ARKIB : 18/09/2006
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
Pahlawan Datuk Bahaman pernah
meminta perlindungan daripada Tok Ku Paloh Al-Aidrus.
DALAM halaman Agama Utusan
Malaysia keluaran Isnin lalu, nama Tok Ku Paloh ada disebutkan. Peranan penting
ayah beliau, Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus atau Tok Ku
Tuan Besar di Terengganu, dilanjutkan pula oleh Tok Ku Paloh.
Beberapa riwayat tulisan yang
terdahulu daripada ini, termasuk percakapan lisan, ada memperkatakan tentang
sumbangan tersebut. Bagaimanapun, saya menemui beberapa dokumen yang
menunjukkan Tok Ku Paloh bukan berpengaruh di Terengganu saja, tetapi juga di
Patani.
Hubungan beliau sangat erat
dengan Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu Kadi Jambu. Walau
bagaimanapun, Haji Wan Ismail al-Fathani (lahir 2 Jamadilawal 1304 H/27 Januari
1887 M) dari segi perbandingan umur adalah peringkat cucu kepada Tok Ku Paloh
(lahir 1233 H/1818 M).
Tahun lahir Tok Ku Paloh itu
sama dengan tahun lahir Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (lahir 1233 H/1817
M). Beliau ini ialah datuk kepada Haji Wan Ismail al-Fathani. Hubungan antara
Haji Wan Ismail al-Fathani, Kadi Jambu, dengan Tok Ku Paloh hanyalah
kesinambungan hubungan yang terjalin sejak zaman datuknya itu, dan meneruskan
hubungan antara Tok Ku Paloh dengan ayah beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.
Darah perjuangan Tok Ku Paloh
dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu tidak dapat dinafikan mempunyai
kesan tersendiri dalam tubuh Syeikh Ahmad al-Fathani. Isu kemaslahatan Islam
dan bangsa Melayu yang menghadapi pelbagai masalah penjajah pada zaman itu
perlu dilihat dalam konteks hubungan antara Syeikh Ahmad al-Fathani, Tok Ku
Paloh dan Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.
Tok Ku Paloh dirahmati berumur
panjang. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M.
Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut
perhitungan tahun hijrah atau 100 tahun menurut tahun masihi.
Nama penuh beliau ialah Saiyid
Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Saiyid Abdur
Rahman al-Aidrus mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok
Ku Paloh. Gelaran lain ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh
al-Islam Terengganu. Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik. Ada
yang seibu sebapa dan ada juga yang berlainan ibu. Adik-beradik kandung Tok Ku
Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang digelar dengan Engku Saiyid
Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus digelar Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh
dan Saiyid Mustafa al-Aidrus yang digelar Tok Ku Tuan Dalam.
Beliau ialah seorang ulama dan
Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.
Adik-beradiknya selain yang disebut itu ialah Tuan Embung Abu Bakar atau
digelar dengan nama Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik, Tuan Nik (Senik).
Antara nama-nama tersebut, ramai yang memegang peranan penting dalam Kerajaan
Terengganu tetapi nama yang paling masyhur ialah Tok Ku Paloh.
Pendidikan
Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus
atau Tok Ku Paloh berketurunan Saiyid. Oleh itu sudah menjadi tradisi
keturunan itu untuk lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada
orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Saiyid Muhammad al-Aidrus atau
Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan
tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Dapat dipastikan Saiyid Abdur
Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya
sendiri.
Hampir semua orang yang menjadi
ulama di Terengganu pada zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada
ulama-ulama yang berasal dari Patani. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus, selain
belajar daripada ayahnya, juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad
Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung (lihat Utusan Malaysia, Isnin, 6 Mac
2006).
Saiyid Muhammad al-Aidrus atau
Tok Ku Tuan Besar dan Tok Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar
daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu.
Mereka juga sama-sama belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di
Mekah.
Dalam artikel ini saya terpaksa
menjawab satu e-mel dari Brunei Darussalam yang bertanyakan apakah Syeikh Daud
bin Abdullah al-Fathani berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.? Sepanjang dokumen
yang ditemui ada tulisan meletakkan nama Wan pada awal nama beliau. Ada
saudara pupu saya di Mekah memberi maklumat bahawa beliau menemui satu catatan
Syeikh Ismail al-Fathani (Pak De 'El al-Fathani) bahawa ulama Patani itu juga
berketurunan marga al-Aidrus.
Sejak dulu saya mengetahui ada
catatan lain menyebut hal yang sama bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani
dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu
juga termasuk marga al-Aidrus. Dengan keterangan ini bererti antara ulama
Patani dengan ulama Terengganu yang diriwayatkan ini selain ada hubungan
keilmuan mereka juga ada perhubungan nasab.
Perjuangan
Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus
(Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya di Mekah. Di sana beliau bersahabat
dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin
Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik
al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi. Antara
orang yang menjadi guru mereka di Mekah ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan
Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.
Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus
setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu.
Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai
jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan,
Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah
seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula
mengatakan antara muridnya yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah
Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.
Tok Ku Paloh ialah ulama yang
tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam
dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang
bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh
indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad
Abu Bakar.
Katanya: Dalam Perang Pahang,
penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat
Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.
Pada Mei 1894, mereka
menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini
bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga
diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di
Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah
menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.
Hasil semangat baru yang
diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan
menjadi lebih besar dan tersusun. (Ulama Terengganu, hlm. 184)
Daripada riwayat ini, kita
dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa dunia terkini bahawa ramai tokoh
Islam menjadi pejuang Islam dan bangsanya, dan ramai pula yang menjadi
pengkhianat. Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon menjadi sasaran bom yang
dilancarkan oleh bangsa-bangsa bukan Islam. Ada ramai pejuang Islam di sana.
Pengkhianat pun banyak. Bangsa kita, bangsa Melayu yang beragama Islam, patut
mencontohi perjuangan bijak Tok Ku Paloh. Janganlah ada manusia Melayu yang
khianat terhadap agama Islam dan bangsanya.
Tok Ku Paloh sangat berpengaruh
terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa
pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang
pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad
al-Fathani kepada Sultan Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal
Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri
Terengganu.
Tok Ku Paloh wafat pada bulan
Zulhijjah 1335 H/September 1917 M dan Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 22
Safar 1337 H/26 November 1918 M. Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah
Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.
Penulisan
Ahli sejarah, Datuk Misbaha ada
menyebut bahawa risalah 'Uqud ad-Durratain adalah karya Tok Ku Tuan Besar,
berdasarkan cetakan tahun 1950 oleh ahli-ahli Al-Khair dan cetakan pada tahun
1978 oleh Yayasan Islam Terengganu (Pesaka, hlm. 91). Tetapi pada cetakan yang
jauh lebih awal berupa selembaran dalam ukuran besar yang diberi judul Dhiya'
'Uqud ad-Durratain, ia merupakan karya Tok Ku Paloh. Tertulis pada cetakan itu,
Telah mengeluar dan mengecapkan terjemah ini oleh kita as-Saiyid Abdur Rahman
bin Muhammad bin Zain bin Husein bin Mustafa al-Aidrus....
Di bawah doa dalam risalah itu
dinyatakan kalimat, Tiada dibenarkan sekali-kali siapa-siapa mengecapkan
terjemah ini melainkan dengan izin Muallifnya dan Multazimnya Ismail Fathani.
Tercap kepada 22 Ramadan sanah 1335 (bersamaan dengan 11 Julai 1917 M).
Yang dimaksudkan Ismail Fathani
pada kalimat ini ialah Kadi Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani.
Risalah cetakan ini saya terima daripada salah seorang murid Haji Wan Ismail
Fathani.
Beliau menjelaskan bahawa
risalah itu diajarkan di Jambu, Patani secara hafalan. Orang yang menyerahkan
risalah itu bernama Nik Wan Halimah yang berusia lebih kurang 78 tahun (Oktober
2000). Ketika beliau menyerahkan risalah itu kepada saya, beliau masih hafal
apa yang termaktub dalam risalah itu.
Kemuncak penulisan Tok Ku Paloh
yang sering diperkatakan orang ialah kitab yang diberi judul Ma'arij al-Lahfan.
Sungguhpun kitab ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat sufi sekitar
Terengganu, Kelantan dan Pahang namun ia belum dijumpai dalam bentuk cetakan.
Saya hanya sempat membaca tiga
buah salinan manuskrip kitab itu. Ilmu yang terkandung di dalamnya adalah
mengenai tasawuf.
Sebagaimana telah disebutkan,
Tok Ku Paloh ialah seorang pejuang Islam dan bangsa. Beliau ialah penganut
Thariqat Naqsyabandiyah.
Antara anak Tokku Paloh ialah
Saiyid Aqil bin Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus. Beliau inilah yang
bertanggungjawab mentashhih dan menerbitkan kitab nazam Kanz al-Ula karya
datuknya, Tok Ku Tuan Besar, terbitan Mathba'ah al-Ahliyah Terengganu, 1347 H.
sumberArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4qDQ3ZF9f
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan