Khamis, 2 Ogos 2018

Peranan pengaruh luar dalam membangkitkan semangat nasionalisme di Tanah Melayu.

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
      Pengaruh luar merupakan antara faktor yang menyumbang dalam membangkitkan keinginan untuk mendapatkan hak-hak politik dan membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah. Dalam perkara ini gerakan nasionalisme di Tanah Melayu tidak terkecuali kerana banyak dipengaruhi oleh perkembangan yang berlaku di negara Asia yang lain. Pada awal abad ke-20, pelbagai perubahan yang berlaku di negara luar telah menarik perhatian pendukung gerakan nasionalisme di Tanah Melayu yang turut memberi sumbangan dalam menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat tempatan.[1]
1.Gerakan Islah Islamiah/ Pemulihan di Timur Tengah.
Gerakan ini dipelopori oleh Syed Jamaluddin al-Afghani dan diteruskan oleh Syeikh Muhammad Abduh. Mereka menggesa kaum muslimin agar berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan Hadis.
      Gerakan pemulihan Islam di Tanah Melayu dipelopori oleh Syeikh Tahir Jalaluddindan Syed Syeikh al-Hadi. Pelajar Melayu bersama Indonesia menerbitkan majalah Seruah Azhar (1925-1928) dan Pilihan Timur (1927-1928). Majalah ini mengecam pihak penjajah di Tanah Melayu dan Indonesia.
2.Gerakan Pan Islamisme.
Empayar Turki yang dikenali sebagai Empayar Turki Uthmaniah dan Sultan Turki yang dianggap sebagai khalifah sangat dihormati oleh seluruh dunia Islam. Sultan Abdul Hamid  (1876-1909) merupakan penyokong kuat gerakan Pan Islamisme. Dunia Islam diseru supaya bersatu di bawah naungan empayar Turki untuk menyekat perluasan kuasa Barat.[2]
     Pengaruh Pan Islamisme semakin hebat semasa berlaku Perang Dunia Pertama 1914-1918. Dalam perang tersebut, Turki telah  bersekutu dengan Jerman untuk melancarkan perang jihad terhadap Kuasa Berikat. Tindakan Turki ini telah mempengaruhi orang Islam di Tanah. Di Singapura Kassim Ismail Mansur dan Nur Alam Syah telah berusaha menyebarkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat Islam pada tahun 1915. Mereka telah membankitkan Dahagi Singapura 1915 dengan memberi dorongan kepada askar sepoi India supaya menentang British dengan memberi alasan   Turki dan Jerman pasti akan menang dalam Perang Dunia Pertama.[3]
 3.Gerakan Turki Muda.
Gerakan Turki Muda dipimpin oleh Mustapha Kamal berusaha untuk memodenkan negara Turki. Gerakan ini memberi ilham kepada orang Melayu untuk memajukan diri dalam pelbagai bidang.Gerakan ini merangsang semangat golongan muda di Tanah Melayu untuk memperhebatkan perjuangan mereka.Parti politik pertama ditubuhkan ialah Kesatuan Melayu Muda pada tahun 1938.
4.Perang Rusia-Jepun 1904-1905
Kemenangan Jepun dalam Perang Rusia-Jepun 1904-1905 memberi ilham kepada orang Asia untuk mencabar orang Barat. Ini kerana Jepun merupakan sebuah negara Asia dan Rusia merupakan negara Eropah.Ini membuktikan sebuah negara boleh menjadi kuat melalui kemajuan pendidikan dan teknologi.
      Perang Rusia-Jepun disifatkan sebagai satu pertelingkahan antara orang Asia dengan orang Eropah kerana kebanyakkan negara Asia Tenggara masih lagi berada di bawah belenggu penjajah terutama kuasa Eropah. Perasaan angkuh orang Eropah sebagai kuasa penjajah yang memandang rendah terhadap keupayaan penduduk tempatan menimbulkan perasaan benci kepada mereka. Peperangan ini dianggap penting sebagai mencerminkan penentangan sebuah negara Asia terhadap kuasa penjajah Eropah.

      Perang Rusia-Jepun menguatkan keazaman rakyat di Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu untuk bangkit menentang kuasa Barat. Peristiwa ini juga memberi ilham kepada golongan nasionalis untuk bangun menvabar kekuatan penjajah Barat di Tanah Melayu.[4]
5.Pengaruh Gerakan Politik di Indonesia.
Ada tiga sebab mengapa perkembangan di Indonesia begitu kuat mempengaruhi gerakan nasionalisme di Tanah Melayu. Pertama Indonesia negara jiran yang paling hampir dan segala peristiwa yang berlaku di negara itu mudah tersebar ke Tanah Melayu. Kedua Indonesia dan Malaysia sedang berusaha membebaskan diri dari belenggu penjajahan Belanda di Indonesia dan British di Tanah Melayu. Ketiga pertalian antara kedua-dua negara dieratkan lagi oleh ikatan serumpun iaitu persamaan dari segi bahasa, budaya, adat dan agama.

      Perkembangan di Indonesia telah menarik perhatian golongan terpelajar di Tanah Melayu terutama di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim seperti Ibrahim Yaakob dan Ishak Haji Muhammad yang kemudiannya menubuhkan Kesatuan Melayu Muda, KMM pada tahun 1937.
 Kefahaman mereka tentang perkembangan politik di Indonesia ditambah lagi melalui pembacaan buku-buku  dan majalah yang dibawa masuk daripada negara tersebut.Ia telah menyebabkan kebangkitan kesedaran nasionalisme pada tahap awal di Tanah Melayu lebih banyak dipengaruhi oleh gerakan nasionalis di Indonesia. 
6.Perkembangan di China
Pada tahun 1894, satu gerakan revolusi dimulakan di China oleh Dr Sun Yat Sen. Gerakan ini bertujuan untuk mengasas sebuah Republik yang bercorak revolusi dan menggulingkan kerajaan Manchu. Gerakan revolusioner ini berjaya menarik minat orang Cina di seberang laut hingga mendorong kepada penubuhan beberapa cawangan Teng Meng Hui termasuk di Tanah Melayu dan Singapura.
7.Perkembangan di India
Perjuangan nasionalis di India juga turut memberi dorongan kepada gerakan nasionalisme di Tanah Melayu. Pada tahun 1885, Parti Kongres Kebangsaan India ditubuhkan oleh sekumpulan orang India yang berpendidikan. Parti Kongres pada peringkat awal bersifat sederhana, kemudian berubah menjadi anti-British dan mengambil langkah yang agak keras seperti memulau barangan buatan England. Tindakan golongan nasionalis India ini diikuti oleh nasionalis di Tanah Melayu. Mahatma Ghandi menjadi tokoh yang dikagumi oleh nasionalis di Asia Tenggara. Kepimpinan Ghandi menjadi ilham dan dorongan kepada nasionalis di Tanah Melayu.

[1]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf, AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)Penggal 3 Edisi Kemaskini (Shah Alam: Oxford Fajar Sdn, Bhd,2014),162..    
[2]Ong Loo Chen, Pra-U Teks STPM Sejarah Peggal 3,(Bangi: Pelangi Sdn. Bhd, 2016),148  
[3]Ibid
[4]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf, AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)Penggal 3 Edisi Kemaskini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan