MUHAMMAD NORDIN TUAH menunjukkan gambar kenangan ketika menyertai tentera serta kad pesara tentera miliknya ketika ditemui di rumahnya di Padang Tembak, Teluk Intan, Perak, semalam.
21 Ogos 2018 3:00 AM
TELUK INTAN 20 Ogos – Hari Kebangsaan yang disambut pada setiap 31 Ogos mungkin tidak begitu membawa makna bagi sesetengah rakyat khususnya golongan muda.
Namun, bagi pesara tentera, Muhammad Nordin Tuah, 78, atau lebih mesra dipanggil Pak Din, nyawanya hampir melayang ketika menentang komunis pada 8 Mac 1979 demi mempertahankan kedaulatan negara yang dibentuk pada tarikh keramat tersebut.
Bagi Muhammad Nordin, bukan mudah untuk negara mencapai kemerdekaan, namun lebih payah untuk mempertahankan kemerdekaan itu selepas pelbagai ancaman termasuk komunis masih bermaharajalela.
Menurut bekas Sarjan Batalion ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ini, dia tidak pernah melupakan detik cemas berhadapan komunis di Kroh, Perak yang kini dikenali sebagai Pengkalan Hulu itu.
“Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 10 pagi ketika kami berkonvoi dengan menaiki tiga buah kenderaan dari Pekan Kroh menuju ke sebuah markas tentera berhampiran sempadan Malaysia-Thailand antara Air Panas dengan Betong untuk menghantar bekalan makanan.
“Kejadian berlaku terlalu pantas, saya tidak sempat beri amaran kepada rakan lain yang berada di belakang kami dan saya lihat mereka sudah terkena tembakan. Saya juga turut terkena tembakan di tangan, perut dan peha,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Padang Tembak di sini baru-baru ini.
Tambah Muhmamad Nordin, tanpa berasa takut dan gentar beliau kemudiannya mencapai senapang dan terus berdiri dan menjerit Allahuakbar beberapa kali sambil melepaskan tembakan.
“Ketika itu saya sudah tidak fikirkan nyawa sendiri, apa yang penting komunis perlu dihapuskan dan bekalan makanan perlu selamat daripada dirampas mereka.
“Saya sendiri tidak tahu mana datang semangat untuk berdiri dalam keadaan cedera parah dan melawan musuh ketika itu,” katanya yang terkena lima das tembakan tepat selain serpihan peluru dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata, selepas pihak musuh melihat dia menjerit Allahuakbar sambil melepaskan tembakan mereka terus melarikan diri ke dalam hutan.
Tambah Muhammad Nordin, dua rakannya terkorban dalam pertempuran itu, manakala lima lagi termasuk dirinya cedera dan diterbangkan ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan.
Kata beliau, meskipun peluru di tangan, perut dan peha telah dibuang melalui beberapa pembedahan selepas kejadian itu, namun masih terdapat sebutir lagi peluru di pehanya yang masih boleh dirasai jika ditekan menggunakan jari.
Ditanya sama ada beliau trauma atau tidak selepas serangan itu, Muhammad Nordin berkata, perkataan trauma tiada dalam kamus hidupnya malah dirinya cukup bersyukur kerana diberi peluang untuk bertempur dengan komunis demi tanah air.
“Bukan senang untuk kita mencapai kemerdekaan malah banyak nyawa yang telah terkorban demi mempertahankannya. Kemakmuran dan keamanan yang negara kecapi sekarang bukan datang dengan sendiri, Jadi hargailah dan berusahalah untuk terus mempertahankannya,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/nyawa-pak-din-hampir-melayang-1.733049#ixzz5OoYzOaZR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan