Sabtu, 5 Ogos 2017

3. Jelaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan di Malaysia.


A. Pengenalan.
Ketua negara Malaysia ialah Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Baginda merupakan Raja Berperlembagaan dan tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia. Jawatan baginda diwujudkan sejak tahun 1957 mengikut Perlembagaan Malaysia. YDPA merupakan lambang kedaulatan dan ketertinggian kuasa negara. Baginda menjadi tumpuan taat setia seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan kaum. YDPA dipilih oleh Majlis Raja – Raja dalam kalangan sembilan orang sultan Melayu mengikut peraturan pemilikan yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia. Jawatan YDPA dipegang secara bergilir – gilir dan bukan diwariskan mengikut keturunan. Jawatan YDPA dipegang selama lima tahun oleh setiap raja yang dipilih untuk memegang jawatan tersebut. YDPA tidak memiliki kuasa mutlak kerana baginda terikat dengan kuasa Perlembagaan Persekutuan. YDPA menjalankan kuasa pemerintahan negara berdasarkan nasihat Perdana Menteri.

B. Isi-isi.
YDPA merupakan ketua negara. Antara peranan atau tugas yang dilaksanakan oleh YDPA ialah pemerintah tertinggi angkatan tentera bersenjata Persekutuan Malaysia. Baginda merupakan lambang kedaulatan dan menjadi penaung kepada kekuatan negara. Majlis Angkatan Tentera dibawah kuasa am YDPA bertanggungjawab untuk memerintah, menjaga tatatertib, mentadbir dan menguruskan segala perkara yang berhubung dengan angkatan tentera. Baginda juga berkuasa untuk menjatuhkan hukuman, mengampunkan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan dalam mahkamah tentera. YDPA juga berkuasa mengampunkan kesalahan – kesalahan lain di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan dan segala hukuman dijatuhkan dalam mahkamah syariah di Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
Dari aspek agama, YDPA ialah ketua agama Islam bagi negeri - negeri yang tidak beraja seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. YDPA merupakan pelindung dan penaung agama Islam di kawasan – kawasan tersebut. YDPA juga menjadi ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri.
Dalam bidang perundangan, YDPA bertanggungjawab untuk memperkenankan rang undang – undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum diisytiharkan menjadi undang – undang yang sah. Semua perlaksanaan undang – undang yang diluluskan oleh Parlimen memerlukan pengiktirafan baginda sebelum dikuatkuasakan. Baginda mestilah mengiktiraf undang – undang yang baharu dalam tempoh 30 hari selepas diluluskan oleh Parlimen. Sekiranya baginda tidak bersetuju dengan rang undang – undang, baginda boleh merujuknya kepada Parlimen untuk dibincangkan semula.
Selain itu, YDPA mempunyai kuasa untuk melantik Perdana Menteri, Hakim dan Jemaah Menteri. Baginda juga berkuasa melantik dan mewujudkan jawatan Jemaah Menteri atas nasihat Perdana Menteri. Baginda berkuasa melantik anggota Jemaah Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja – Raja. YDPA juga bertanggungjawab untuk melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Agong  dan hakim – hakim mahkamah tinggi. YDPA turut bertanggungjawab untuk memelihara kedudukan istimewa masyarakat Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Seterusnya, YDPA juga berkuasa untuk memanggil, menangguh dan membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri. Tiada orang lain yang berhak melaksanakan tanggungjawab tersebut. Baginda juga boleh menolak permintaan untuk membubarkan Parlimen jika belum cukup tempoh lima tahun. Baginda boleh memberikan ucapan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Di samping itu, YDPA boleh meminta supaya diadakan Mesyuarat Majlis Raja – Raja tentang keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja – Raja Melayu.
Di samping itu, YDPA juga bertanggungjawab mentauliahkan duta – duta yang dihantar ke luar negara dan menerima tauliah duta dari negara asing. Baginda juga perlu menyambut tetamu luar negara yang setaraf dengan baginda seperti Ratu England atau Maharaja Jepun. Baginda juga berperanan menganugerahkan pingat kehormat kepada orang yang telah berjaya atau berjasa kepada negara.
Baginda juga mempunyai kuasa mengisytiharkan Undang-undang Darurat di bawah “Undang-undang X” jika didapati keselamatan negara terancam. YDPA juga bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan rakyat secara menyeluruh.

C. Kesimpulan
 YDPA sebagai ketua negara memikul peranan dan tanggungjawab tidak terhad di dalam dan luar negara. Namun dalam menjalankan kuasa eksekutif, baginda bertindak atas nasihat Perdana Menteri. YDPA adalah simbol keunikan sistem pemerintahan beraja berpelembagaan yang diamalkan di negara kita sejak mencapai kemerdekaan sehingga hari ini.
SKEMA 

SUMBER-PERCUBAAN SEJARAH STPM P3 NEGERI PAHANG 2016



Tiada ulasan:

Catat Ulasan