Mula semester depan -
PULAU PINANG – Sistem gred
untuk aktiviti kokurikulum di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan
dilaksanakan mulai semester akan datang ini dengan harapan ia menjadi pelaris
untuk graduan memperoleh pekerjaan.
Ia akan menggunakan sistem
penilaian 1 hingga 10 dan diasingkan daripada pemarkahan akademik.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk
Mustapa Mohamed berkata, ia satu langkah memberi pengiktirafan kepada mereka
yang aktif dalam pelbagai aktiviti luar kuliah dan mendorong pelajar menaikkan
nama universiti sama ada pada peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa.
Beliau berkata, cadangan itu
kini dalam peringkat rundingan akhir dengan semua IPTA bagi mewujudkan
keselarasan.
“Sistem ini akan menjadi
panduan kepada majikan untuk memilih bakal pekerja selain rujukan kepada
pencapaian akademik,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Malam
Kebudayaan India di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini malam kelmarin.
Menurut beliau, ia juga
bertujuan menilai personaliti seseorang individu dan ini penting untuk pasaran
kerja yang akan diceburi kelak.
Beliau turut menjelaskan bahawa
pemberian gred ini kesinambungan daripada syarat kelayakan kemasukan bagi
seorang pelajar sekolah ke universiti.
“Kalau masa sekolah dulu antara
syarat untuk belajar di IPT seorang pelajar itu mesti aktif dalam kokurikulum,
jadi ini adalah kesinambungan daripada syarat itu bagi melayakkan pelajar untuk
memasuki pasaran kerja,” katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz4xN5yCU2v
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan