Mohd. Yussof Latiff
KEDUDUKAN Islam sebagai agama
rasmi dan bangsa Melayu sebagai anak watan negara ini sedang tercabar akibat
perpecahan orang Melayu yang ghairah berpolitik. GAMBAR HIASAN/UTUSAN
31 Ogos 2017 12:00 PM
SALAM sejahtera dan salam
merdeka. Tarikh 31 Ogos 2017 adalah hari yang penuh bersejarah dan adalah hari
keramat yang hendaklah dikenang dan dirayakan oleh rakyat Malaysia berbilang
kaum yang cintakan negara ini dan khasnya bangsa Melayu sebagai hari yang
memerdekakan negara yang tercinta ini daripada cengkaman penjajah.
Sempena menyambut Hari
Kebangsaan 2017 ini saya terpanggil untuk memberi pendapat menerusi pengalaman
dan penglibatan saya dalam gerakan menuntut kemerdekaan negara sejak 1946 lagi
khasnya mengenai kehebatan yang diperjuangkan oleh bangsa Melayu.
Hakikatnya, pencapaian
kemerdekaan Tanah Melayu bermula daripada hasil penyatuan bangsa Melayu.
Dengan penyatuan bangsa Melayu,
kita telah memerdekakan negara ini, yakni Persekutuan Tanah Melayu dan kini
Malaysia.
Dengan teras penyatuan bangsa Melayu, kita telah membina
negara ini dengan jayanya.
Dengan penyatuan bangsa Melayu
juga, ia tidak berniat dan tidak akan menafikan hak semua kaum yang menjadi
warganegara Malaysia seperti mana yang dipersetujui dalam perjanjian kontrak
sosial yang dipersetujui oleh semua kaum yang mengakui taat setia yang tidak
berbelah-bahagi kepada negara ini.
Dengan berpegang teguh kepada
konsep penyatuan bangsa Melayu juga, seterusnya adalah asas kekuatan perpaduan,
kestabilan politik dan kemakmuran negara untuk semua kaum yang tinggal di
negara tercinta ini.
Bangsa Melayu telah banyak
bertolak ansur dan mengorbankan hak-hak mereka kepada kaum-kaum lain di negara
ini demi mencapai kemerdekaan negara.
Kebahagiaan negara, kestabilan
politik dan kemakmuran rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum
berteraskan kepada penyatuan bangsa Melayu.
Kini, bukan sahaja negara yang
tercinta ini teruji dan tercabar, bahkan kedudukan agama Islam sebagai agama
rasmi negara dan bangsa Melayu sebagai anak watan negara ini sedang teruji dan
tercabar akibat dari perpecahan orang Melayu yang ghairah berpolitik
Menerusi perayaan ulang tahun
ke-60 pada 2017, marilah kita menyambut Hari Kebangsaan yang tercinta ini
dengan hasrat dan niat serta berdoa ke hadrat Allah SWT supaya orang-orang
Melayu bersatu semula tanpa mengira fahaman pegangan ideologi dan latar
belakang politik bagi mewujudkan semula simbol ketuanan bangsa Melayu di negara
ini.
Ini sebagaimana seruan
“Bersatulah kita orang Melayu seperti mana kita pernah bersatu.
Sebagaimana kita berjaya
mencapai kemerdekaan negara kita.”
Apalah sangat untuk
mementingkan kedudukan, martabat, pangkat, jawatan dan fahaman kerana semuanya
ini hanya sementara.
Kembalilah ke pangkal untuk
kita bangsa Melayu bersama-sama membuktikan bahawa kita adalah suatu bangsa
yang bermaruah, bermartabat dan bersatu padu.
Justeru, akan terbina suatu
benteng kekuatan bangsa yang kukuh yang tidak boleh diganggu dan digugat oleh
sesiapa pun.
Untuk mengenang sejarah dan
erti kemerdekaan, generasi muda masa ini perlu dan wajib diberi pengertian
bahawa pencapaian kemerdekaan negara ini bukan datang secara bergolek.
Banyak pengorbanan dari segi
tenaga, harta benda, wang ringgit mahupun nyawa yang telah dilakukan dan telah
dikorbankan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan dan pembela tanah air termasuklah
angkatan bersenjata dan polis untuk menentang musuh dari dalam dan luar negara.
Atas kebijaksanaan
pemimpin-pemimpin Melayu khasnya pemimpin tersohor, Almarhum Tunku Abdul
Rahman dengan dibantu secara jujur dan ikhlas oleh pemimpin-pemimpin lain
seperti Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul
Rahman, mendiang Tun Tan Cheng Lock, mendiang Tun Kolonel H.S. Lee, mendiang
Tun Tan Siew Sin, mendiang K.L Devaser dan mendiang Tun Sambanthan telah
membawa kemerdekaan negara ini menerusi perundingan dengan penjajah Inggeris.
Namun di antara Almarhum Tunku,
terdapat ramai lagi tokoh besar dan kecil sebagai pejuang dan pembebas tanah
air ini daripada cengkaman penjajah dan anasir-anasir jahat, dengan nama-nama
mereka tertinggal dalam catatan tinta emas lipatan sejarah.
Kita hanya berserah kepada
Allah SWT Yang Maha Esa lagi Maha Mengetahui dan semoga Allah merahmati
perjuangan dan roh-roh mereka sebagai pembela watan dan dihimpun bersama para
syuhada dan solihin. Amin.
TAN SRI MOHD. YUSSOF LATIFF
ialah Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang).
SUMBER- http://m.utusan.com.my/rencana/utama/bersatulah-melayu-1.521081
Tiada ulasan:
Catat Ulasan