Khamis, 28 November 2013

PAHLAWAN


Mohd. Shah antara perwira sebelum merdeka  
Oleh: HAMZAH SARAH
Mohd. Shah Abd Rahman menunjukkan buku yang berjudul Darurat Di Terengganu 1948- 1960 yang turut memuatkan perjuangan Jungle Squad memerangi pengganas komunis.

NAMANYA tidaklah sehebat Kanang Anak Langkau, namun jasa dan pengorbanannya mempertahankan negara dari ancaman pengganas komunis tidak kurang hebatnya.
Mula menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 24 Julai 1947 ketika berusia 19 tahun, Mohd. Shah Abd. Rahman, 80, merupakan salah seorang anggota pasukan itu yang merasai pahit getir berjuang memerangi pengganas komunis.
Selepas menjalani latihan selama setahun di Pusat Latihan Polis (Pulapol), beliau ditugaskan ke Kemaman, Terengganu pada 1948 bersama rakan sepermainan yang dikenali sebagai ‘Mohd. Taib’ yang secara kebetulan turut sama menyertai pasukan polis serta menerima latihan di Pulapol.
‘‘Saya mungkin bernasib baik bertemu kembali teman sepermainan dari Batu Pahat, Johor yang turut sama menyertai pasukan polis.
‘‘Ini memberi semangat pada kami untuk berkhidmat dalam pasukan polis,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya di Kemaman, Terengganu baru-baru ini.
Menurutnya, ketika di Terengganu, mereka berkhidmat dalam platun Jungle Squad yang ketika itu berpangkalan di Balai Polis Chukai, Kemaman.
Katanya, kawasan pengawasan skuad itu meliputi hutan di Chukai hingga ke penghujung Kampung Pasir Raja di sempadan Terengganu-Pahang.
Beliau yang dipanggil ‘Datuk Mat’ oleh penduduk kampung berkata, satu ketika platun Jungle Squad yang mempunyai 20 anggota telah diarah menjalankan misi mengesan ketua kumpulan kominis di kawasan Pasir Raja oleh Ketua Polis Kemaman Ketika itu, D.W Bidn.
‘‘Sebenarnya D.W Bidn merupakan orang yang bertanggungjawab menubuhkan platun Jungle Squad yang khusus untuk memerangi komunis,” ujarnya yang memegang nombor diri Private Constable (PC) 9267.
Mengimbau kembali kenangan tersebut Mohd. Shah berkata, 20 anggota platun Jungle Squad meredah hutan tebal ke kawasan Pasir Raja pada pagi 15 Ogos 1948 dan berkhemah di situ pada waktu malam.
Menurutnya, ketua komunis yang hendak dikesan itu dikenali sebagai Awang Ali, seorang guru Sekolah Rakyat.
Sebelum ini, ketua komunis berkenaan telah membuat beberapa kekacauan di beberapa kawasan termasuk Hulu Chukai, Jabor, Air Putih dan juga Air Jernih.
Selain itu, kumpulan komunis itu juga terlibat dalam beberapa siri pembunuhan termasuk membunuh pengurus syarikat lombong bijih timah Kajang Mining pada tahun 1948.
‘‘Bagaimanapun apabila platun kami sampai ke lokasi yang diarah, kumpulan komunis berkenaan termasuk ketuanya telah meninggalkan kawasan terbabit menuju ke Kuala Lipis, Pahang untuk menyerah diri,” ujarnya.
Hasrat komunis berkenaan untuk menyerah diri diketahui selepas platun tersebut terjumpa tulisan pada sebatang pokok iaitu ‘tolong jangan lagi mengejar saya, saya ingin menyerah diri di Kuala Lipis, Pahang’ yang dipercayai ditulis oleh komunis berkenaan.
‘‘Memang benar apa yang ditulis pada pokok itu, ketika kami sedang mengadakan operasi di hutan Pasir Raja, ketua unit platun kami menerima berita mengenai ketua komunis itu menyerah diri di Balai Polis Kuala Lipis, Pahang,’’ jelas Mohd. Shah.
Menurutnya lagi, pada hari yang sama, platun tersebut diarah ke kawasan Jongok Batu untuk mengesan saki baki komunis di kawasan tersebut.
‘‘Malang tak berbau tiba-tiba platun kami diserang hendap. Mohd. Taib iaitu kawan karib saya yang mengetuai barisan hadapan tidak bernasib baik, dia terkena tembakan.
‘‘Shah aku dah kena.., itulah kata-kata terakhir dari Mohd. Taib yang ketika itu berusia 22 tahun kepada saya selepas ditembak di bahagian dada oleh pengganas komunis dengan menggunakan peluru MK3,” ujarnya.
Tambah Mohd Shah lagi, melihat Mohd. Taib menggelupur akibat terkena tembakan pengganas, dia semacam dirasuk menembak bertubi-tubi ke arah komunis menggunakan ‘brend gun’ sehingga drama tembak menembak itu selesai.
Tembakan pada dada Mohd Taib tembus sehingga belakang badannya dan Mohd. Shah menggunakan kain pelekat untuk membalut dada rakannya itu sebelum dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan.
‘‘Tuhan maha kuasa atas apa yang berlaku, setibanya Mohd Taib di hospital, doktor bertungkus-lumus cuba menyelamatkannya dengan menyuntik ubat, bagaimana dia enggan disuntik kerana katanya ajalnya sudah hampir tiba dan tidak berapa lama selepas itu dia meninggal dunia,’’ cerita Mohd. Shah dengan linangan air mata.
Katanya, Mohd. Taib mati di medan perang sebagai seorang wira kerana mempertahankan negara.
‘‘Boleh dikatakan setiap kali masuk ke hutan antara Pasir Raja dan Jongok Batu, tembak menembak sentiasa berlaku namun saya sentiasa terselamat kerana dilindungi oleh Allah,” ujarnya.
Mohd. Shah berkata, beliau tidak pernah gentar sepanjang menganggotai platun itu walaupun sering diserang hendap oleh pengganas komunis.
Beliau mengakui mempelajari sesuatu dari seorang alim di Johor Baharu pada satu ketika dulu untuk tujuan keselamatan dengan syarat tidak boleh tinggal sembahyang lima waktu serta tidak boleh mengambil barang rampasan musuh walaupun sebiji beras.
Tambah beliau lagi, nama Mohd. Taib yang terkorban ketika menjalankan tugas di hutan Pasir Raja telah tercatat sebagai perajurit yang terkorban untuk negara di Tugu Peringatan.
‘‘Platun Jungle Squad sememangnya digeruni oleh komunis, ini diberitahu oleh beberapa pengganas yang menyerah diri serta punca utama ketua mereka yang terkenal sebagai Awang Ali menyerah di Balai Polis Kuala Lipis,’’ katanya bangga.
Beliau bagaimanapun kesal peristiwa pahit ketika menganggotai Platun ‘Jungle Squad’ tidak dicatat dalam buku Darurat Di Terengganu Tahun 1948-1960 yang ditulis oleh Othman Muhamad.
Apa yang paling dikesalkan, beliau tidak pernah diundang setiap kali perbarisan diadakan sempena Hari Polis sebaliknya hanya menjadi penonton dari luar pagar.
Dalam menghabiskan saki baki usianya, Mohd Shah berkata, beliau pernah memohon bantuan untuk membina pagar di kawasan rumahnya bagi menghalang khinzir merosakkan tanaman serta memakan ternakannya tetapi tidak dilayan.

Katanya, hidup mesti diteruskan dan sekarang beliau hanya melakukan kerja-kerja kampung kerana baru sahaja ditamatkan khidmatnya sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Agama AlFalah, Kemaman, Terengganu.
SUMBER RUJUKAN:PAHLAWAN ARKIB UM : 25/01/2007

Tiada ulasan:

Catat Ulasan