OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Nabi Muhammad SAW telah
meletakkan batu asas yang cukup kukuh dalam pemerintahan dan pentadbiran negara
dengan memberikan contoh teladan yang baik untuk dijadikan panduan dan ikutan
umat manusia.
Nabi Muhammad SAW telah mengasaskan
negara Islam di Madinah berteraskan wahyu yang telah diturunkan olehAllah SWT
untuk menjadi garis panduan mengenai asas-asas pemerintahan bagi seluruh
manusia. Al-Quran menegaskan konsep keadilan dalam pemerintahan Islam kerana
keadilan akan melahirkan kesetiaan rakyat terhadap pemerintah.
Keadilan yang dimaksudkan bukan merujuk
kepada rakyat biasa sahaja, tetapi juga kepada golongan atasan dan pemerintah
supaya berlaku adil dalam semua hal serta dalam semua keadaan bagi mencetuskan
keadilan dan kesejahteraan dalam sesebuah negara.Al-Quran sememangnya tidak
menerangkan secara terperinci tentang prinsip pembentukan negara, namun
al-Quran mengingatkan umatnya supaya bermesyuarat dalam melakukan sebarang
urusan.[1]
Justeru, langkah-langkah yang dilakukan
oleh Nabi Muhammad SAW dan Khulafa' al-Rasyidin merupakan contoh terbaik bagi
umat Islam.Islam mengarahkan umatnya patuh kepada ketua pemerintah (ali al-amr)
supaya tidak berlaku huru-hara dan perpecahan dalam
masyarakat.
Umumnya, langkah-langkah yang diambil
oleh Nabi Muhammad SAW dan para Khulafa' al-Rasyidin boleh dijadikan asas
pemerintahan dan pentadbiran negara yang adil bagi generasi selepas mereka
supaya mereka dapat menghadapi sebarang rintangan dan cabaran yang mendatang.
Sebelum ketibaan Nabi Muhammad SAW ke
Madinah, tidak terdapat sebuah pemerintahan dan pentadbiran yang teratur serta
berlandaskan undang-undang perlembagaan sepertimana yang berlaku pada zaman
baginda. Masyarakat Madinah berpecah sesama mereka, khususnya antara orang Yahudi
dengan orang Arab.Nabi Muhammad SAW telah menegakkan sebuah negara Islam
selepas peristiwa Perjanjian Aqabah atau selepas peristiwa Hijrah ke Madinah.
Baginda telah merangka struktur untuk menegakkan sebuah negara.[2]
[1] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah
Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),27.
[2] Ibid,27.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan