Selasa, 7 Ogos 2018

FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN MALAYSIA 1963

OLEH- AHMAD BIN YAAKOB
Hasil pembelajaran-membincangkan faktor-faktor pembentukan Malaysia
Pembentukan Malaysia
Latar belakang.
Idea pembentukan Malaysia telah dicadangkan sejak awal kurun ke-19 oleh beberapa orang pegawai British.. Pada 27 Mei 1961, Tuanku Abdul Rahman bersetuju dengan pembentukan Malaysia. Beliau telah mengumumkan dalam majlis makan tenga hari anjuran Persatuan Wartawan Luar Negeri di Hotel Adelphi, Singapura.Pembentukan Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura menjadi kenyataan pada 16 September 1963.[1]

Faktor-Faktor Pembentukan Malaysia
1.Politik
i.Ancaman komunis di Singapura,
Komunis menyusup masuk ke dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew sejak 1959.Pengaruh komunis semakin kuat apabila bekas anggota PAP berhaluan kiri menubuhkan menubuhkan Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Lim Chin Siong.Kekalahan calon PAP dalam dua pilihanraya kecil tahun  1961 bagi kawasan Hong Lim dan Anson memperlihatkan pengaruh komunis semakin merebak di Singapura.[2]
ii.Ancaman komunis di Sarawak.
Ancaman komunis juga wujud di Sarawak yang diperjuangkan beberapa buah pertubuhan yang bermatlamat menjadikan Sarawak sebuah negara komunis.Pada hakikatnya pengaruh komunis telah menyusup ke Sarawak sejak  pemerintahan Jepun lagi. Pada tahun1947 komunis Sarawak telah menubuhkan Liga Belia Demokratik Cina Seberang Laut untuk menyebarkan fahaman komunis tetapi diharamkan  pada tahun 1949.

     Kemudian muncul Persatuan Belia Maju Sarawak yang menggunakan taktik menghasut pelajar menentang British dengan alasan pihak British adalah anti-pendidikan Cina. Selain itu persatuan ini memperalatkan kesatuan sekerja menentang pemerintahan British di Sarawak. Pengaruh komunis di Sarawak semakin kuat sehingga berjaya mempengaruhi Parti Bersatu Rakyat Sarawak SUPP. Kerajaan Beitish di Sarawak bimbang dengan pengaruh komunis dalam SUPP lalu melancarkan “Operasi Pisang” untuk menghapuskan ancaman komunis. Namun usaha British ini gagal. Pengaruh komunis dalam SUPP semakin kuat.[3] 
iii.Ancaman komunis di Indonesia dan Brunei.
Parti komunis Indonesia berjaya merebak ke wilayah-wilayah Borneo sehingga British rasa terancam. Kerajaan British semakin terdesak apabila pengaruh komunis menular ke Brunei. Memandangkan ancaman komunis ini,British menyokong cadangan Tunku Abdul Rahman membentuk Gagasan Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei. Dengan adanya gabungan tersebut, maka diharapkan dapat menjadi benteng bagi melemahkan ancaman komunis.[4]
iv.Mempercepatkan proses kemerdekaan.
Sabah, Sarawak dan Singapura masih menjadi jajahan British sedangkan Persekutuan Tanah Melayu telah merdeka. Brunei ketika itu masih menjadi negeri naungan British dan diperintah oleh seorang sultan.Memandangkan ancaman komunis di wilayah Brunei, Sarawak dan Singapura membimbangkan, British telah mencadangkan pemerintahan sendiri bagi wilayah-wilayah Boerneo atau bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Tunku Abdul Rahman berpendapat kaedah yang paling efektif  untuk menangani ancaman komunis adalah melalui gabungan. Tambahan pula wilayah-wilayah yang kecil ini akan dapat kemerdekaan dalam masa yang singkat selaras dengan seruan Piagam Atlantik 1945.British telah bersetuju dengan cadangan tersebut dan berjanji akan memberi kemerdekaan kepada Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura sekiranya mereka bersetuju menyertai Gagasan Malaysia.[5]

2.Ekonomi
Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak  dan Brunei mempunyai ciri=ciri etnik, kebudayaan, geografi , ekonomi dan sejarah yang sama. Pembentukan Malaysia akan membolehkan kerjasama ekonomi yang erat dalam kalangan semua negara anggota. Negeri-negeri tersebut yang kaya dengan hasil bumi masing-masing akan membawa kemajuan ekonomi yang pesat. Hubungan perdagangan di kalangan negara anggota akan meningkatkan hasil negara.
      Penubuhan Persekutuan Malaysia akan membawa manafaat ekonomi kepada Singapura  yang dapat menjamin bekalan bahan mentah seperti getah  dan bijih timah untuk perkembangan perusahaannya. Singapura pula boleh memasarkan barangan keluarannya ke Tanah Melayu dan   peranannya sebagai pelabuhan bebas tidak akan terjejas.[6]
3.Sosial
i.Keseimbangan kaum.
Tunku Abdul Rahman bimbang timbulnya masalah ketidakseimbangan kaum sekiranya hanya Singapura yang menyertai Persekutuan Malaysia. Bilangan kaum Cina akan melebihi kaum Melayu kerana 80% penduduk Singapura terdiri daripada kaum Cina. Di Tanah Melayu, orang Melayu hanya 49% dan 51% merupakan kaum Cina dan India. Situasi ini pasti akan mencabar kedudukan orang Melayu sebagai golongan peribumi.

      Kemungkinan orang Melayu akan kehilangan kedudukan istimewa dan hak mereka akan dicabar oleh kaum lain. Perkara ini akan membankitkan masalah perkauman. Penyertaan Sabah, Sarawak dan Brunei ke dalam Persekutuan Malaysia akan dapat mengimbangi komposisi kaum dan mengelakkan masalah perkauman kerana ketiga-tiga buah negeri Sabah, Srawak dan Brunei mempunyai kaum bumiputera yang ramai.[7]


[1]Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2015),193.
[2]Ruslan Zainuddin dan Abd Sukor Yusuf,AceAhead Teks STPM Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara (1800-2000)Penggal 3  Edisi Kemaskini, (Shah Alam: Oxford Fajar,2013) ,201.  
[3] Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3,194
[4] Ibid,194
[5] Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2016),195.
[6] Ibid,195.
[7] Ong Loo Chen, Pra U Teks STPM Penggal 3, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.,2015),195.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan