Sabtu, 30 November 2013

Muzium Tun Ghafar Baba

Koleksi Allahyarham dikumpul di Melaka

KUALA LUMPUR 23 April - Kerajaan negeri Melaka telah mendirikan Muzium Tun Ghafar Baba sebagai menghargai jasa dan perjuangan bekas pemimpin negara itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, muzium yang didirikan di Peringgit itu mengumpulkan segala koleksi berkaitan perjuangan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Beliau berkata, pembinaan muzium tersebut telah dimulakan dua tahun lalu dan ia telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dua bulan lalu.

``Kerajaan negeri telah membelanjakan kira-kira RM400,000 untuk kos mengambil alih rumah Allahyarham di Peringit untuk dijadikan muzium.

``Dua bulan lepas, muzium itu diubah suai dengan kos RM180,000 dan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa menziarah jenazah Allahyarham Tun Ghafar di kediamannya di Lorong Bukit Pantai 5, Bangsar di sini, hari ini.

Mohd. Ali berkata, pembinaan muzium tersebut telah pun dimaklumkan kepada Ghafar dan Allahyarham pernah menyatakan hasratnya untuk melawat muzium tersebut tetapi tidak kesampaian.

Malah, katanya, Ghafar juga telah bersetuju mendermakan koleksi peribadinya untuk dipamerkan di muzium berkenaan.

``Kerajaan negeri juga menjemput orang ramai yang memiliki barang berkaitan Tun untuk menyerahkannya bagi ditempatkan di muzium berkenaan.

``Jika bangunan tersebut tidak cukup besar, kerajaan negeri sedia membina bangunan tambahan untuk diletakkan semua khazanah Tun Ghafar,'' katanya.

RUJUKAN:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_08.htm#ixzz2mBV1heOs  © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan