Selasa, 26 November 2013

Tahanan Jepun 'lenyap' di Bukit Kutu


SISA tinggalan banglo lama milik Inggeris di puncak Bukit Kutu kini menjadi tumpuan pendaki pada hujung minggu.
SEPANJANG zaman pendudukan Jepun dari tahun 1941 hingga 1945, banglo di puncak Bukit Kutu telah dijadikan tempat soal siasat bagi mendapatkan maklumat mengenai penentangan Jepun di Tanah Melayu.
Majoriti mereka yang ditangkap terdiri daripada kaum Cina dan segelintir kaum Melayu tetapi biasanya kaum Melayu dapat melarikan diri, sekali gus menyelamatkan mereka daripada dibunuh di puncak Bukit Kutu.
"Waktu Jepun dulu, saya ada dengar cerita yang menyatakan tentera Jepun tangkap sesiapa sahaja yang dikehendaki untuk mendapatkan maklumat.
"Mereka yang ditangkap itu akan dibawa naik ke Bukit Kutu. Tak tahu apa nasib mereka. Rasanya kesemua mereka 'diselesaikan' di situ," kata Hairi Mohamad Sab,81, (gambar) yang merupakan antara orang lama yang masih tinggal di Kampung Dagang Setia, Kuala Kubu Bharu (KKB).
Menurutnya, kesimpulan itu dibuat berdasarkan kesemua mereka yang naik ke Bukit Kutu untuk disoal siasat tidak turun semula sehingga perang tamat.
"Langsung tak dengar cerita tentang mereka selepas mereka dibawa naik ke bukit itu," tambahnya.
Hairi yang baru beberapa hari menjalani pembedahan katarak ketika temu bual ini diadakan berkata, beliau sebenarnya tidak berapa suka bercerita tentang apa yang tentera Jepun lakukan di banglo tersebut sepanjang pemerintahannya di Tanah Melayu.
"Saya tak suka nak cerita tentang itu, takut orang Cina tak puas hati," katanya.
Bercerita tentang KKB pada zaman Jepun, katanya, tentera Jepun akan berbasikal dan berjalan kaki di seluruh kampung.
Menurutnya, beliau ada mendengar banyak cerita mengenai gadis dan wanita dirogol, selain mengambil barangan milik orang kampung.
"Pernah sekali, sekumpulan tentera Jepun yang sedang meronda terlihat pokok sirih. Dipaksanya orang kampung menggali sehingga ke akar kerana dia ingatkan ada ubi untuk dijadikan makanan.
"Lesung tumbuk padi orang kampung pula diterbalikkan untuk dijadikan dapur masak nasi," katanya yang memberitahu rumahnya pernah dimasuki tentera Jepun untuk diperiksa.
"Lagi satu, tentera Jepun ini pantang tengok cahaya lampu terang benderang pada waktu malam.
"Ketika itu, kakak saya nak kahwin, jadi pada malamnya, penduduk kampung bergotong royong memasak untuk kenduri.
"Tiba-tiba datang sekumpulan tentera Jepun menyoal siasat bapa saya.
"Bapa saya jawab, esok ada kenduri, jadi malam ini adalah malam memasak," katanya sambil memberitahu keesokannya tentera Jepun datang ke majlis kenduri kahwin kakaknya walaupun tak dijemput.
Dalam pada itu, Hairi yang pertama kali mendaki Bukit Kutu pada 1964 berkata, selepas Jepun menyerah kalah, pihak Inggeris mengambil semula banglo di Bukit Kutu.
Tetapi katanya, pegawai Inggeris naik ke Bukit Kutu bukan untuk berehat seperti zaman sebelum perang, sebaliknya untuk tujuan keselamatan.


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20130921/lk_04/Tahanan-Jepun-lenyap-di-Bukit-Kutu#ixzz2fgnAOV00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan