Rabu, 3 Januari 2018

Nicol penerima pertama ganjaran

ARKIB : 05/03/2009
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara yang juga pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David menjadi penerima pertama insentif khas sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau menerima imbuhan insentif RM50,000 daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Perdana, Majlis Sukan Negara di sini, semalam.

Ismail Sabri berkata, pemberian insentif merupakan cara terbaik mengiktiraf kejayaan atlet-atlet yang bukan daripada kalangan atlet acara Sukan Olimpik.

Menurut beliau, bagi atlet Sukan Olimpik, mereka sudah mempunyai skim insentif tersendiri iaitu RM1 juta untuk pemenang pingat emas, RM300,000 untuk pingat perak dan RM100,000 bagi gangsa.

"Saya fikir adalah tidak adil kalau tidak ada insentif khas seperti ini buat atlet bukan Olimpik kerana insentif yang tinggi diberikan kepada pemenang pingat pada Sukan Olimpik.

"Kalaulah skuasy adalah salah satu acara Sukan Olimpik, tentu Nicol juga boleh dapat insentif RM1 juta itu, sedangkan kejayaan yang dibuat (Nicol) adalah jauh lebih besar daripada kebanyakan atlet sukan lain," kata Ismail Sabri pada sidang media selepas majlis berkenaan.

Menurut beliau, insentif khas berkenaan yang diberikan kepada Nicol adalah anugerah yang dibuat secara 'one-off'.

"Kami (KBS) akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan mengenai insentif-insentif khas untuk jenis-jenis sukan yang tidak tersenarai dalam Sukan Olimpik. Kami mahu beri ganjaran yang adil kepada semua pihak yang terlibat dalam bidang sukan.

"Kami akan bentangkan satu kertas kerja di mana kami ada kadar tertentu. Kami kena pastikan pengiktirafan terhadap kejohanan dunia yang macam mana... ada setengah kejohanan dunia tidak layak diberi pengiktirafan," katanya.

Ismail Sabri berharap insentif khas yang akan diwujudkan itu akan memberi rangsangan kepada atlet-atlet lain dalam sukan-sukan yang tidak tersenarai sebagai acara Sukan Olimpik, untuk meneruskan perjuangan mereka sehingga menjadi seorang ahli sukan yang berjaya di arena sukan dunia.

"Saya berharap atlet-atlet lain juga akan mengikuti jejak atau semangat yang ditunjukkan oleh Nicol," ujarnya.

Mengulas berhubung insentif yang diterima hari ini Nicol berkata, ia dapat dijadikan sebagai pencetus semangat perjuangannya dalam memulakan musim 2009 ini.

"Saya gembira mendapat sokongan penuh pihak kementerian, Majlis Sukan Negara, dan juga pertubuhan sukan. Ia adalah pengiktirafan kepada pencapaian saya bagi tahun lepas. Insentif ini pasti merintis permulaan yang baik bagi tahun ini.

"Memang ia adalah satu bonus, selagi saya dapat beraksi dengan baik, ia tetap menjadi sasaran saya," katanya. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz537W4hmlf

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan