Isnin, 29 Februari 2016

MENTERI PERTAHANAN NEW ZEALAND MENYERAHKAN KAPAL TERBANG KEPADA TUN ABDUL RAZAK PADA 29.2.2016

Pada hari ini dalam tahun 1968, Menteri Pertahanan New Zealand, Tuan D.S. Thomson telah menyerahkan dua buah kapal terbang jenis Devon kepada Tentera Udara Diraja Malaysia dalam satu upacara di lapangan terbang TUDM di Kuala Lumpur. Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein yang juga Menteri Pertahanan Malaysia menerima penyerahan kapal terbang yang dihadiahkan oleh kerajaan New Zealand itu. Sempena upacara penyerahan itu juga satu perbarisan kehormat terdiri dari 50 orang pegawai-pegawai TUDM telah diadakan. Ketika menyerahkan kapal terbang itu, Tuan Thomson menyatakan bahawa Tentera Udara New Zealand (RNZAF) dan TUDM mempunyai banyak persamaan dalam bidang tugas masing-masing dan sumbangan kapal terbang kepada TUDM itu adalah sebagai tanda persahabatan dan hubungan erat di antara kedua-dua angkatan udara. Manakala Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein dalam ucapan balasnya menyatakan rasa terima kasih di atas sumbangan itu dan berharap pihak New Zealand akan terus membantu Malaysia dalam usaha memperkembangkan tentera udaranya. Dengan wujudnya hubungan erat itu akan dapat memajukan lagi pertahanan kedua-dua negara khususnya Malaysia yang sedang berusaha memajukan angkatan udaranya.

SUMBER- http://hids.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan