Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz-azimfitri@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kejam dan tidak berhati perut apabila wanita yang sarat mengandung turut dibunuh komunis selain balai polis diserang dan dimusnahkan.
Itu antara babak pantomim pejuang negara menentang pengganas komunis pada 27 Jun 1948 yang dipersembahkan sempena sambutan Hari Pahlawan di Dataran Merdeka pagi semalam.
Peristiwa berdarah yang berlaku di Balai Polis Kuala Krau, Pahang, lebih 60 tahun lalu itu mengorbankan nyawa 25 anggota polis dan keluarga mereka.
Persembahan pantomim bertemakan kisah pejuang negara itu turut disertakan dengan deklamasi sajak bertajuk ‘Pahlawan’ yang disampaikan Deputi Superintendan Rosbaini Kassim dan Asisten Superintendan Mohamad Mahat.
Dua acara utama itu menjadi fokus sambutan selain upacara perbarisan dan pertunjukan tempur oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perbarisan dan pantomin disertai 531 anggota dan 27 pegawai ATM dan PDRM itu diketuai Deputi Superintendan Mohamad Zaini dan Ketua Pancaragam Superintendan Mohamad Rosli Omar.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan mencemar duli menyaksikan upacara sambutan berkenaan.
Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan isteri Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah.
Hadir sama, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkefli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Sementara itu , Othman Mohd Yusoff, 72, yang ditemui menceritakan saat ibunya mati ditembak pengganas komunis dalam serangan di Balai Polis Kuala Krau ketika dia baru berusia dua tahun.
“Memang pada waktu itu (serangan komunis) saya tidak faham dan ingat apa-apa. Namun orang kampung memberitahu menemui saya terselamat berhampiran mayat arwah ibu, Mahami Konel dengan keadaan mulut saya dipenuhi darah.
“Penduduk kampung menceritakan saya diselamatkan selepas dua hari serangan berlaku,” katanya.
Biarpun tidak merasai keperitan serangan komunis pada tahun 1948 itu, namun dia dan abangnya tetap sedih berikutan kehilangan ibu pada usia muda.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:17 AM
- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/67537#sthash.wnkkMfsY.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan