Sabtu, 20 Januari 2018

Abdullah nyaris disembelih

ARKIB : 16/03/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
JIKA ditakdirkan hidup seseorang itu menjadi yatim piatu, sebenarnya mereka sangat bertuah. Sekalipun keperitan begitu dirasai akibat kehilangan ibu dan bapa sehingga merasakan hidup ini seperti tiada maknanya lagi. Namun, bayangkan Nabi Muhammad SAW yang sedari kecil baginda juga telah kehilangan kedua-dua orang tua yang sangat dikasihi.

Pernahkah kita menemui kisah, Nabi SAW menghabiskan usianya dengan meratap hiba atas kehilangan kedua-dua manusia yang paling bermakna dalam hidupnya itu? Tentu sama sekali kita jarang menemui kisah sedih seperti itu.

Tetapi jika kita hayati seluruh kisah perjuangan Rasulullah, seolah-olah baginda ingin memberitahu bahawa sebagai anak yatim piatu, baginda terbukti sangat berjaya dalam hidup dan seharusnya semua anak-anak yatim juga begitu! Baginda sedia menjadi contoh atau suri teladan untuk golongan ini.

Jadi tidakkah bertuahnya mereka kerana mempunyai Rasulullah untuk mereka contohi bagi menjejak kejayaan dalam hidup? Justeru mereka ini sebenarnya merupakan yang paling mengenali Rasulullah kerana menjadikan baginda sebagai pengganti kepada ibu bapa yang telah tiada.

Dengan kata lain, jika baginda yang yatim dan piatu itu begitu berjaya mengukir nama dan sejarah, mengapa tidak bagi anak-anak yatim yang lain, mereka juga boleh berjaya sebagaimana yang dicapai oleh Rasulullah!

Disayangi ramai

Begitupun kita begitu mengenali Abdullah bin Abdul Mutalib dan Siti Aminah binti Wahab sebagai orang tua yang melahirkan baginda Rasulullah ke dunia ini! Tetapi mungkin sekadar mengenali nama dan mungkin tidak pelbagai kisah yang berlaku di sebalik riwayat hidup mereka.

Datuk Nabi Muhammad, Abdul Mutalib mempunyai 10 anak lelaki, iaitu Al Harith, Al Zubayr, Abu Talib, Abdullah, Hamzah, Abu Lahab, Al Ghaydaq, Al Miqwam, Saffar dan Al Abbas. Malah dikatakan Abdul Mutalib mempunyai seorang lagi anak yang dikenali Qutham. Malah ada yang mengatakan beliau mempunyai 13 anak lelaki kesemua dengan dua lagi dikenali sebagai Abdul Kaabah dan Hajal. Namun dikatakan Abdul Kaabah merupakan nama gelaran untuk anaknya yang bernama Al Miqwam dan Hajal pula merupakan gelaran kepada Al Gaydaq.

Selain anak lelaki, Abdul Mutalib mempunyai enam anak perempuan, Ummu Hakim atau Al Bayda, Barrah, Atiqah, Safiyyah, Arwa dan Umaymah.

Begitulah kayanya datuk Rasulullah ini kerana mempunyai keturunan yang ramai. Di tambah, beliau seorang yang sangat dikenali di kalangan penduduk Arab atas kemuliaan tugasnya bagi meneruskan tradisi Bani Hasyim sebagai yang bertanggungjawab memberi makan dan minum kepada mereka yang datang ke Mekah untuk mengerjakan haji.

Ini menjadikan beliau seorang yang terhormat dan ditaati serta mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam itu.

Bapa nabi, Abdullah dikatakan anak Abdul Mutalib yang terbaik. Ini kerana Abdullah adalah anak yang paling sopan, paling baik budi pekertinya sehingga begitu disayangi ramai.

Bercerita mengenai bapa Rasulullah ini, sejarah pasti sesuatu yang sangat berbeza jika peristiwa Abdullah hendak disembelih oleh bapanya sendiri akibat hendak membayar niat nazar benar-benar terjadi.

Begitupun sangat menarik untuk kita mengetahui kisah penyembelihan itu bagi menunjukkan betapa kuatnya elemen-elemen jahiliah, termasuk menggunakan anak panah sebagai menentukan nasib dalam aspek budaya dan sosial masyarakat Arab pra Islam itu.

Akibat peristiwa nazar itu, bapa Rasulullah ini turut dikenali dengan gelaran Al Dhabih (mangsa penyembelihan), iaitu akibat dari nazar yang dibuat oleh Abdul Mutalib kerana mempunyai anak-anak lelaki yang begitu beliau banggakan. Sehinggakan beliau sanggup menyembelih di sisi dinding Kaabah salah seorang anak lelakinya itu.

Sebagaimana tradisi Arab Jahiliah yang begitu berpegang kuat kepada ramalan dan tilik nasib, Abdul Mutalib juga tidak terkecuali. Beliau telah menulis nama kesemua anak lelakinya itu pada anak-anak panah dan diberikan kepada penjaga Hubal, sebuah patung berhala besar yang boleh didapati berhampiran Kaabah.

Si penjaga berhala itu juga seorang yang berfungsi sebagai yang mencabut anak-anak panah bagi menentukan nasib yang mesti dihadapi oleh mereka yang meramal menggunakan anak panah ini.

Lalu selepas menggoncang anak-anak panah itu, maka anak panah yang dipilih dan dicabut keluar mencatatkan nama Abdullah, anak yang paling disayangi oleh Abdul Mutalib.

Namun akibat niat bernazar yang kuat, Abdul Mutalib tidak ada pilihan kecuali terpaksa menyerahkan juga anak yang paling disayanginya itu untuk disembelih.

Lalu tanpa banyak berkata-kata lagi, Abdul Mutalib pun membawa Abdullah ke Kaabah dan sebilah pisau tajam yang hendak digunakan untuk menyembelih anaknya itu. Tindakan Abdul Mutalib itu benar-benar menimbulkan kegemparan di kalangan penduduk kota Mekah ketika itu.

100 ekor unta

Mereka berusaha sedaya upaya untuk menghalang Abdul Mutalib daripada meneruskan niatnya untuk menyembelih Abdullah itu. Bapa-bapa saudara Abdullah sebelah ibunya (Fatimah binti Amru bin Aidh bin Imran bin Makhzum bin Yaqzah bin Murrah) daripada kalangan Bani Makhzum dan terutamanya saudaranya Abu Talib begitu menghalang Abdul Mutalib daripada terus menyembelih Abdullah.

Tetapi Abdul Mutalib seorang yang berpegang kepada nazarnya, tetap akan meneruskan niatnya itu kecuali terdapat cadangan lain yang dapat menebus nazar tersebut.

Lalu mereka mencadangkan supaya Abdul Mutalib menemui seorang ahli tilik wanita untuk meminta nasihat daripadanya mengenai masalah nazar itu.

Wanita itu mencadangkan menuliskan nama Abdullah pada anak panah itu dengan tebusan 10 ekor unta. Jika nama yang keluar ialah nama Abdullah maka hendaklah ditambah 10 ekor unta lagi sehingga Tuhan merestuinya. Jika anak yang dicabut pula ialah unta maka hendaklah disembelih unta-unta itu.

Namun yang terjadi selepas itu, nama Abdullah yang sentiasa ‘naik’ pada cabutan sehinggalah 10 kali cabutan yang menyebabkan setiap satunya terpaksa ditambah dengan 10 ekor unta lagi. Ini menjadikan kesemuanya 100 ekor unta menjadi tebusan kepada nyawa Abdullah.

Maka terlepaslah nyawa Abdullah dengan dibayar 100 ekor unta yang kemudiannya diberi kepada orang lain tanpa halangan atau disembelih.

Sebelum ini bayaran diat di kalangan orang Arab hanya 10 ekor unta tetapi sejak peristiwa itu bayaran diat bagi nyawa manusia menjadi 100 ekor unta yang kemudiannya diterima dalam Islam.

Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda: “Aku adalah putera dua orang yang disembelih (iaitu Nabi Ismail dan bapa Baginda, Abdullah)”.

Abdul Mutalib tentu sahaja gembira dengan penebusan nyawa anaknya itu, beliau kini beroleh kembali anaknya itu daripada bakal disembelih oleh tangannya sendiri.

Sebagai meraikan anaknya itu dan kebetulan Abdullah didapati sudah sesuai untuk mendirikan rumah tangga, lalu Abdul Mutalib menjodohkan anaknya dengan Siti Aminah binti Wahb bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab menjadi isteri. Ketika itu Aminah dianggap wanita bangsa arab Quraisy yang paling mulia dari segi keturunan dan kedudukan. Bapanya ialah ketua Bani Zuhrah dari segi hubungan nasab dan kemuliaan.

Lalu berkahwinlah Abdullah dan Siti Aminah lalu mereka menetap di Kota Mekah.

Tidak lama mereka berkahwin, Abdullah bersama rombongan kafilah dagangan menuju ke Madinah bagi menjalankan perniagaan di sana. Sesetengah meriwayatkan Abdullah sebenarnya hendak menuju ke Syam tetapi di pertengahan jalan, beliau kemudiannya jatuh sakit lalu meninggal dunia berhampiran Madinah.

Jenazahnya dikebumikan di Dar al Nabighah al Ja’di dikatakan dalam usia yang sangat muda iaitu 25 tahun.

Kematian Abdullah ini dikatakan pada dua bulan sebelum keputeraan anakandanya, Rasulullah menyebabkan si anak menjadi yatim sejak dalam kandungan ibunya lagi, Siti Aminah.

Kematian Abdullah benar-benar diratapi dengan penuh sedih oleh Siti Aminah, tentunya kerana mengenangkan nasib anaknya yang tidak sempat melihat wajah si bapa.

Sambil meratap hiba itu, Aminah sempat melagukan sebuah syair pilu seperti yang tersiar dalam keluaran lalu.

Pemergian Abdullah telah meninggalkan kepada isterinya itu iaitu lima ekor unta, beberapa ekor kambing dan seorang hamba perempuan berketurunan Habsyah bernama Barakah yang digelar Ummu Ayman yang kemudiannya pernah mengasuh Rasulullah semasa Baginda masih kecil!.

lPetikan daripada Sirah Nabawiyah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz54lrUKRd8

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan