AGENSI - GAMBAR fail
menunjukkan lambakan cincin emas milik orang Yahudi yang dibunuh tentera Nazi
ditemui tentera Amerika Syarikat pada 1945.
BERCHTESGADEN, Jerman – Sebuah
kereta api ‘hantu’ tentera Nazi yang penuh dengan emas dan wang tunai didakwa
telah ditemui di dalam terowong lama di pergunungan di Poland, 70 tahun
selepas pasukan Third Reich tewas semasa Perang Dunia Kedua.
Sekumpulan pencari harta karun
mendakwa berjaya menemui kereta api yang turut dipenuhi senjata api dan permata
bernilai selepas sekian lama legenda mengenainya tersebar dalam kalangan
penduduk setempat.
Legenda itu menceritakan
bagaimana tentera Nazi berusaha menyorokkan harta rampasan perang daripada
tentera Soviet Union yang sedang mara sebagai satu ‘polisi insurans’ bagi
membolehkan mereka memulakan hidup baharu di tempat lain jika kalah dalam
peperangan tersebut.
Kegilaan mengejar harta
dijangka bernilai £20 bilion (RM130.86 bilion) di dalam kereta api itu
disemarakkan lagi dengan penemuan bar emas bernilai £12,000 (RM78,515)
berhampiran rumah tepi tasik milik Adolf Hitler di Berchtesgaden baru-baru ini.
Selain itu, satu lukisan yang
dianggar bernilai £1 bilion (RM6.54 bilion) yang disyaki dicuri tentera Nazi
telah ditemui semula dua tahun lalu di dalam sebuah pangsapuri usang di Munich
di bawah jagaan cucu kepada seorang penjual barang seni dan bersejarah era
1940-an.
Selain emas, perak dan wang
tunai, sekitar 100,000 hasil seni dan artifak bersejarah yang dirampas tentera
Nazi juga masih hilang sehingga hari ini.
Pencari harta karun masih
memburu perhiasan perak milik orang Yahudi serta harta rampasan dari
gereja-gereja di samping barang berharga dari ‘Bilik Amber’ milik Czar Rusia
yang dijarah tentera Nazi dan tidak ternilai harganya.
Sekitar 104 kilometer dari
Berlin, runtuhan rumah ketua tentera udara dan timbalan Fuehrer Nazi, Hermann
Goering yang terkenal sebagai ‘perompak terbesar dalam sejarah’ turut menjadi
tumpuan untuk mencari petunjuk ke mana harta-harta rampasan perang itu
dilarikan. – Agensi
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0822&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3jXqJBjGW
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan