ARKIB : 30/08/2006
Oleh SITI AINIZA KAMSARI
MENGKAJI sejarah zaman purba
atau prasejarah di Tanah Melayu tidak akan lengkap tanpa kita merujuk kepada
sebuah kawasan yang dikenali sebagai Jenderam yang terletak di Sepang,
Selangor.
Jenderam ialah sebuah daripada
70 penempatan awal Zaman Neolitik di Malaysia. Selain Jenderam, penempatan lain
zaman itu ialah Guar Kepah di Kedah; Kota Tongkat, Kota Gelanggi, Gua Kecil dan
Bukit Cintamanis di Pahang, dan beberapa lokasi lain di Semenanjung Malaysia.
Pada tahun 1940 sebuah
pendayung purba yang dikenali sebagai Bot Jenderam dijumpai. Selain itu
serpihan tembikar turut dijumpai di situ yang terletak kira-kira 30 kilometer
(km) dari Kuala Sungai Langat yang menjadi laluan utama pedagang-pedagang dan
penghijrah (imigran) terutama dari Sumatera, Jawa dan China. Pada beberapa
serpihan tembikar itu terdapat hiasan dengan kesan-kesan pemukul kayu berukir
(carved paddle-impressed).
Namun, Jenderam kini terkenal
dalam kalangan masyarakat Islam Malaysia berikutan wujudnya perkampungan
berorientasikan kesyumulan Islam iaitu Kampung Baru Jenderam Hilir yang
ditadbir oleh Yayasan Al Jenderami.
Dalam kawasan seluas hampir 20
hektar itu, penduduknya yang mempunyai pelbagai latar belakang asal usul dan
kerjaya menyandarkan kehidupan mereka sepenuhnya kepada Islam.
Ketua Pengawai Eksekutif
Yayasan Al Jenderami, Kamarulzaman Omar berkata, perkampungan itu sebenarnya
ialah sebuah pusat pengajian Islam bagi mengembalikan semula kegemilangan
institusi mengaji pondok.
Institusi pondok pada suatu
masa dahulu berjaya melahirkan begitu ramai tokoh dan cendekiawan Islam dan
kita sangat perlu berterima kasih kepada mereka.
Tanpa mereka, tidak mungkin
kita dapat mengecap sebarang kemanisan kemerdekaan daripada segala bentuk
penjajahan baik secara fizikal mahupun mental, katanya.
Namun, yang uniknya Yayasan Al
Jenderami bertanggungjawab menyediakan pelbagai prasarana moden dan terkini di
sebalik fungsinya sebagai pusat pengajian pondok.
Jadi tempat ini tidak memberi
gambaran suasana yang tradisional malah kami ingin membangun dan memajukan
pelbagai lagi kemudahan di sini, jelasnya.
Kamarulzaman berkata, pengasas
awal perkampungan ini ialah sekumpulan kakitangan Urban Development Authority
(UDA) seramai 20 orang yang diketuai oleh Ustaz Mohd. Hafidz Selamat pada 1985.
Mohd. Hafidz tidak akan
mempunyai kekuatan yang tinggi jika tidak dipengaruhi oleh gurunya sendiri.
Gurunya itu merupakan seorang ulama terkenal di Selangor iaitu Tuan Guru
Muhammad Zain Tama yang berasal dari Kampar, Sumatera Indonesia.
Ketika usianya 18 tahun iaitu
pada tahun 1927, tokoh ini mendalami ilmu di Mekah selama tiga tahun.
Sekembali ke tanah air, beliau
menyambung pengajiannya di Madrasah At Taufiqiyyah Kajang (nama asal SMKA
Maahad Hamidiah Kajang sekarang) selama 10 tahun dan kemudian menjadi pendakwah
dan guru agama di merata tempat di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.
Pembukaan madrasah ini berjaya
menarik minat begitu ramai para pelajar untuk belajar pelbagai ilmu agama
daripada tokoh ini.
Pesat berkembang
Sekolah pondok itu begitu
pesat berkembang sehingga wujudnya satu perkampungan kecil di situ, katanya.
Pada tahun 2003 Yayasan Al
Jenderami ditubuhkan bagi mentadbir pusat pengajian itu yang ahli lembaga
pengarahnya terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional dalam kerajaan
dan tokoh korporat.
Sejak itu, pelbagai
perkembangan berlaku yang membolehkan perkampungan itu muncul sebagai kompleks
yang lengkap dengan pelbagai infrastruktur.
Dalam kawasan seluas 20 hektar
sekarang ini, kompleks yayasan dilengkapi dengan sebuah masjid, tadika, kelas
agama dan fardu ain (KAFA), kelas-kelas pengajian, pejabat pentadbiran, asrama
anak yatim dan warga emas, klinik, kedai koperasi, bistro dan hotel bertaraf
tiga bintang, jelasnya.
Menurut Kamarulzaman, selain sebagai
pusat pengajian Islam, yayasan itu semakin terkenal kerana aktiviti-aktiviti
yang bersifat dakwah, kebajikan, sosial dan ekonomi.
Selain bakal menempatkan anak
yatim, yayasan memberikan peluang kepada warga emas menghabiskan usia mereka
untuk beribadat dan mendalami ilmu di sini.
Mereka bukan seperti penghuni
rumah warga emas atau perlindungan orang tua, tetapi mereka berada di sini
dengan pilihan sendiri mereka kerana mahukan kehidupan yang mempunyai suasana
seperti melakukan ibadat umrah atau haji di Mekah, katanya.
Perkampungan itu mendapat
perhatian dan sentiasa dikunjungi umat Islam. Setiap sebulan sekali mereka
mengadakan sambutan Memperingati Rasulullah yang sering disebut sebagai
Maulidur Rasul.
Sambutan itu lazimnya diadakan
pada tarikh 12 Rabiulawal setiap tahun.
Setiap kali mengadakan
sambutan itu, ia mendapat sambutan dan begitu meriah. Ini kerana dalam majlis
memperingati Rasulullah itu pelbagai acara lain juga diadakan.
Ini termasuk menghidupkan
semula amalan-amalan Rasulullah termasuk majlis akikah, potong jambul bayi,
berhadrah, berqasidah, bernasyid dan menjamu anak yatim dan orang ramai.
Acara ini bukan sahaja bagi
melahir dan menguatkan kecintaan kepada Rasulullah tetapi merapatkan hubungan
silaturahim sesama umat Islam tanpa mengira latar belakang, kata Kamarulzaman.
Mereka yang ingin mempelajari
dan mendalami kitab-kitab lama, maka di situlah tempatnya.
Kitab-kitab karangan ulama
seperti Syed Daud Fatani, Sheikh Abdul Samad Al Palembangi, Syeikh Arshad Al
Banjari, Tok Kenali dan ramai lagi menjadi rujukan utama di yayasan itu.
Kitab-kitab yang terkenal
ialah seperti Hidayatul Subyan, Bahrul Mazzi (karangan Idris Marbawi), Minhajul
Abidin, Sairus Salikin dan banyak lagi, katanya.
Tahun lalu, Yayasan Al
Jenderami mengambil inisiatif mengadakan Majlis Ijtima Ulama Pondok
Senusantara.
Mereka tidak sahaja berjaya
mengadakan pelbagai program dan aktiviti berkaitan tetapi yang menariknya
mereka berjaya mengumpulkan ramai ulama dari seluruh Nusantara dari Indonesia,
Singapura, Pattani, Narathiwat, Songkla dan dari Malaysia sendiri.
Lebih menarik apabila mereka
dapat bertemu dengan nasab atau keturunan ke-18 Sultanul Aulia, Sheikh Abdul
Qader Al Jailani, iaitu Syed Afeefuddin Al Syed Abdul Qadir Mansuruddin Al
Qaylani, yang dijadikan tetamu kehormat.
Begitupun dari masa ke masa
kami sering menjemput ramai ulama dari negara-negara Asia Barat terutama Mesir,
Arab, Jordan sehinggalah ulama dari negara Barat terutama dari Perancis, Jerman
dan United Kingdom, katanya.
Agensi pelancongan
Selain itu, yayasan itu juga
mempunyai agensi pelancongan sendiri untuk membawa umat Islam melakukan pelbagai
ziarah terutama mengunjungi institusi Islam bertaraf moden atau pondok di
seluruh Nusantara.
Ini termasuk melawat
tempat-tempat bersejarah seperti Wali Songo. Malah jika kita mengerjakan umrah
di Tanah Suci Mekah atas dasar hubungan baik kita selama ini, kita akan dibawa
ke tempat-tempat bersejarah yang masih banyak di sana dan tidak pernah di bawa
oleh mana-mana agensi lain sebelum ini, katanya.
Mereka turut mengeluarkan
pelbagai produk terutama makanan ringan, jahitan dan sebagainya yang diusahakan
oleh para pelajar dan penduduk di situ.
Selama tiga hari bermula Jumaat
minggu hadapan, misalnya, yayasan akan mengadakan Majlis Memperingati Ummul
Mukminin, Saidatina Siti Khadijah Al Kubra di mana terdapat pelbagai aktiviti
menarik dijalankan.
Institusi Pondok pada era zaman
yang moden ini, kata Kamarulzaman, masih relevan dan patut disokong.
Kami mendapat kelulusan pihak
berkenaan di mana di sini juga kami akan mengadakan Pusat Pemulihan dan Rawatan
terhadap penagih-penagih dadah menggunakan pendekatan holistik.
Kami akan menggunakan
pendekatan agama bagi mengembalikan semula nilai kemanusiaan yang hilang pada
penagih tersebut, katanya.
Menurut beliau, kawasan seluas
lima hektar berhampiran Kampung Baru itu dikenal pasti untuk membangunkan pusat
itu.
Yayasan Al Jenderami, kata
Kamarulzaman, adalah badan yang bebas daripada mana-mana pengaruh politik dan
agama yang ekstrem.
Kami berada di tengah-tengah.
Kami cukup sederhana bagi memperlihatkan Islam itu adalah indah, mudah dan
begitu praktikal, katanya.
Kongsi Konten di :
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4omVqsIhx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan