ARKIB : 17/03/2009
ABDULLAH Ahmad Badawi dan Sultan Brunei Sultan
Hassanal Bolkiah bertukar-tukar Surat Pertukaran selepas majlis
menandatanganinya di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan, semalam.
BANDAR SERI BENGAWAN 16 Mac Brunei Darussalam
hari ini secara rasmi menggugurkan tuntutan ke atas Limbang di Sarawak selepas Sultan
Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
menandatangani Surat Pertukaran bagi menyelesaikan isu sempadan dan tuntutan
bertindih.
Berita menggembirakan itu dinyatakan oleh
Abdullah kepada pemberita Malaysia selepas upacara tersebut yang ditanda
tangani pada kira-kira pukul 12.05 tengah hari di Istana Nurul Iman di sini.
Peristiwa bersejarah itu turut disaksikan oleh
Tuanku Mahkota Brunei, Al-Muhtadee Billah; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais
Yatim dan rakan sejawatnya, Putera Mohamed Bolkiah; Menteri Pelajaran, Datuk
Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud
dan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.
Hari ini adalah hari yang cukup bersejarah
kerana Brunei telah menggugurkan tuntutan ke atas Limbang dan dengan ini
Limbang akan menjadi sebahagian dari wilayah kita.
Apa yang lebih menggembirakan lagi ialah
isu-isu sempadan dan perkara-perkara pokok yang berlarutan begitu lama sejak
1995 telah dapat diselesaikan, kata Perdana Menteri kepada pemberita Malaysia
di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.
Isu Limbang selama ini meletakkan kedua-dua
negara dalam keadaan dilema kerana wilayah itu agak unik kerana memisahkan dua
kawasan daratan di Brunei.
Selain masalah persempadanan darat di Limbang,
penemuan sumber baru minyak di kawasan seluas 150 kilometer oleh Petronas turut
mencetuskan masalah persempadanan maritim kedua-dua negara berjiran itu.
Pada sidang akhbar yang sama, Perdana Menteri
berkata, penyelesaian kepada perkara-perkara pokok dalam isu-isu berkaitan
sempadan dan tuntutan bertindih itu akan membawa banyak kebaikan kepada
kedua-dua negara.
Menurut beliau, hubungan Malaysia dan Brunei
selepas ini akan melalui era baru dalam kerjasama dua hala tanpa dihantui lagi
oleh perkara-perkara yang boleh menimbulkan prasangka.
Oleh itu, saya dan kerajaan Malaysia
mengucapkan terima kasih kepada Sultan Brunei atas kerjasama yang diberikan
atas semangat yang sama iaitu tidak mahu isu-isu tersebut menghantui hubungan
sesama negara anggota ASEAN, tegas Abdullah yang terpaksa pulang ke tanah air
segera kerana ada acara lain di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), petang
ini.
Abdullah yang tiba di sini malam tadi diiringi
oleh isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah.
Sementara itu, dalam pernyataan bersama oleh
pemimpin kedua-dua negara yang dikeluarkan sempena majlis menandatangani
Pertukaran Surat tersebut menyebut antara lain persetujuan mengenai isu
persempadanan maritim, penentuan kawasan komersial (CAA) bagi sumber minyak dan
gas.
Turut dipersetujui adalah memberi hak
(unsuspendable rights) kepada penduduk Malaysia menyeberangi sempadan perairan
Brunei - dari atau ke arah destinasi di Sarawak - tapi masih terikat dengan
undang-undang serta peraturan negara jiran itu.
Malaysia dan Brunei juga mencapai penyelesaian
kepada perkara-perkara yang sebelum ini menimbulkan ketidaktentuan di sempadan
maritim dan di Zon Ekonomi Eksklusif (EEC).
Melalui persetujuan itu, kedua- dua negara boleh
menguatkuasakan undang-undang atau peraturan sendiri di kawasan zon maritim
masing- masing.
Pemimpin kedua-dua negara itu berharap
penyelesaian kepada isu-isu tersebut akan merintis kerjasama lebih besar dalam
pelbagai bidang terutama perdagangan, pelaburan, sumber tenaga dan hidrokarbon,
pelancongan, industri halal dan sebagainya.
Pada perkembangan sama, Ketua Menteri Sarawak
melahirkan rasa gembira dengan penyelesaian isu-isu sempadan yang bakal memberi
banyak manfaat kepada penduduk kedua-dua negara.
Menurut Taib, Limbang akan dimajukan termasuk
membangunkan sumber tenaga melalui pembinaan empangan. Utusan
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm#ixzz54m89keth
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan