mesir dan menjaga kepentingan Israel menerusi dokongan tentera semakin jelas. Amerika Syarikat tetap memerlukan Mesir walaupun dari segi sumber ekonomi, Mesir tidak mempunyai produk yang banyak, Mesir adalah pangkalan strategik menyekat ideologi politik Islam.
Ramai yang percaya ideologi politik yang sedang dikembangkan oleh pakatan pembangkang tidak mampu meraih sokongan sebahagian besar masyarakat, ia dikhuatiri dipengaruhi oleh beberapa pertubuhan asing yang mahu menjadikan Malaysia porak-peranda. Mereka mahukan Malaysia sebagai negara yang mudah dikuasainya kerana mempunyai sumber bahan mentah yang banyak, kesuburan tanah dan flora dan fauna yang boleh menjana sumber ekonomi yang besar.
Usaha yang dilakukan ialah menyalurkan bantuan kepada pertubuhan politik yang bertentangan dengan parti yang memerintah, menggalakkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan mengadakan aktiviti pemesongan persepsi, dan yang paling mereka mahukan ialah melunturkan semangat patriotisme.
Bagi melunturkan semangat patriotisme ialah dengan memperkuatkan tindakan menolak “ketuanan Melayu" dalam kalangan generasi muda dengan alasan, ia bersifat perkauman, diskriminasi dan zalim kepada kaum-kaum lain.
Sebenarnya, “ketuanan Melayu" telah memberikan banyak faedah dan kesejahteraan kepada bukan Melayu, kerana orang Melayu tidak pernah mempersoalkan penguasaan ekonomi bukan Melayu. Kerajaan yang berteraskan politik Melayu, tidak pernah merampas peluang ekonomi dari penguasaan bukan Melayu.
Apa yang kerajaan laksanakan ialah membesar kek ekonomi dan mencipta peluang pertumbuhan dalam bidang baharu, di mana orang Melayu diberikan peluang dan digalakkan menceburinya. Ia adalah sesuatu yang adil, kerana keadilan itu berkait rapat dengan usaha memberikan hak kepada golongan yang berhak, dan bukannya mendasarkan siapa kuat, dia dapat dan yang kaya membolot semuanya.
Dalam suasana meraikan ulang tahun kemerdekaan ini, setiap rakyat tidak sepatutnya terpengaruh dengan pelbagai dakwaan kononnya, kerajaan yang memerintah mahu menggunakan sejarah dan semangat patriotik bagi mengekalkan kedudukan politiknya.
Sebenarnya, mereka yang mempersoalkan pengibaran bendera bukan mencerminkan semangat patriotik itulah yang sebenarnya berjuang untuk menukarkan Jalur Gemilang, kerana mereka benci dengan sejarah buruk yang mereka ciptakan sendiri.
Dengan desakan dan perulangan itulah mereka sedang membina kepercayaan baharu, cuba menukar nilai-nilai buruk kepada positif, termasuk tidak menghormati lambang negara, pemimpin yang pernah berjasa dan ikatan nilai kemesraan antara kaum, dan dengan alasan perlu menulis semula sejarah, mereka sebenarnya sedang bergerak dalam “komuniti imaginasi", sebuah komuniti yang hilang akar budaya dan jati diri.
Sempena ulang tahun kemerdekaan ini, sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan bertanggungjawab, kita sepatutnya melahirkan rasa syukur yang mendalam. Bahkan, Allah SWT mengingatkan kita melalui firman-Nya yang bermaksud:
“Dan (ingatlah mereka wahai Muhammad) ketika Nabi berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orang-orangnya) dan ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun daripada umat-umat (yang ada pada masa itu)." - Surah al-Maidah ayat 20
Intipati daripada seruan Nabi Musa a.s yang menyeru bangsanya mengingati nikmat kemerdekaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT supaya kita memperbaiki dan membebaskan diri daripada penjajahan mental dan moral oleh kolonial dan neokolonialisme. Kita sepatutnya boleh memperlihatkan kekuatan semangat untuk meyakini bahawa kerajaan sudah, sedang dan akan melakukan yang terbaik untuk negara, sentiasa menunaikan janji dan menghormati kehendak rakyat.
PENULIS ialah Pengurus Besar Analisis dan Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia.


Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130830/re_01/Perlukah-sejarah-ditulis-semula#ixzz2dRvDA7RX 
© Utusan Melayu (M) Bhd leh Mohd. Shauki Abd. Majid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan