ARKIB : 15/03/2009
zin mahmud
Pendidikan bukan saja pencapaian akademik. Ada
dua komponen penting lain iaitu kokurikulum dan sukan.
Persatuan di sekolah akan mengajar tanggung
jawab, bagaimana bekerja dalam satu pasukan, dan lebih penting lagi ialah
semangat sukarela. Seseorang pekerja yang mempunyai semangat sukarela akan
mampu membuat sesuatu atas dasar inisiatif sendiri tanpa mengira sama ada
ganjaran akan diperoleh daripada syarikat.
Sukan di sekolah juga amat penting. Daripadanya
ia boleh menyemai amalan hidup sihat di samping kelebihan yang diperoleh
melalui permainan secara berpasukan, menghormati peraturan permainan yang juga
memperkayakan keperibadian seseorang.
Namun begitu, sukan dan kokurikulum di sekolah
hanya dapat cemerlang jika
persatuannya kuat dan dipimpin baik. Kalau
persatuan tidak menampakkan aktiviti cergas di bawah kepimpinan pelajar
sendiri, maka ia dianggap gagal. Lebih-lebih lagi jika ia terlalu bergantung
kepada guru penasihat hingga peranan pelajar tidak cukup menyerlah.
Ini kerana guru wajar hanya membimbing dan tidak
campur tangan dengan banyak hingga pelajar-pelajar itu tidak benar-benar
memimpin.
Tetapi persatuan-persatuan sekolah hanya dapat
bergerak dengan baik sekiranya ia dipimpin oleh pelajar-pelajar matang. Pelajar
tingkatan empat kurang matang kalau berbanding dengan pelajar tingkatan enam.
Sementara pelajar tingkatan lima terpaksa menumpukan kepada peperiksaan yang
dihadapi.
Jika ada tingkatan enam, maka kepimpinan sekolah
termasuk persatuan akan berada di tangan pelajar yang lebih matang dan bersedia
untuk menjayakan pelbagai aktiviti. Sementara pelajar tingkatan empat akan
menjadi pelapis yang akan belajar daripada senior dalam memimpin
institusi-institusi sekolah.
Kejayaan tingkatan enam inilah merupakan
penyumbang kepada kecemerlangan sekolah-sekolah dahulu seperti Victoria
Institution, St Johns Institution, Anderson School, King George School dan
English College .
Tetapi sejak tahun 80-an, institusi tingkatan
enam ini mula dilemahkan. Pelajar-pelajar baik akan dimasukkan ke dalam program
matrikulasi.
Di kolej-kolej ini, pelajar-pelajar tidak
berpeluang untuk memberi kepimpinan kepada persatuan yang besar dan merangkumi
ahli pelbagai peringkat umur. Mereka hanya memimpin persatuan rakan sebaya.
Tidak seperti kalau mereka berada di sekolah menengah yang pelajarnya
merangkumi hingga ke tingkatan satu.
Sementara itu, sekolah menengah pula kehilangan
pelajar cemerlang untuk memimpin persatuan. Yang tinggal berada di tingkatan
enam adalah pelajar-pelajar sederhana.
Akhirnya tingkatan enam tidak lagi popular di
kalangan pelajar yang mahu cepat-cepat meninggalkan sekolah. Maka kepimpinan
persatuan sekolah jatuh kepada pelajar tingkatan empat yang masih kurang
matang.
Maka tidak hairanlah para majikan juga mengeluh.
Mengapakah kalangan generasi sekarang dari segi nilai bekerja dan kepimpinan
amat rendah? Sikap tanggungjawab, inisiatif dan sukarela dirasakan merosot?
Tumpuan hanya kepada berapa gaji yang diperoleh dan bukannya disebabkan minat
dan keseronokan bekerja?
Penulis juga percaya kemerosotan sukan di negara
ini juga berpunca daripada kegagalan sekolah untuk mewujudkan persekitaran
kesukanan dan permainan yang tinggi. Kelemahan budaya kesukanan di
sekolah-sekolah dipercayai berada dalam keadaan yang amat lemah. jaguh-jaguh
sukan negara dahulu lahir dalam sistem persekolahan sebelum tahun 80-an.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_10.htm#ixzz54ll4x9T8
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan