Jumaat, 10 Mac 2017

Sekolah Wawasan...tidak semestinya tiga komponen aliran

ARKIB : 24/08/2000
Misalnya, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, atau Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dengan Sekolah Kebangsaan, atau padanan berdua yang lain.

Kata Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd. Khir, tidak akan berlaku 'paksaan' supaya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil berpindah bangunan ke Sekolah Kebangsaan atau sebaliknya.

"Misalnya kalau sekolah Tamil dan Cina terletak berdekatan, maka dua sekolah itu akan membetuk sebuah Sekolah Wawasan,'' katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Perpustakaan Di Malaysia, semalam.

Seminar dua hari itu membincangkan anjakan paradigma yang berlaku dalam bidang keperpustakaan, khususnya proses transformasi daripada yang konvensional kepada konsep elektronik.

Kata Mahadzir, tidak timbul soal untuk membina bangunan baru, atau memindahkan mana-mana aliran di satu-satu kawasan ke kawasan lain untuk melengkapkan ketiga-tiga komponen aliran.

"Tambahan pula kalau ada bantahan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada mana-mana aliran, maka kita akan mendengar dahulu bantahan itu,'' katanya.

Kata Mahadzir, motif pewujudan Sekolah Wawasan tidak lain dan tidak bukan ialah untuk membolehkan perkongsian sumber seperti padang dan kantin supaya boleh berlaku integrasi kaum.

"Tidak perlulah ada mana-mana kaum yang berasa bimbang atau terhakis identiti mereka kalau konsep Sekolah Wawasan itu dilaksanakan kelak ...itupun kalau jadi,'' ujarnya.

Malah, dalam setiap tindak tanduk yang dilakukan oleh kerajaan, maka ia tidak dapat lari daripada landasan yang telah diwartakan dalam perlembagaan Negara yang telah dipersetujui bersama semua kaum, kata Mahadzir.
sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz4av1ZN24O© Utusan Melayu (M) Bhd

Dr. Khir MB Selangor -- Catat sejarah tokoh paling muda dilantik pemimpin negeri ini


 

ARKIB : 19/08/2000
Dr. Khir MB Selangor -- Catat sejarah tokoh paling muda dilantik pemimpin negeri ini
DR. MOHAMAD KHIR TOYO

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Panjang, Tanjung Karang, Dr. Mohamad Khir Toyo hari ini mencatatkan sejarah apabila dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang paling muda iaitu dalam usia 35 tahun.

Beliau menggantikan Datuk Seri Abu Hassan Omar, 60, yang meletakkan jawatannya di atas sebab-sebab kesihatan dan keluarga, lapan hari lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam satu kenyataannya petang ini berkata, pelantikan Dr. Khir, seorang doktor gigi, telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong selaku Sultan Selangor dan juga Pemangku Raja Selangor, Tengku Idris Shah.

Kenyataan akhbar Perdana Menteri itu dibacakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Khalil Yaakob yang juga Menteri Penerangan di Angkasapuri, di sini petang ini.

Menteri Besar yang termuda sebelum ini ialah Tan Sri Muhammad Muhd. Taib. Beliau memegang jawatan itu pada usia 44 tahun.

Pelantikan Dr. Khir juga memperlihatkan beliau sebagai Exco Pemuda UMNO pertama dalam sejarah dilantik sebagai ketua eksekutif sebuah negeri.

Dalam kenyataan tiga perenggan itu juga, Dr. Mahathir mengumumkan pelantikan Naib Presiden UMNO, Muhammad sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor manakala Dr. Khir pula sebagai timbalannya.

Pemerhati menyifatkan percaturan ini sebagai satu strategi terbaik bagi membolehkan Muhammad menumpukan perhatian kepada politik dan Dr. Khir dalam bidang pentadbiran.

Kira-kira pukul 5 petang ini, Dr. Mahathir menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Selangor, di sini bagi mempersembahkan nama baru Menteri Besar Selangor. Pertemuan itu berlangsung lebih sejam.

Sejak peletakan jawatan Abu Hassan, berbagai-bagai spekulasi timbul berhubung dengan penyandang jawatan Menteri Besar Selangor itu.

Bagaimanapun nama Dr. Khir tidak termasuk dalam senarai 11 pemimpin Selangor yang dikemukakan oleh UMNO Selangor kepada Perdana Menteri. Kriteria yang dikemukakan sebelum ini ialah calon itu mestilah ketua bahagian dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Jika dilihat daripada kriteria tersebut, Dr. Khir bukan seorang ketua bahagian dan hanyalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Karang.

Nama-nama yang disebut-sebut akan menjawat jawatan Menteri Besar sebelum ini ialah Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad, tiga Exco Kerajaan negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Dahlan, Datuk Mohd. Shariff Jajang dan Datuk Raja Ideris Raja Ahmad.

Selain itu, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri yang juga disebut-sebut pada saat-saat akhir ialah Datuk Mohamad Idris Abu Bakar (Hulu Bernam) dan Ahmad Kuris Mohd. Nor (Beranang), Datuk Mohd. Satim Diman (Puchong) dan Datuk Salamon Selamat (Batu Tiga).

Dr. Khir ketika mengulas pelantikannya itu malam ini melahirkan rasa terkejutnya di atas kepercayaan Perdana Menteri terhadapnya untuk menerajui Selangor.

Katanya, beliau akan bekerja keras memastikan Wawasan Selangor Maju 2005 tercapai seperti yang diperjuangkan oleh pemimpin sebelumnya.

Dalam pilihan raya umum lalu, Dr. Khir menewaskan calon Pas, Mohd. Fadzin Taslimin dengan kemenangan tipis 165 undi. Dr. Khir mendapat 4,243 undi berbanding pencabarnya, 4,078 undi.

Sebagai latar belakangnya, kawasan Parlimen Tanjung Karang yang dipegang oleh Noh Omar (Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri), mengandungi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Panjang, Sekinchan (BN-MCA) dan Sungai Burung (Pas).

Dr. Khir Toyo dilahirkan pada 6 Ogos 1965 di Sekinchan, Selangor.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Zaharah Kecik dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fareezul Faiss, 9, dan Nurul Asiqin, 1.

Mengenai latar belakang akademiknya, Dr. Khir memulakan persekolahannya di Sekolah Kebangsaan Berjaya Sekinchan (1983 - 1979), Sekolah Menengah Dato' Harun, Tanjong Karang (1979 - 1985).

Beliau kemudian melanjutkan pelajarannya dalam asasi sains di Universiti Malaya pada 1982 sebelum meneruskan pengajian dalam bidang pergigian di universiti tersebut (1986 - 1989).

Selepas menamatkan pengajiannya, beliau memulakan kariernya sebagai pegawai pergigian 1989 - 1991.

Beliau kemudian membuka klinik pergigian pada 1991 hingga sekarang.

Dalam bidang politik, Dr. Khir ialah Ketua UMNO cawangan (1991 - 1993), ahli jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian Tanjong Karang ( 1993 - 1996), Ketua Pemuda UMNO Bahagian (1996 - 1999) dan beliau kini Exco Pemuda UMNO Malaysia (2000-2003) dan dilantik sebagai Pengerusi Biro Agama Pemuda.

Oleh: AMIR SARIFUDDIN MANSOR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4aufpRIOH © Utusan Melayu (M) Bhd

Halim Othman ...angkat martabat penyiar tempatan

ARKIB : 17/08/2000
 
DANNY OOI (kiri), Halim, Kudsia dan Dr. K Jeyalingam di konti Radio Era malam kelmarin.

Kejayaan Halim yang juga pengacara rancangan Roda Impian di Astro Ria itu sekali gus mengatasi rekod yang disandang oleh juruhebah Simon Mayo dari BBC One yang mencatatkan rekod tanpa henti selama 37 jam.

Dia telah memulakan Cabaran Halim 2000 itu pada pukul 6 pagi 14 Ogos lalu dan berakhir pada pukul 12 tengah malam kelmarin.

Turut menunggu Halim menamatkan masa 42 jam itu ialah Pengarah Urusan Malaysia Book of Records, Danny Ooi, rakan-rakan juruhebah dan Pengurus Era Network, Kudsia Kahar.

Peristiwa bersejarah ini juga dapat disaksikan secara langsung di seluruh dunia menerusi laman web dvtplayer.com yang dihasilkan oleh AMP Radio Networks.

Semasa menamatkan catatan masa 42 jam di konti Radio Era itu, Halim kelihatan begitu terharu sekalipun kelihatan agak keletihan.

Tahun lalu juga dia telah melakukan perkara yang sama untuk tempoh 18 jam sahaja dan mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records.

Sepanjang mengendalikan siaran di konti Radio Era, Halim ditemani oleh ramai artis antaranya Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Noraniza Idris, Amy Mastura dan rakan-rakan juruhebah yang lain.

Mengikut syarat Malaysia Book of Records, Halim boleh mengundang tetamu di konti tapi dia mesti menjadi hos keseluruhan rancangan dalam tempoh tersebut.

Malahan sepanjang cabaran itu pegawai-pegawai dari Malaysia Book of Records sering datang melawat dan pihak Radio Era pula sentiasa merakamkan setiap pergerakan Halim.

Ketika ditemui, Halim berkata, kejayaan itu bukanlah untuk dirinya tapi seluruh warga Radio Era yang sentiasa memberi sokongan kepadanya. Dia berharap rekod yang diciptanya itu akan mengangkat martabat bidang penyiaran tempatan di mata dunia.

"Hasrat saya untuk mencatatkan rekod sudah terlaksana dan saya gembira kerana berjaya melaksanakan amanah yang diserahkan oleh pihak Radio Era,'' ujar Halim.

Mengenai pengalaman untuk memulakan cabaran 42 jam di konti itu, Halim mengakui pada awalnya dia tidak begitu yakin memikirkan tanggungjawab yang diserahkan itu sangat besar.

Bagaimanapun kerana kesabaran dan sokongan rakan-rakan serta pengawasan rapi oleh Dr. K. Jeyalingam dari Hospital Universiti yang memeriksanya setiap dua jam, azamnya kembali kental.

Sepanjang cabaran itu bukan Halim sahaja yang terpaksa bersengkang mata, Kudsia Kahar juga turut terbabit.

Menurut Kudsia, dia terpaksa menapis segala makanan dan minuman yang disediakan untuk Halim. Malahan makanan yang dimakan juga direkodkan untuk penelitian doktor.

"Pada tempoh 30 jam pertama, Halim dilarang minum kopi dan dia juga tidak boleh makan nasi kerana bimbang dia akan mengantuk. Tetapi digantikan dengan pil vitamin C dan dia juga digalakkan minum banyak air kosong,'' kata Kudsia yang memberi cuti selama dua hari kepada Halim.

Selama tempoh Halim ke udara, pihak Radio Era juga banyak menerima e-mel daripada peminat di seluruh dunia dan laman web itu mencatatkan lebih dua juta pelawat.

Halim juga mendapat panggilan telefon daripada Datuk Leo Moggie dan Datuk Hishamuddin Hussein yang memberi kata-kata perangsang untuknya.

Manakala Skuad Perodua Era yang mengelilingi sekitar Lembah Klang berjaya mengumpul 1,000 tandatangan orang ramai yang menyokong cabaran Halim itu

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=et_01.htm#ixzz4auECNBQW © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 6 Mac 2017

Rejimen Renjer 'Selagi ada hayat selagi itu berjuang'

ARKIB : 27/07/2000 
LT. JEN. ZAINI menyaksikan satu istiadat kaum Iban menyambut tetamu di pasukan 5 RRD dalam satu lawatan ringkas.

Di samping itu ia merupakan warisan daripada semangat pengorbanan, keberanian dan kepahlawanan perwira dan perajurit batalion ini sejajar dengan ungkapan melalui cogankata 'Agi idup agi ngelaban, yang membawa maksud 'selagi ada hayat selagi itu sedia berjuang dan berkorban'.

Batalion Kelima Renjer Diraja telah ditubuhkan pada 16 Mei 1969 di Kem Sungai Udang, Melaka. Ketika itu batalion ini dikenali sebagai Batalion Kedua Rejimen Infantri dan kemudiannya ditukarkan kepada Rejimen ke-12 Askar Melayu Diraja dan sekali gus ditukarkan kepada Batalion Kelima Renjer.

Pegawai Memerintah pertamanya ialah Lt. Kol. Zainal Abidin Hj Jawati. Sekarang ini Lt Kol Jeyabalan a/l G. Sinnadurai, yang merupakan Pegawai Pemerintah yang ketujuh belas mengambil alih dari Lt. Kol. Naharuddin Shaari sejak 2 November tahun lalu.

"Pasukan ini mempunyai sejarah tersendiri iaitu beberapa pegawai dan anggota telah mengharumkan nama negara apabila telah dikurniakan bintang keberanian di atas semangat perjuangan dan pengorbanan mereka dan, kejayaan membunuh pengganas komunis yang satu ketika dulu bermaharajalela di negara ini,'' kata Jayabalan yang berasal dari Negeri Sembilan, mendapat latihan pegawai kadet di maktab ketenteraan terkemuka Sandhurst, United Kingdom.

"Di antara mereka yang dianugerahkan bintang Panglima Gagah Berani (PGB) ialah Kapten Shanmuganathan a/l E.Arapoo dan Renjer Mat Isa Hassan. Kedua-dua pahlawan ini telah gugur di medan pertempuran sewaktu Ops Indera 1 pada 11 Januari 1974 dan Lt. Muda Mohamad Basri Din, di atas keberaniannya sewaktu Ops Indera IV pada 7 Disember 1974. Seramai lapan pegawai dan lain-lain pangkat telah dikurniakan Pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK),'' katanya lagi, yang pernah menjadi pemerhati PBB misi UNOMOZ selama hampir setahun, awal tahun 1994.

Sejak tertubuhnya batalion ini pasukan telah berpindah sebanyak lapan kali di beberapa negeri di Semenanjung dan Sarawak.

Sekarang ia berpangkalan di Kem Desa Pahlawan, Kelantan sejak berpindah dari Kem Tasik Biru, Bau Sarawak mulai 20 November 1993.

Di antara kejayaan pasukan semasa era ancaman komunis ialah yang menjadi lipatan sejarah antaranya semasa Ops Jala Raja bersama Batalion 1 RRD dan 'Border Scout' Sarawak di kawasan Meradong, Binatang Sarawak seramai 4 orang pengganas komunis telah di bunuh.

Pada 6 Februari 72, semasa Ops Indera tahun 1974, di Karak Bentong, Pahang seramai dua pengganas dibunuh, pada 9 Jan 1976 pula semasa melaksanakan Ops Ukur, di Telok Melano, Lundu Sarawak pasukan telah berjaya membunuh seorang pengganas Komunis dalam serang hendap dan semasa Ops Tuah pada 19 Dis 84, di kawasan Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor seorang pengganas Komunis telah berjaya dibunuh.

Pasukan juga terlibat di Bosnia Herzegovina iaitu seramai lapan pegawai dan 170 lain-lain pangkat melaksanakan tugas di bumi Balkan sejak 25 Disember 97 hingga 10 Julai 98 lalu yang diketuai oleh Lt. Kol. Naharuddin Shaari sebagai Timbalan Komander SFOR.

Kejayaan demi kejayaan pasukan ini adalah hasil kerjasama dan semangat setiakawan di kalangan semua peringkat pegawai dan lain-lain pangkat.

Semasa negara gempar dengan wabak JE setahun lalu dan penglibatan tentera diperlukan, pasukan ini telah menghantar seramai tiga pegawai dan 104 anggota lain-lain pangkat membantu pihak berkuasa awam dalam operasi memusnahkan babi, di sekitar Bukit Pelanduok dan Sepang.

Kumpulan pasukan ini telah berjaya membunuh lebih dari 200,000 ekor babi.

Menurut ketua kumpulan tersebut Mej P. Subramaniam yang juga ketua kompeni Bravo, kumpulannya terlibat di Ops Pelandok II Sepang di bawah naungan 11 Briged memulakan tugas pada 1 April 99 hingga 11 April 1999.

"Kumpulan kami ditugaskan disatu kawasan sang High risk kerana terdapat dua kematian di ladang tersebut. Walau bagaimanapun semangat anggota dan moral mereka tinggi demi untuk menjalankan tugas negara, kami berjaya membunuh lebih dari 200,000 babi,'' katanya.

Beliau yang telah berkhidmat hampir 20 tahun juga pernah bertugas di Livno Bosnia, berpendapat operasi tersebut memberi banyak pengalaman yang bagus dan melatih diri serta anggota-anggotanya keyakinan diri, serta memberi satu pengalaman baru yang sukar dijual beli dalam melaksanakan operasi yang berisiko tinggi.

Selain itu satu platun dari pasukan 5 RRD ini berjaya menghindarkan binatang buas iaitu harimau dari mengganas di perkampungan Meranto, penglibatan 1 platun yang diketuai oleh Lt. Muda Raymond a/k Unggah dalam 'Ops Tiger' berjaya meyakinkan penduduk setempat tentang kehadiran pasukan tentera.

Menurut platun sarjan, Sarjan Nohin a/k Basey operasi ini memberi satu pengalaman baru kepada beliau.

Jelas kelihatan tapak harimau, dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya memberi keyakinan kepada penduduk tempatan di samping itu kami memberi bantuan perubatan kepada Orang Asli.

Manakala Kpl Patrick Untai a/k Chaba juga berpengalaman mencari Food Dump, pengganas Komunis pada tahun 1985 di sekitar Hulu Yam, Selangor.

Pasukan yang mempunyai kepelbagaian dalam adat resam dan budaya soal pentadbiran dan disiplin serta moral anggota bawahan perlu dijaga dan sentiasa dibajai sebilang masa.

Sebagai seorang pegawai tak bertauliah yang terkanan dalam pasukan ini Pegawai Waren Satu Khairi Ali memainkan peranan penting dalam soal disiplin dan regimental, beliau yang merupakan Sarjan Mejar Rejimen (RSM) yang ke-18 berkhidmat dengan pasukan ini sejak awal Januari 1999.

Ketika ditemui, beliau yang sedang mengajar kawad panji-panji kepada pegawai muda yang baru ditauliahkan dan anggota lain-lain pangkat menjelaskan setiap anggota perlu patuh kepada arahan-arahan yang diberikan.

"Nasihat saya setiap anggota haruslah bekerja kuat demi untuk agama bangsa dan negara, tak kira di mana mereka berada, bila ada masalah datang jumpa saya, saya sedia terima anggota dan berbincang sebab saya suka mereka menceritakan sendiri dan kita selesaikan secara bersama,'' kata Khairi yang pernah bertugas di Somalia dan berasal dari kampong Batu Hitam, Pasir Puteh, Kelantan.
Sumer-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4aYa2M1Hd

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 4 Mac 2017

Keberanian jeneral tundukkan ketua perompak

ARKIB : 07/07/2000
KUALA KANGSAR 6 Julai - Ketua kumpulan perompak senjata yang bersembunyi di Bukit Jenalek berjaya ditundukkan hanya dalam masa tujuh minit oleh Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zaini Mohd. Said.

Berbekalkan keberanian dan kebijaksanaan tanpa senjata di tangan, Zaini, turut menundukkan anggota-anggota lain kumpulan perompak itu yang kemudian menyerah diri bersama ketuanya, Amin Mohamad Razali, petang ini.

Detik-detik mencemaskan yang berlaku antara pukul 3.48 hingga 3.55 petang ini, bagaimanapun, hampir meragut nyawa pegawai tinggi tentera itu apabila Amin mengacukan hujung senjata tepat ke dadanya. Bagaimanapun Zaini berjaya menepis hujung senjata itu sebelum tembakan dilepaskan.

Tembakan tersebut mengenai seorang pengikut kumpulan itu.

Zaini, 54, ketika diminta menceritakan peristiwa itu pada sidang akhbar petang ini berkata, ketua kumpulan itu yang pada mulanya enggan menyerah diri dan cuba menembak beliau, telah ditundukkan setelah dia tidak mampu untuk melawannya secara fizikal.

Beliau memberitahu, Amin telah membuat tuntutan yang mustahil untuk dipenuhi oleh pihak berkuasa iaitu supaya kumpulan itu dibebaskan dan dibiarkan berada di dalam hutan tersebut.

''Tuntutan mereka mustahil untuk dilayan. Setelah puas dipujuk, dia pun tahu saya cuba 'menjatuhkan' dia, jadi dia sentiasa bersedia hendak tembak saya. Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana saya tidak membawa senjata,'' ujarnya.

Menurut Zaini lagi, keadaan ketika itu bertambah tegang setelah beliau cuba mengalihkan perhatian Amin dengan memarahinya sambil mengatakan perjuangan mereka adalah sia-sia.

''Sekali lagi dia mengacukan senjata ke arah dada saya dan saya tahu masanya hampir tiba apabila dia mula mencekak leher baju saya dan menarik badan saya ke arah senjatanya untuk menembak saya.

''Saya menepis hujung senjata itu dan tembakan yang dilepaskan oleh Amin terkena salah seorang daripada 16 ahli kumpulan yang ada di situ yang ketika itu memegang senjata beserta dengan parang,'' jelasnya.

Katanya, beliau kemudiannya berjaya menjatuhkan Amin ke tanah menyebabkan ahli-ahli kumpulan lain tidak berani berbuat apa-apa untuk bertindak.

Beliau berkata, ketika itu kira-kira 16 orang anggota kumpulan terbabit sedang bersiap sedia dengan senjata dan parang kecil untuk bertempur dengan beberapa anggota keselamatan yang berada tidak jauh di belakangnya.

''Amin adalah ketua perancang kumpulan itu. Anggota kumpulannya yang lain tidak mahu turun selagi dia tidak mengarahkan.

''Oleh kerana itu saya grab down (menjatuhkan) dia dan anggota tentera saya yang lain dengan cepat menghalang anggota kumpulan itu daripada bertindak,'' jelasnya.

Zaini yang luka di tangannya ketika menangkis senjata yang diajukan kepadanya menambah, akhirnya kesemua mereka menyerah diri setelah ketua kumpulan itu ditumpaskan dengan mudah.

Keberanian Leftenan Jeneral itu telah menerima pujian daripada Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkata, panglima tentera itu telah mempertaruhkan nyawanya demi memastikan kes itu dapat diselesaikan dengan cepat tanpa pertumpahan darah.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_02.htm#ixzz4aO3sUVb7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia Hall wajar dikekalkan

ARKIB : 02/07/2000
ISU politik dan ekonomi biasa yang melanda negara, kecuali berita bertaraf dunia, jarang menjadi sesuatu yang polemik dan hangat dibincangkan oleh masyarakat Malaysia di London. Kalau adapun hanyalah isu-isu tertentu di mana percikan butirannya sengaja diperpanjangkan oleh mereka yang tiba di London sehingga menarik minat golongan tertentu. Itu pun masih tidak menyeluruh.

Kalau pelajar, mereka lebih meminati isu ekonomi dan bagi mereka yang terlibat dengan kelab-kelab politik parti-parti tertentu, isu politik menjadi fokus perbahasan mereka.

Bagi orang Melayu yang telah lama menetap di negara penjajah itu, isu politik dan ekonomi tidak menarik minat mereka kecuali berita-berita yang menggemparkan dan bertaraf dunia. Mereka mungkin bercakap atau bersembang juga tetapi bukan agenda utama atau menjadi fokus perbincangan.

Bagaimanapun, satu kelainan terasa apabila penulis singgah di London selama beberapa hari minggu lalu sekembali dari menghadiri Persidangan Editor Sedunia di Rio de Janeiro, Brazil.

Apa yang boleh dirumuskan ialah isu Malaysia Hall yang akan tamat tempoh pajakannya pada September 2001 menjadi perbualan hangat pelajar, rakyat Malaysia yang baru tiba di London dan juga orang Melayu yang lama bermastautin di negara itu.

Ringkasnya, terasa wujud penyatuan pendapat, suara dan rasa hati yang bimbang terhadap kemungkinan Malaysia Hall yang terletak di Bryanston Square, hanya sejauh suara pekikan dari Marble Arch dan Hyde Park akan hilang dari menjadi tempat tumpuan, perjumpaan dan penginapan pelajar dan orang-orang Melayu yang baru tiba kalau kerajaan tidak menampilkan kesungguhan untuk memperbaharui pajakan.

Paling merisaukan ialah golongan pelajar kerana Malaysia Hall bukan hanya menyediakan tempat penginapan yang murah untuk mereka tetapi juga kantin yang dikendalikan oleh Tok Din menghidangkan makanan selera Malaysia dengan harga paling murah di London iaitu £2.50 seorang.

Seluruh perbualan warga Malaysia menjurus ke arah menzahirkan rasa sedih berbaur marah kerana sehingga kini kerajaan didakwa tidak menunjukkan minat walaupun tuan punya bangunan telah bersetuju menyambung selama 14 tahun lagi.

Datuk Yunus Raiss, orang Melayu yang telah 40 tahun menetap di England dan pemilik Sels College di Long Acre, Covent Garden, London bertungkus-lumus selama 10 bulan dengan bantuan rakan-rakan peguam hartanah dan pakar penilaian harta untuk mendapat persetujuan pemilik bangunan Malaysia Hall.

Hasilnya, pemilik bukan hanya bersetuju menyambung pajakan selama 14 tahun, terdapat tanda-tanda untuk menimbang lanjutan pajakan kepada 25 tahun lagi.

Maka ketidaksungguhan Malaysia menyambut kesediaan pemilik bangunan Malaysia Hall menjadi tanda tanya dan amat mengecewakan pelajar dan orang Melayu London.

Inilah punca polemik dan inilah juga topik perbincangan penuh emosi hingga ada setengahnya yang menzahirkan rasa marah sanggup menyelitkan unsur-unsur tuduhan yang mereka percaya dan rasa wajar.

Bagaimanapun, semua rasa hati dan cemuhan perasaan ini adalah cerminan dan manifestasi rasa sayang kerana Malaysia Hall bukan sebuah bangunan biasa tetapi menyembunyikan banyak sejarah hati dan perasaan, sedih dan kegembiraan, cinta dan penderitaan sama ada pelajar dahulu atau sekarang dan pemimpin dahulu atau sekarang.

Sentuhan rasa ini bukan hanya tertanam di hati mereka, tetapi juga sebahagian pemimpin dan bekas pemimpin negara yang pernah belajar di negara penjajah itu.

Kedudukan Malaysia Hall amat strategik dan memberi banyak kemudahan kepada pelajar dan rakyat Malaysia yang baru tiba di London.

Ia dikelilingi oleh beberapa buah restoran Melayu milik rakyat Malaysia dan memberi banyak kemudahan untuk bertukar selera dan peluang berkenalan. Restoran Selasih milik Ani dan Ad di Seymour Place di kirinya dan Restoran Mawar masih ada di belakangnya iaitu simpang Edgeware Road menghala ke Paddington.

Mara House di Spring Street, Paddington yang pernah menempatkan ratusan pelajar Mara termasuk putera-puteri popular seperti Sharifah dari Kuching, Sarawak, Kathy dari Tangkak, Johor, Leman dari Sarawak dan Ida dari Kedai Lalat, Kelantan dengan Naha Cafe pula di bawahnya, tempat makanan popular selera Malaysia dan Kedah akan dibuka semula tidak lama lagi. Ia hanya 10 minit berjalan kaki dari Malaysia Hall dan Satay House yang sememangnya sudah terkenal juga terletak di kawasan berdekatan.

Semua ini menjadi faktor tambahan kenapa Malaysia Hall wajar dikekalkan selain pelajar dan bekas pelajar, orang Melayu London dan rakyat Malaysia yang melancong ke London begitu senang dengan Malaysia Hall.

Bangunan itu bukan hanya menyimpan banyak khazanah hati mereka yang pernah mengunjungi dan belajar di England malah menjadi centre point bagi individu yang tidak pernah kenal untuk bertemu, berkenalan dan memberi salam kerana di sekelilingnya juga terdapat apartmen milik rakyat negara ini seperti rumah milik Kumpulan The New Straits Times di kirinya dan apartmen Kumpulan Utusan pula di kawasan berdekatan iaitu Maida Valle, Edgeware Road.

Ringkasnya, pelajar dan rakyat Malaysia di London mahu kerajaan menyambung pajakan tetapi persoalan yang mereka polemikkan ialah: Adakah kerajaan akan menyambungnya?

Lantaran itu, maka terdengar lagu puisi cerminan rasa hati yang pilu disiul dan dinyanyi oleh anak-anak orang Melayu London sambil memetik gitar:

''Kalau nak lihat, lihatlah sekarang, tidak lama tiada lagi;

Kalau nak duduk, duduklah sekarang, tak lama tidak berpeluang lagi;

Kalau nak datang, datanglah sekarang, tak lama, Malaysia Hall bukan milik kita lagi.''

Kesungguhan rakyat Malaysia mahu mengekalkan Malaysia Hall memberi semangat kepada Datuk Yunus Raiss berusaha memujuk Kerajaan Malaysia menyambung pajakannya.

Dalam surat edarannya untuk diambil baca oleh semua pengunjung yang diletakkan di kantin Malaysia Hall seminggu selepas persoalan pajakan dikemukakan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Abdul Aziz Shamsuddin yang menemui pelajar di Malaysia Hall pada 9 Jun (ketika itu penulis singgah di London dalam perjalanan ke Rio de Janeiro, Brazil), beliau antara lain menyebut:

''Saya telah menulis surat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi Menteri Pendidikan ketika itu tetapi memandang jawapannya terlalu lama ditunggu saya membawa perkara itu ke pengetahuan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad semasa melawat Malaysia Hall Januari lalu.''

Menurutnya, Perdana Menteri setuju Malaysia Hall kekal di tempat yang sama sekiranya pajakan boleh disambung dan Pesuruhjaya Tinggi, Datuk Amir Jaafar diminta menjemputnya (Datuk Yunus) dalam rundingan kerana kemampuannya menyediakan fakta undang-undang dan penilaian yang memihak kepada Malaysia.''

Persoalannya, Perdana Menteri telah bersetuju mengekalkan Malaysia Hall di tempatnya sekarang dan tuan punya bangunan juga bersetuju menyambung pajakan 14 tahun lagi dan kemungkinannya diteruskan sehingga 25 tahun, kenapakah tiada usaha merealisasikannya sedangkan masa terlalu suntuk dan hanya ada sehingga September 2001 sahaja.

Semua orang tahu pemilikan harta bertaraf kekal adalah pelaburan yang lebih baik tetapi tidak ada hartanah di mana pun di London yang setanding kawasan Malaysia Hall di Bryanston Square.

Ia bukan hanya kerana lokasinya yang strategik dan mudah dikunjungi tetapi nilai sejarah yang ada pada bangunan itu sejak sebelum merdeka tahun 1957 yang terlekat pada hati orang Melayu dan pelajar.

Sekiranya Malaysia melabur £10 juta untuk membeli hartanah bertaraf pemilikan kekal, ramai merasakan kerajaan boleh mendapat jumlah pulangan yang sama dari Malaysia Hall sekiranya membuat sedikit pelaburan untuk membaik pulih bangunan dan bilik, dan mengenakan sewa bilik yang setimpal dengan status dan taraf kawasan Bryanston Square.

Walaupun sewa bilik sekarang amat murah, 15.28 pound sehari kerana ia diasaskan kepada perkhidmatan dan bukan keuntungan dan dibayar secara harian, kadarnya boleh dinaikkan lagi. Taraf dan mutu bilik tidur juga mesti ditingkatkan, tandas dan tempat mandi tidak dipisahkan seperti sekarang kerana di waktu pagi, mereka yang menginap di Malaysia Hall akan terasa seperti hidup di zaman filem Bujang Lapok.

Kelengkapan di Malaysia Hall juga perlu dipulihkan seperti dahulu. Bilik muzik dan perpustakaan perlu diadakan semula untuk kemudahan pelajar selain ruang bersembahyang berjemaah dan Jumaat yang masih terpelihara dengan rapi hingga sekarang.

Memandang populariti Malaysia Hall melebihi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi di Berkeley Square yang juga tidak jauh dari Harrods di Knightsbridge, penulis merasakan bagi melengkapkan imej berkhidmat untuk rakyat, pejabat imigresen juga wajar dipindahkan ke Malaysia Hall kerana ia menjadi tumpuan seluruh warga Malaysia di England.

Ringkasnya, Malaysia Hall wajar dikekalkan di tempatnya sekarang di Bryanston Square sebagaimana yang didakwa telah dipersetujui oleh Perdana Menteri.

Terlalu banyak alasan daripada kemudahan hingga kepada perasaan hati yang boleh diberikan untuk mengekalkan Malaysia Hall tetapi jarang yang ingat bahawa Malaysia Hall ialah Little Malaysia in Great Britain.

Oleh: ABDULLAH HASSAN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4aNu3oGGM © Utusan Melayu (M) Bhd

Fakulti Pengurusan Perniagaan catat sejarah

ARKIB : 02/07/2000
BANGI 1 Julai - Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatat sejarah apabila berjaya mengeluarkan graduan kumpulan pertama program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Eksekutif) pada tahun ini.

Program itu adalah yang pertama dijalankan di peringkat ijazah pertama menerusi Pusat Kembangan Pendidikan (PKP).

Timbalan Pengarah PKP, Sallehuddin Mohd. Noor berkata, program itu dimulakan pada sesi akademik 1995/96 lalu dengan 161 pelajar kumpulan pertama dianugerahkan ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen tahun ini.

Menurutnya, program itu dijalankan selama tiga hingga lima tahun dan terbuka kepada golongan bekerja.

''Kelas diadakan dari jam 6.30 petang sehingga 10 malam sebanyak tiga sehingga lima kali seminggu,'' katanya kepada Mingguan.

Beliau berkata, program itu mendapat sambutan baik daripada golongan berusia dan setakat ini, pelajar paling tua mengikuti kursus itu ialah 55 tahun.

Sementara itu, tinjauan Mingguan di kalangan pelajar program itu yang berusia lebih 40 tahun mendapati faktor anak-anak sudah dewasa mendorong mereka mengikuti program berkenaan.

Jamilah Hashim, 46, berkata, semua anak-anaknya sudah dewasa iaitu anak sulungnya berusia 24 tahun. ''Saya mempunyai lima orang anak yang sudah dewasa dan mereka sudah boleh mengurus diri sendiri sekali gus memberi peluang kepada saya untuk menimba ilmu,'' kata nenek kepada seorang cucu ini.

Rakannya, Siti Khatijah Rashid, 47, yang baru menerima menantu pada 25 Mei lalu berkata, beliau sependapat dengan Jamilah.

''Anak-anak saya juga sudah dewasa iaitu berusia di antara 13 sehingga 23 tahun,'' katanya.

Selain sokongan keluarga, katanya, beliau juga mendapat galakan daripada majikannya iaitu Malaysian Export Trading Insurance Bhd.

Baharom Abd. Hamid, 51, pula berkata, beliau mahu kegigihannya belajar pada usia itu menjadi contoh kepada anak-anak.

''Saya berpegang pada falsafah ilmu sepanjang hayat dan mahu anak-anak mengikut jejak saya,'' katanya.

Sementara itu, seorang guru Matematik, Maimunah Ali, 42, berkata, walaupun sukar untuk belajar dan mengajar tetapi lama-kelamaan perkara itu menjadi sebati dengan dirinya.

''Mula-mula memang susah untuk menyesuaikan diri tetapi apabila sudah lama, saya fikir tidaklah teruk sangat,'' katanya.

Rosena Ibrahim, 43, yang berasal dari Ipoh, Perak, berkata, beliau telah banyak berkorban masa demi menyambung pelajarannya.

''Saya bersyukur kerana mampu membahagi masa sebaik yang mungkin untuk mengurus rumah tangga dan belajar.

''Walaupun anak bongsu saya masih kecil iaitu berusia lima tahun, alhamdulillah saya mampu membahagi masa dengan baik,'' katanya.

Pegawai Eksekutif Perkeso, Rafdah Bachik, 42, berkata, galakan daripada suami mendorong beliau untuk berusaha sehingga mendapat segulung ijazah.

''Saya berterima kasih kepada suami yang selama ini menjadi dorongan saya untuk menamatkan pengajian ini,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_06.htm#ixzz4aNrkbz9n © Utusan Melayu (M) Bhd