ARKIB : 11/03/2009
ASMA' binti Abu Bakar adalah anak kepada
Khalifah Islam pertama, Abi Bakar as-Siddiq dan Qatilah binti Abdul Uzza.
Adiknya, Siti Aishah adalah isteri kepada Nabi Muhammad SAW. Beliau dilahirkan
pada 27 tahun sebelum hijrah dan adalah antara golongan pertama memeluk agama
Islam.
Asma' juga diberi gelaran sebagai wanita yang
mempunyai dua tali pengikat atau zat al-Nithaqain. Beliau diberi gelaran itu
kerana membelah selendangnya kepada dua bahagian bagi dijadikan tali pinggang.
Peristiwa ini berlaku ketika Nabi Muhammad dan
Abu Bakar keluar dari kota Mekah. Mereka bersembunyi di gua di puncak Gunung
Thur kerana ancaman Quraisy yang mahu membunuh nabi.
Selama beberapa malam, Asma' meredah kegelapan
malam dan menghadapi risiko bagi menghantar makanan kepada nabi dan ayahnya.
"Pada malam ini, ayah dan Rasulullah akan
berangkat ke kota Madinah," jelas Abu Bakar kepada anaknya pada malam
ketiga makanan dibawa kepadanya.
"Semoga perjalanan ayah dan Rasulullah
dilindungi oleh Allah. Saya akan meletakkan makanan dan bekas air di atas
kuda," balas Asma' sambil memandang wajah ayahnya dan Rasulullah yang akan
memulakan perjalanan ke kota Madinah.
"Saya hanya ada sehelai kain selendang.
Bagaimana saya boleh mengikat makanan dan bekas air pada pelana kuda? Oh, ya!
Saya koyakkan kain selendang ini kepada dua bagi mengikat makanan dan bekas
air," bisik hati kecil Asma'.
"Allah mengganti tali pengikat kamu dengan
tali pengikat syurga," kata Nabi Muhammad sambil memberi isyarat kepada
Asma' semasa mereka mahu berangkat.
Asma' pulang ke rumahnya selepas melihat ayahnya
dan nabi hilang daripada pandangan menuju ke kota Madinah. Walaupun beliau
selamat pulang dari gua itu, tetapi beliau masih menghadapi ancaman daripada
golongan bangsawan Quraisy yang mahu mendapatkan maklumat tentang lokasi
ayahnya dan Nabi Muhammad.
Pada suatu malam, Abu Jahal dan beberapa orang
bangsawan Quraisy datang ke rumahnya bagi mencungkil rahsia daripada Asma'
tentang lokasi ayahnya. Mereka menyangka Asma' akan memberitahu lokasi Abu
Bakar dan Nabi.
"Di mana ayah kamu, Asma'?" tanya Abu
Jahal dengan suara yang lembut kerana percaya Asma' akan memberitahunya.
"Saya tidak tahu di mana ayah saya
sekarang," jawab Asma' yang tidak mahu menceritakan perkara sebenar kepada
Abu Jahal dan sekutunya.
"Kamu jangan berpura-pura tidak tahu di
mana ayah kamu berada!" Abu Jahal mula meninggikan suaranya. Dia
menggertak Asma'.
"Kenapa saya perlu berbohong? Saya memang
tidak tahu di mana ayah saya berada sekarang!" Asma' mempertahankan
kata-katanya di hadapan Abu Jahal dan pembesar Quraisy lain. Mereka mula
berpandangan antara satu sama lain.
"Jangan cuba menipu saya. Buruk padahnya
sekiranya kamu masih mahu merahsiakan lokasi ayah kamu daripada saya,"
ugut Abu Jahal yang mula menggenggam erat tangannya kerana berasa geram dengan
sikap berani Asma'.
"Berapa kali saya perlu nyatakan, saya
tidak tahu di mana ayah saya berada sekarang. Tuan-tuan pulang sahaja dan
jangan ganggu saya lagi," mohon Asma' yang berdiri di pintu rumahnya.
Abu Jahal berang
"Berani kamu menghalau kami!" Abu
Jahal berang. Dia mengangkat tangannya lalu menampar Asma' yang sedikitpun
tidak berganjak dari tempatnya.
"Pang!" Abu Jahal menampar wajah Asma'
dengan kuat sehingga anting-anting yang dipakainya tercampak ke tanah.
"Tiada gunanya bercakap dengan kamu yang
degil ini. Lebih baik kita pulang sahaja dan mencari maklumat Abu Bakar
daripada orang lain," Abu Jahal gagal mendapatkan maklumat daripada Asma'
walaupun dia menampar wajahnya.
Asma' mengambil semula anting-anting dari tanah
dan masuk ke dalam rumahnya dengan hati yang lapang apabila Abu Jahal dan
bangsawan Quraisy beredar meninggalkan kawasan rumahnya.
Pada zaman pemerintahan Bani Umaiyah, anak
Abdullah bin Zubir datang meminta nasihat daripada Asma' yang pada ketika itu
berusia 100 tahun.
Ini kerana Khalifah Malik bin Marwan
memerintahkan Hajaj bin Yusuf memerangi Abdullah supaya dia dapat menguasai
Iraq, Hijaz dan Yaman.
Hajaj berjaya mengepung Abdullah di dalam kota
Mekah. Dia mengirimkan sepucuk surat meminta Abdullah menyerah kalah dan
mengaku Malik bin Marwan sebagai khalifah.
"Ibu, saya mahu minta pandangan ibu, sama
ada mahu menerima tawaran Hajaj atau tidak.
"Saya akan dijamin jawatan dalam
pemerintahan Bani Umaiyah sekiranya mengaku Malik bin Marwan sebagai khalifah
dan menyerah kalah. Bolehkah saya mempercayai kata-kata mereka?" tanya
Abdullah yang berlutut di hadapan ibunya.
"Teruskanlah perjuangan kamu sekiranya kamu
berada di pihak yang benar. Jangan percaya dengan kata-kata Bani Umaiyah kerana
mereka pasti menipu kamu.
"Jangan terpedaya dengan kesenangan dunia
sehingga kamu hancur bersama-samanya," kata Asma'.
"Berapa lama lagi kamu akan hidup di atas
dunia ini? Mati kerana mempertahankan kebenaran adalah lebih baik daripada
segala-galanya.
"Demi Allah, mati di mata pedang adalah
lebih terhormat daripada mati dipukul dengan tali cemeti dalam keadaan
hina," Asma' menyambung lagi kata-katanya kerana tidak mahu anaknya
terpedaya dengan janji kosong yang ditawarkan oleh Hajaj itu.
"Saya bimbang Hajaj akan menyeksa dan
menyalib tubuh saya sekiranya berjaya membunuh diri saya nanti," Abdullah
tidak mahu mayatnya diperlakukan kejam oleh pihak musuh sebagai membalas
dendam.
"Seekor kambing yang sudah disembelih tidak
akan berasa sakit apabila dibuang kulitnya. Pergilah berjuang atas nama
kebenaran dan mohon bantuan daripada Allah," Asma' memberi kata-kata
semangat kepada Abdullah.
"Saya akan berjuang sehingga ke titisan
darah terakhir," ucap Abdullah sambil mencium tangan ibunya. Dia beredar
bagi menghadapi pasukan tentera Hajaj yang sudah mengepung kota Mekah.
"Sekiranya begitu, nahaslah kamu Abdullah
!" balas Hajaj. Dia mengarahkan pasukan tentera menyerang Abdullah dan
pengawalnya.
Akhirnya Abdullah terbunuh akibat serangan
pasukan tentera Hajaj yang terlalu ramai. Hajaj mengarahkan salah seorang
tentera menyalib mayat Abdullah pada sebatang tiang.
Asma' menulis surat kepada Malik bin Marwan
meminta supaya mayat anaknya yang disalib itu diturunkan supaya dapat
dikebumikan. Seminggu selepas pengebumian Abdullah, Asma' binti Abu Bakar
menghembuskan nafas terakhirnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz54gI0AAfw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan