ARKIB : 16/03/2009
Oleh ALLAHYARHAM HJ. WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
DALAM surat sebaran Borang Pendaftaran Seminar
Khazanah Pemikiran Islam yang dianjurkan oleh InfoTaiment Enterprise, pada 21
Julai 1996, jelas disebutkan, “Di dalam Perspektif Sejarah Islam di Alam
Melayu, Saidina Ali lebih ditonjolkan sebagai manusia yang perkasa ...”
Mengenai yang tersebut adalah merupakan pengaruh sebuah hikayat yang tidak
diketahui nama pengarangnya, hikayat tersebut dikenali dengan judul Hikayat Ali
Hanafiyah. Hikayat tersebut terdapat beberapa versi, ditulis dalam tulisan
Melayu/Jawi dan sejak dulu telah diusahakan penglatinan/pengrumiannya.
Dalam ruangan ini penulis tidak akan
membicarakan perkara yang sudah cukup banyak dikenal oleh masyarakat, terutama
oleh para pengkaji sastera, tetapi cuba untuk memperkenalkan tulisan-tulisan
klasik yang bersumberkan dari beberapa tulisan para ulama’ alam Melayu sendiri.
Ini bererti adalah merupakan sumber yang kukuh jika dibandingkan dengan Hikayat
Ali Hanafiyah yang tidak jelas nama pengarang yang disebutkan di atas.
Sungguhpun demikian yang ditulis oleh para
ulama’ bukanlah merupakan kitab yang khusus membicarakan seluruh aspek yang
bersangkutpaut dengan Saidina Ali, tetapi adalah merupakan tulisan-tulisan yang
dimasukkan dalam karya-karya dalam berbagai-bagai disiplin ilmu, terutama:
tarikh, akidah dan tasauf. Selain itu juga dalam karya-karya berupa fiqh,
hadis, dan lain-lain.
Pengaruh Saidina Ali di Alam Melayu boleh
dikatakan sangat besar, meliputi dalam berbagai-bagai jurusan. Bermula dari
pengaruh beliau sendiri hinggalah keturunan-keturunannya sebagai penyebar Islam
di alam Melayu, dan juga mereka telah berhasil menjadi sultan (ketua
pemerintahan) dalam banyak kerajaan di alam Melayu ini.
Untuk menulis tentang pengaruh beliau di alam
Melayu tidaklah begitu sukar, tetapi untuk mengemukakan pemikiran beliau memang
merupakan persoalan yang sukar jika kita tidak tekun dalam dunia pengkajian.
Adapun mengenai pemikiran keturunan beliau juga
bukanlah persoalan yang sukar sangat untuk membuktikannya, tidak dapat kita
nafikan bahawa sangat ramai keturunan Saidina Ali di Alam Melayu menjadi ulama
yang mengarang kitab.
Sebagai contoh termasuk Sheikh Muhammad Arsyad
bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Abdus Samad al-Falimbani, Sheikh Daud bin
Abdullah al-Fathani, Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Abdul Hamid Kudus dan
ramai lagi, adalah ulama-ulama besar Alam Melayu yang nasabnya bersambung
kepada Saidina Ali bin Abi Talib.
Dua nama yang tidak terdapat pada sahabat-
sahabat selain beliau
Terdapat dua sebutan atau gelaran yang ada pada
Saidina Ali yang tidak terdapat pada para sahabat Nabi Muhammad SAW, yang
dimaksudkan barangkali bukan hanya dunia Melayu saja, tetapi juga di seluruh
dunia Islam.
Dua nama itu ialah: “Karramallahu wajhah”, dan
“Imam Masyariq wal Magharib”.
Mengenai gelaran pertama di hujung nama Saidina
Ali dengan “Karramallahu wajhah”, memang tidak pernah digunakan untuk sekian
ramai sahabat Nabi Muhammad SAW, gelaran tersebut khusus untuk beliau seorang
saja.
Untuk sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW selain
Saidina Ali, sama saja baik memangku pangkat tertinggi sebagai khalifah mahupun
sebagai sahabat biasa, hanya menggunakan nama “Radhiyallahu ‘anhu”.
Kebanyakan karya ulama tradisional Melayu, dalam
apa saja disiplin ilmu yang mereka tulis, apabila terdapat nama Saidina Ali
adalah memakai nama “Karramallahu wajhah” itu. Bahkan demikian juga jika kita
buka semua kitab-kitab golongan sunni selain yang ditulis oleh ulama Alam
Melayu.
Sama ada disedari mahu pun tidak, diakui ataupun
tidak, ini adalah satu bukti bahawa Saidina Ali bin Abi Talib, memang ada ciri
khas daripada sahabat-sahabat yang lain. Bahawa beliau mendapat tempat
tersendiri di dalam perasaan lubuk hati yang tersembunyi umat Islam dunia
Melayu khasnya dan umat Islam antarabangsa amnya.
Bahkan kadang-kadang sewaktu tuan guru-tuan guru
Melayu mengajar dijelaskan juga sebab-sebab dinamakan dengan “Karramallahu
wajhah” itu, iaitu dua sebab. Pertama: Kerana beliau seorang sahabat Nabi
Muhammad SAW yang tidak pernah menyembah berhala semenjak kecil dan beliau
masuk Islam secara fitrah sejak kecil lagi. Sebab yang kedua ialah: bahawa
Saidina Ali bin Abi Talib tidak pernah melihat kemaluannya sendiri.
Gelaran yang sangat menonjol untuk Saidina Ali
yang kedua ialah: “Imam Masyariq wal Magharib”, yang membawa maksud; Imam
seluruh kawasan timur dan barat. Gelaran ini pun tidak pernah wujud untuk
sahabat-sahabat yang lain selain beliau. Sebelum munculnya era pembaharuan Islam
di Alam Melayu, sebutan itu sentiasa dibaca dalam khutbah yang kedua setiap
hari Jumaat.
Sehingga sekarang pun sebutan itu di beberapa
tempat di Alam Melayu yang masih belum begitu terserap pengaruh pembaharuan
tajdid masih digunakan dalam khutbah yang kedua setiap hari Jumaat. Mengenai
ini juga dapat diambil kira sebagai pengaruh Saidina Ali yang begitu besar bagi
masyarakat Islam dunia Melayu sehingga tetap mengakui sebagai “Imam Timur dan
Barat”.
Keagungan nama dalam karya sejarah
Sejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW sangat
banyak dihasilkan oleh ulama Alam Melayu, tetapi sejarah yang bercorak lengkap
mulai lahir hingga wafat boleh dikatakan sangat langka. Sheikh Ahmad bin
Muhammad Zain al-Fathani boleh dikatakan termasuk dalam kategori ulama Alam Melayu
peringkat awal menulis sejarah Nabi Muhammad SAW mulai lahir hingga wafat.
Terkumpul dalam kitab berjudul, Badrut Tamam wan
Nujumuts Tsawaqib, diselesaikan 9 Rabiulakhir 1307 H di Mekah, bahawa Fasal
Yang Kedua membicarakan: “Manaqib Saidatina Fatimah Radhiyallahu ‘anha”.
Diikuti dengan Fasal Yang Ketiga mengenai: “Manaqib Dua Penghulu Sekelian Orang
Muda-muda Ahli Syurga Saidina Hasan dan Saidina Husein Radhiyallahu ‘anhuma”,
dan yang terakhir sekali, iaitu Fasal Yang Ketujuh mengenai: “Manaqib Panglima
Yang Amat Berani Saidina Ali Karramahullahu Wajhah”.
Kitab yang memperkenalkan kehebatan Saidina Ali
pula ialah karya berjudul, Nurul Anwar, diselesaikan pada 16 Rejab 1320 di
Thaif, oleh Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani.
Dalam karya ini separuh daripada kandungannya
menceritakan kisah Saidina Ali. Judul-judul perbicaraan ialah “Fasal Saidina
Ali Islam Dalam Usia 13 Tahun”, “Fasal Saidina Ali Mempunya Perkataan Jadi
Pengajaran”, “Fasal Setengah Daripada Berani Perang Saidina Ali”, “Fasal Perang
Jamal, “Fasal Perang Siffin”, “Fasal Bersangat Besar Berperang Dan Sebab Jatuh
Berbaik Antara Dua Askar”, dan “Fasal Menyatakan Perang Saidina Ali Akan Orang
Khawarij”.
Penulis akui sebelum kedua-dua karya tersebut,
memang telah ditulis banyak maklumat mengenai Saiyidina Ali dalam bahasa Melayu
ditulis oleh Seikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tetapi bukan merupakan dalam
karya sejarah yang khusus melainkan ditempatkan dalam karya-karya akidah.
Dalam Fathul Mannan, Sheikh Daud bin Abdullah
al-Fathani mengawali perbahasan mengenai Saidina Ali, beliau menulis, “...
adalah kuniyahnya Abul Hasan dan Abu Turab anak Abi Talib anak Abdil Mutalib
anak Hasyim anak Abdi Manaf. Dan ibunya Fatimah binti Asad anak Hasyim anak
Abdi Manaf. Dan Islam ia padahal umurnya tujuh tahun, kata qil sembilan
[tahun], kata qil sepuluh tahun ...”.
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyebut
juga bahawa anak Saidina Ali semuanya 15 orang lelaki dan 19 perempuan, jadi
jumlah semua 34 orang. Mereka ialah: Hasan, Husein, Muhsin, Zainab, Ummu
Kaltsum, ibu mereka ialah Saidatina Fatimah. Muhammad Akbar, Muhammad
Hanafiyah, Abdullah, Abu Bakar, ibu mereka ialah Laili. Abbas, Utsman, Ja’far,
Abdullah, ibu mereka ialah Ummul Banin anak Hazam. Muhammad Asghar, ibunya
adalah dari seorang sahaya. Yahya, Aun ibunya ialah Asma’ binti Umaisy. Umar
Akbar, Ruqaiyah, ibunya ialah Sahba’.
Muhammad al-Ausat, ibunya ialah Umamah binti
Abil ‘As. Ummul Husein, Ramlah, ibunya Ummu Sa‘id binti Urwah. Umamah,
Khadijah, Ummul Kiram, Ummu Ja‘far, Humanah/Jumanah, Nafisah dan seorang lagi
anak beliau yang perempuan mati kecil (Fathul Mannan, hlm 35). Walaupun jumlah
sebenarnya 34 orang, tetapi yang disebut oleh Sheikh Daud bin Abdullah
al-Fathani dalam kitab tersebut hanya 27 orang saja.
Sungguhpun kitab Badrut Tamam karya Sheikh Ahmad
al-Fathani tidak begitu tebal, namun terdapat beberapa riwayat yang menarik dan
jarang dijumpai dalam buku-buku moden sekarang ini.
Di antara peranan Saidina Ali yang diceritakan
dalam Badrut Tamam, yang masih berpengaruh kepada masyarakat Alam Melayu, dan
banyak diceritakan orang ialah peristiwa ketika Rasulullah akan berhijrah dari
Mekah ke Madinah yang pada malam itu ditugaskan Saidina Ali mengganti beliau
tidur di atas tempat tidur baginda. Sheikh Ahmad al-Fathani dalam memaparkan
cerita tersebut merujuk kepada perkataan Ibnu Ishaq (Badrut Tamam, ibid hlm.
19).
Dalam Badrut Tamam juga Sheikh Ahmad al-Fathani
menceritakan peranan Saidina Ali dalam upacara ketika baginda Rasullullah
wafat. Beliau menulis, “Dan memandikan dia SAW oleh Saidina Ali bin Abi Talib,
dan Saidina al-Abbas bin Abdul Mutalib, dan al-Fadhal bin al-Abbas, dan Qatsam
bin al-Abbas, dan Usamah bin Zaid dan Syaqran sahaya Rasulallah SAW.
“Maka adalah Saidina Ali menyandarkan dia dan
membasuhkan dia. Dan al-Abbas, dan al-Fadhal, dan Qatsam membalik-balikan dia.
Dan Usamah dan Syaqran menuangkan air atasnya. Dan sekalian mata mereka itu
dibarutkan.
“Diriwayatkan daripada Saidina Ali, bahawasanya
berkata ia, “Telah berwasiat akan daku oleh Rasulullah, bahawa tiada memandikan
dia lain daripadaku. Maka bahawasanya tiada melihat seseorang akan auratku,
melainkan dihimpuskan dua matanya” (Badrut Tamam, hlm. 25).
Ketika mengkebumikan Nabi Muhammad SAW,
menurunkannya ke kubur juga dilaksanakan oleh Saidina Ali bin Abi Talib, yang
dibantu oleh al-Abbas, al-Fadhal, Qatsam dan Aus bin Khauli nenek Bani ‘Auf.
(Badrut Tamam, hlm. 26).
Memperhatikan riwayat di atas dapat dinilai
bahawa Saidina Ali adalah berperanan terhadap Rasulullah dalam keseluruhan
perjuangan beliau, sama ada ketika hidup hinggalah tamat riwayat baginda.
Perkara yang dipetik tersebut adalah termaktub
dalam Fasal Pertama Badrut Tamam, ada pun pada bahagian biografi Saidina Ali
sendiri (Fasal Ketujuh dalam Badrut Tamam) lebih banyak maklumat mengenai Saidina
Ali. Dimulai daripada beliau di dalam kandungan sehingga kewafatannya.
Adapun Nurul Anwar karya Sheikh Utsman bin
Syihabuddin al-Funtiani nampaknya lebih banyak memperkenalkan
peperangan-peperangan yang diperanani oleh Saidina Ali, sama ada peperangan itu
bersama-sama Rasulullah SAW ataupun peperangan yang dipimpin oleh Saidina Ali
sendiri.
Sangat banyak juga perkara yang disebutkan oleh
Sheikh Utsman al-Funtiani yang tidak tersebut dalam buku-buku sejarah Islam
moden. Ini sebagai bukti pembacaan ulama silam dunia Melayu memang luas.
Di antara yang menarik bagi penulis, bahawa
disebut dengan jelas nama musuhnya setiap peperangan yang terjadi antara
Saidina Ali dengan lawannya. Dalam peristiwa perang antara pihak penyokong
Saidina Ali dengan Mu’awiyah bin Abi Sufyan, nampaknya sangat lengkap nama
disebut satu persatu. Bererti daripada kitab ini kita dapat menyenaraikan siapa
di antara sahabat Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyokong Saidina Ali dan
siapa pula sebagai penyokong Mu’awiyah.
Demikian halnya perselisihan antara Saidina Ali
dengan Saidatina Aisyah r.a semua yang berpihak dan penentang disebut dengan
jelas. Dalam sekian banyak kitab Melayu/Jawi dalam kajian penulis, kitab Nurul
Anwar tersebut adalah satu-satunya kitab yang membicarakan perkara itu.
Bahkan bagi pengamatan penulis bahawa sampai
sekarang buku yang ditulis dalam bahasa Indonesia atau Melayu moden memang
belum dijumpai perbicaraan yang agak jelas seperti itu.
Penutup
Perbicaraan mengenai pengaruh dan pemikiran
Saidina Ali di alam Melayu ini masih banyak yang perlu diperkenalkan lagi.
Oleh itu disebabkan keterbatasan ruangan ini,
maka perbicaraan tersebut pula akan dilanjutkan pada keluaran seterusnya dengan
menyentuh mengenai nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks hadis
Nabi SAW pada konteks ilmu kalam dan pada konteks ilmu tasawuf.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz54m5HX8k2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan