Isnin, 24 Ogos 2015

Titik tengah Semenanjung


 
MOHD. SHARKAR menurunkan tandatangan pada kain rentang 'Titik Tengah Semenanjung Malaysia' ketika program Fellowship Ride: Kayuhan Ke Titik Tengah Semenanjung Malaysia 2015 di Kampung Paya Siput, Lanchang, Temerloh semalam.

TEMERLOH – Kerajaan negeri Pahang akan membina sebuah mercu tanda di Batu 11, Kampung Paya Siput, Lanchang, dekat sini tidak lama lagi sebagai deklarasi rasmi bahawa kampung yang berada kira-kira 80 kilometer dari bandar Temerloh itu merupakan lokasi sebenar titik tengah Semenanjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, sebelum ini masih ramai rakyat negara ini tidak tahu lokasi sebenar titik tengah Semenanjung malah ada beberapa pendapat mengatakan bahawa ia terletak di kawasan Kuala Lipis dan Maran.

"Bagaimanapun, selepas Jabatan Ukur dan Pemetaan menjalankan kajian (pada tahun 2009), maka kita ketahui bahawa lokasi sebenar titik tengah Semenanjung ialah di Kampung Paya Siput.

"Ini adalah kali pertama kami mengumumkan Kampung Paya Siput merupakan lokasi sebenar titik tengah Semenanjung. Mercu tanda baharu yang akan dibina nanti akan menambahkan lagi keunikan negeri Pahang," kata beliau menyempurnakan pelepasan peserta Fellowship Ride: Kayuhan Ke Titik Tengah Semenanjung Malaysia 2015 di Dataran Temerloh di sini semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar dan Pengarah Jupem Pahang, Mohammad Yunus Md. Yusuf.

Kayuhan sejauh 80 kilometer dari Temerloh ke Kampung Paya Siput itu disertai 550 peserta terdiri daripada pelumba profesional, amatur dan peminat sukan berbasikal tempatan.

Mohd. Sharkar yang juga Presiden Majlis Pelancongan Kebangsaan (MyTC) berkata, pihak majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) juga akan membangunkan lokasi titik tengah Semenanjung sebagai sebuah destinasi ekopelancongan yang baharu di Pahang.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3jjdAprdA Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan