Oleh
Balqis Jazimah Zahariam@hmetro.com.my
Kampar:
Tapak sejarah Perang Dunia Kedua ‘Green Ridge: Battle of Kampar’, di sini,
dicadang untuk diwartakan sebagai kawasan warisan bagi memulihara kawasan
berkenaan dan membangunkannya sebagai kawasan tarikan pelancong.
Pengarah
Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Negeri Perak
Mohd Hizaz Mohd Ibrahim berkata, pihaknya mencadangkan agar lokasi berkenaan
diwartakan sebagai kawasan warisan sebagai usaha membantu kerajaan Perak
melaksanakan pemuliharaan di kawasan berkenaan.
Menurutnya,
Kedutaan India di Malaysia juga sudah mengutus surat kepada Menteri Besar,
Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, baru-baru ini bagi memohon supaya kerajaan
negeri membangunkan lokasi berkenaan termasuk membina tugu peringatan perang di
situ.
“Lanjutan
daripada itu, kita menjalankan usaha pertama dengan merintis dan menjejak
semula lokasi berkenaan di kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar. Kita
menjangkakan terdapat lebih 10 ‘bunker’ (kubu) yang perlu dibaik pulih.
“Kami
juga dalam proses memanjangkan perkara ini ke ibu pejabat MOTAC bagi memohon
peruntukan bagi membangunkan kawasan ini. Kita akan memastikan usaha ini
dilakukan secepat mungkin bagi memajukan kawasan ini,” katanya selepas
menyertai Program Lawatan dan Pemuliharaan Tapak Sejarah Perang Dunia Kedua
‘Green Ridge: Battle of Kampar’ yang berakhir lewat petang kelmarin.
Pengerusi
Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi
negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, mengetuai program lawatan berkenaan
yang berlangsung sehari suntuk kelmarin.
Lokasi
‘Green Ridge: Battle Of Kampar’ merujuk kepada kawasan pertempuran hebat di
atas sebuah bukit di antara sepasukan 1,500 tentera British yang turut
membabitkan tentera India, Sikh dan Gurkha menentang 4,000 tentera Jepun selama
empat hari empat malam pada 30 Disember 1941.
Pertempuran
yang menyaksikan kemenangan di pihak British itu turut mengakibatkan 150
tentera British dan 500 tentera Jepun maut dan dikebumikan di satu tempat di
kawasan berkenaan yang dikenali sebagai Green Ridge.
Dalam
program pemuliharaan yang dijalankan itu, seramai 60 anggota Tentera Darat dan
40 sukarelawan menyertai program lawatan dan bergotong royong membersihkan
tapak ‘Green Ridge: Battle of Kampar’ serta kawasan Kampung Tanjong Bakong di
Malim Nawar.
Sementara
itu, Nolee berkata, perancangan kerajaan negeri adalah bekerjasama dengan MOTAC
untuk memelihara dan membangunkan semula aset penting dan tapak warisan sejarah
dunia itu.
“Sebelum
ini, memang sudah ada trek dan laluan di kawasan berkenaan yang diuruskan oleh
sepasukan sukarelawan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), namun pada hari
ini kita mendapati ia sudah terbiar.
“Justeru,
peringkat fasa pertama, kita akan menghidupkan laluan dengan melakukan
pembersihan semula tapak dan seterusnya melihat kepada potensi sebenar
pembangunan yang lain.
“Kita
akan mengenal pasti agensi yang bertanggungjawab untuk menjaga dan memulihara
kawasan ini. Matlamatnya adalah menyerlahkan semula satu daripada lokasi
peperangan terpenting ketika Perang Dunia Kedua,” katanya.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 9:14 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan