Pada hari ini dalam tahun 1949,
Persatuan Cina Malaya (MCA) ditubuhkan. Penubuhannya adalah hasil daripada
perjumpaan seramai 300 orang perwakilan Cina dari seluruh Persekutuan Tanah
Melayu kecuali Kelantan di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur. Di perhimpunan
tersebut, para perwakilan telah memilih 100 orang ahli jawatankuasa pusat dan
wakil negeri-negeri. Jawatankuasa pusat dipengerusikan oleh Tan Cheng Lock,
Encik Yong Shook Lin dan Encik Leong Chung Lin sebagai Setiausaha Bersama.
Bendahari disandang oleh Encik Khoo Teik Ee. Antara jawatankuasa kecil yang
dibentuk ialah Jawatankuasa Kecil Perundangan, Jawatankuasa Kecil Kebajikan,
Jawatankuasa Kecil Kewangan dan Jawatankuasa Kecil Publisiti. Selain itu, para
perwakilan juga bersetuju memilih Kuala Lumpur sebagai ibu pejabat MCA.Di
antara matlamat penubuhan MCA ialah:
untuk merapatkan hubungan
dikalangan masyarakat Cina dengan masyarakat lain di Tanah Melayu berasaskan
semangat muhibah, persefahaman dan kerjasama.
menyatukan orang-orang Cina
untuk menentang komunis serta memberi gambaran kepada masyarakat iaitu bukan
semua orang Cina berfahaman komunis
untuk menguatkan persatuan
dengan tujuan menjadikan MCA sebagai wakil orang-orang Cina dengan kerajaan
Inggeris.
Tan Cheng Lock dalam ucapannya
mengingatkan masyarakat Cina agar sentiasa memelihara hubungan baik dengan kaum
lain dan hendaklah menjauhkan diri dari dipengaruhi oleh Parti Komunis Malaya
(PKM). MCA juga turut membantu pihak British memindahkan orang-orang Cina ke
Kampung Baru. Penubuhan MCA pada ketika itu telah mendapat sokongan dan galakan
yang baik daripada pihak British. Sehubungan itu, pada 12 Jun 1949 perlembagaan
pertama MCA telah diluluskan. Walau bagaimanapun, di peringkat awal
penubuhannya MCA lebih mirip kepada pertubuhan kebajikan. Namun pada tahun
1952, MCA telah menjadi sebuah pertubuhan politik dan telah dapat menyatukan
orang-orang Cina serta memenuhi kekosongan politik di Tanah Melayu.
Sumber-http://hids.arkib.gov.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan