Isnin, 24 Ogos 2015

Ekskavasi rungkai misteri Dakota

Oleh ZAKI SALLEH
 
 SERPIHAN sayap antara bahagian pesawat C-47B Dakota ini yang masih dalam keadaan baik.

KUALA LUMPUR – Penantian selama 70 tahun keluarga tiga kru Kor Udara Tentera Darat Amerika Syarikat (USAAC) yang pesawatnya terhempas di Hutan Simpan Bubu, Beruas, Perak bakal berakhir apabila misi ekskavasi bagi membawa keluar rangka mangsa berkenaan dimulakan Khamis ini.

Ketua Penyelidik Kumpulan Sejarah Malaysia (MHG), Shaharom Ahmad berkata, kerja-kerja awal oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Muzium Tentera Darat (Muzium TD) telah dilakukan sejak dua minggu lalu.

"Ini melibatkan pembinaan kem sementara, laluan masuk untuk kenderaan pacuan empat roda ke kawasan ekskavasi serta sebuah tapak pendaratan helikopter di dalam hutan tersebut," katanya.

 BAHAGIAN sisi badan pesawat yang tertera lambang USAAC.

Tiga kru USAAC itu terbunuh selepas pesawat pengangkut jenis Douglas C-47B Dakota (43-16261) terhempas ketika dalam penerbangan menghantar bekalan dari Singapura ke Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada 27 November 1945.

Mereka yang terkorban ialah juruterbang, Pegawai Udara Judson Baskett; pembantunya, Leftenan Muda William Myers dan jururadio, Prebet Donald Jones.

Menurut Shaharom, ekskavasi yang diketuai Muzium TD itu dijangka berlangsung selama sebulan dan turut disertai 30 pegawai daripada Defense Prisoner of War/Missing in Action Accounting Agency Amerika Syarikat (DPAA).

Shaharom memberitahu, keluasan kawasan pencarian itu adalah kira-kira 560 meter persegi atau bersamaan dengan saiz dua buah gelanggang bola keranjang.

"Kawasan nahas ini pula terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Beruas atau empat jam perjalanan menaiki kenderaan pacuan empat roda," ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3jjFJ6eAa Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan