Selasa, 14 Ogos 2018

RUKUN NEGARA

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
      Malaysia mempunyai ideologi negara yang dikenali sebagai Rukun Negara. Ideologi negara ini digubal sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyatukan rakyat dan membimbing mereka ke arah perpaduan. Rukun Negara dihasilkan melalui penyatuan idea dan pemikiran pelbagai kaum yang peka terhadap keperluan untuk mewujudkan sebuah negara yang bukan sahaja mempunyai identiti sendiri, tetapi juga berkongsi pegangan yang sama.

      Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sebagai satu susunan prinsip hidup bermasyarakat yang mengadungi nilai0nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang mencakupi seluruh aspek kehidupan bernegara seperti agama, budaya, politik, ekonomi dan perundangan. Setiap prinsip itu berperanan melahirkan sebuah negara yang rakyatnya hidup bersatu-padu, aman dan harmoni.[1]   

OBJEKTIF RUKUN NEGARA
      Rukun Negara menggariskan cita-cita murni negara untk mewujudkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu, demokratik, adil, liberal dan progresif. Hasrat ini berpandukan kepada lima objektif yang termaktub dalam Rukun Negara, iaitu;
a)mewujudkan  perpaduanyang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat..
b)memelihara cara hidup yang demokratik.
c)mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.
d)membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan pelbagai corak.
e)membina sebuah masyarakat progresif berlandaskan sains dan teknologi moden.

      Kelima-lima objektif di atas terkandung dalam lima prinsip berikut;
a)Kepercayaan kepada Tuhan.
b)Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
c)Keluhuran Perlembagaan.
d)Kedaulatan Undang-Undang.
e)Kesopanan dan Kesusilaan.

      Penerimaan seluruh rakyat Malaysia terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara dan mengamalkannya dalam kehidupan masing-masing dapat membantu usaha ke arah melahirkan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat tanpa mengira keturunan atau kaum. Langkah ini dapat menghapuskan perasaan kegelisahan rakyat, tekanan hidup dan mengurangkan krisis dalam kehidupan masyarakat dan negara serta menjamin kestabilan politik dan sistem kerajaan yang berlandaskan amalan demokrasi.[2]  

PRINSIP-PRINSIP RUKUN NRGARA
      Agama merupakan asas dalam kehidupan untuk memandu seseorang bertindak melakukan kebaikan dan menghindari segala bentuk kejahatan. Setiap kaum di Malaysia menganuti pelbagai agama seperti Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh dan lain-lain. Islam merupakan agama rasmi bagi Persekutuan tetapi agama lain masih bebas diamalkan supaya setiap warganegara akan patuh kepada agama yang dianuti. Malaysia menghormati kebebasan beragama dan tidak ada dasar diskriminasi kepada warganegara atas dasar kepercayaan agama masing-masing.[3]
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem beraja dengan Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua negara dan lambang perpaduan rakyat. Seiring dengan kedudukan baginda sebagai raja berperlambagaan , sistem beraja juga diamalkan di setiap negara beraja dan Yang Dipertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja.

      Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud setiap warganegara hendaklah memberi sepenuh taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Manakala di peringkat negeri, rakyat hendaklah memberi taat setia kepada Raja dan Yang Dipertua Negeri masing-masing, selain kesetiaan kepada Yang di-Pertuan agong.

      Sikap kesetiaan ini merupakan nilai yang amat berharga dan menjadi ikatan dalam memupuk kecintaan rakyat kepada negara. Kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Raja dan Negara merupakan antara faktor yang boleh menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Oleh itu sebarang usaha yang cuba mengalihkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara adalah satu unsur yang jelas bertentangan dengan prinsip Rukun Negara.

      Prinsip ini juga bertujuan untuk melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan sanggup berkorban demi kepentingan negara. Pegangan teguh kepada prinsip ini dipercayai dapat melahirkan rakyat yang mematuhi undang-undang dan menjada harta awam, menghormati simbol-simbol yang menjadi lambang kedaulatan negara, produktif dan berusaha untk memelihara nama baik negara sepanjang masa, sanggup menyumbang tenaga untuk pembangunan negara dan masyarakat dan bersedia untuk mempertahankan negara daripada ancaman luar.[4]

      Di Malaysia Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara yang berfungsi memberi hak dan keistimewaan kepada setiap warganegara. Oleh itu setia rakyat telah digariskan tanggungjawab mereka terhadap negara dan perlu menghormati latar belakang serta sejarah perlembagaan tersebut.

      Setiap rakyat hendaklah menerima, mematuhi dan mempertahankan kemuliaan Perlembagaan berdasarkan beberapa perkara asas tersebut iaitu;
a)konsep raja berperlembagaan
b)kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum Bumiputera yang lain.
c)Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan mengamalkan kebebasan beragama
d)bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kebangsaan dan bahasa rasmi serta kebebasan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
e)jaminan tentang hak dan kebebasan asasi rakyat.

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
      Kedaulatan undang-undang merupakan asas kepada prinsip keadilan di Malaysia untuk memberi kebebasan asasi kepada rakyatnya. Ini menjamin kebebasan rakyat untuk bersuara, beragama, perlindungan di sisi undang-undang, kebebasan memiliki harta dan lain-lain lagi.

      Kebebasan rakyat tersebut masih dikawal dengan peraturan dan batasan tertentu supaya tidak disalahguna bagi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Undang-Undang negara perlu dipatuhi supaya kehidupan rakyat aman dan damai serta menjamin kemajuan negara tanpa sebarang halangan.[5]    

KESOPANAN DAN KESUSILAAN
      Mengikut prinsip ini, setiap individu dan kumpulan dalam masyarakat dikehendaki bertindak dan berkelakuan secarasopan dan bertatasusila. Mereka juga harus mempunyai moral yang tinggi, menghormati orang lain dan tidak membangkitkan perkara-perkara yang boleh  menyentuh sensitiviti mana-mana kaum., terutamanya berkaitan asal-usul keturunan, bahasa, agama, kebudayaan dan kepercayaan.

      Jika amalan ini dapat dipatuhi oleh setiap warganegara, hubungan baik yang sedia terjalin antara kaum akan terus berkekalan dan rakyat hidup dalam suasana muhibah tanpa sebarang perasaan prasangka antara satu sama lain.[6]


[1]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusof, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara (1800-2000) Penggal 3 Edisi Kedua.(Shah Alam: Oxford Fajar, 2017),212.
2i]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusof, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara (1800-2000) Penggal 3 Edisi Kemaskini.(Shah Alam: Oxford Fajar, 2014), 229.
[3] S.B.Teoh,Norizan Yusoff dan Nurul Huda Md Yusop, Sejarah STPM Penggal 3, (Shah Alam: SAP PUBLICATIONS (M) SDN. BHD,2014), 179.
[4]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusof, Ace Ahead Teks STPM Sejarah Malaysia Dan Asia Tenggara (1800-2000) Penggal 3 Edisi Kemaskini.230
[5]S.B.Teoh,Norizan Yusoff dan Nurul Huda Md Yusop, Sejarah STPM Penggal 3,180.  
[6]S.B.Teoh,Norizan Yusoff dan Nurul Huda Md Yusop, Sejarah STPM Penggal 3 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan