ARKIB : 14/03/2008
KISAH AL-QURAN - SIRI 78
MAKA tatkala Musa menyelesaikan
waktu yang ditentukan dan dia berangkat dengan keluarganya, dilihatnya api di
lereng gunung. Ia berkata kepada keluarganya: Tunggulah (di sini) sesungguhnya
aku melihat api, mudah-mudahan aku dapat membawa suatu berita kepadamu dari
(tempat) api itu atau (membawa) sesuluh api, agar kamu dapat menghangatkan
badan. (al-Qashash: 29)
Dari Madyan, Nabi Musa membawa
isterinya menuju ke Mesir iaitu negeri kelahirannya. Nabi Musa meninggalkan
mertuanya yang sudah tua. Walaupun beliau bahagia bersama isterinya isterinya
di Madyan, tetapi Nabi Musa mahu kembali ke tanah airnya.
Nabi Musa bersama isterinya
berangkat menuju ke utara meninggalkan Madyan. Setelah berjalan menempuh padang
pasir yang luas, akhirnya Nabi Musa bersama isterinya tiba di Thur Sina (Gunung
Sinai). Nabi Musa bersama isterinya sesat dan berasa ragu untuk meneruskan
perjalanan.
Malam telah tiba, membawa
bersama ketenangan dan kedamaian dengan bintang-bintang yang gemerlapan di
langit. Bertambah ragu dan bimbang Nabi Musa dengan perjalanan mereka.
Tiba-tiba dari jauh Nabi Musa melihat api-api yang berkelip-kelip.
Saya mahu ke sana. Mahu
melihat api yang berkelip-kelip itu. Tinggallah kamu di sini sekejap. Saya akan
segera ke sini membawa berita, kata Nabi Musa kepada isterinya.
Nabi Musa pun berjalan menuju
ke tempat itu. Nabi Musa tiba di bawah pokok zaitun yang rendang berhampiran
api itu. Tiba-tiba dia terdengar satu suara.
Wahai Musa, Aku adalah Allah
Tuhanmu. Maka tanggalkanlah kedua-dua kasut di kakimu, kerana sesungguhnya
engkau berada di lembah suci Thuwa. Aku memilih engkau menjadi utusan-Ku Dengan
itu dengarlah baik-baik apa yang akan diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya Aku
adalah Tuhan. Tidak ada Tuhan selain Aku. Dengan itu sembahlah Aku. Dirikanlah
sembahyang untuk mengingati Aku. Sesungguhnya kiamat pasti tiba. Manusia akan
menerima balasan atas segala perbuatannya. Janganlah engkau menurut kata orang
yang tidak mempercayai Aku dan janganlah engkau membawa celaka kepada dirimu
sendiri.
Ular
Wahyu pertama telah sampai
kepada Nabi Musa. Nabi Musa telah diangkat menjadi rasul dan sebagai utusan
Allah s.w.t.
Wahai Nabi Musa apakah di
tangan kamu itu, bunyi suara itu selanjutnya.
Ini adalah tongkatku. Tempat
untuk aku bertekan dan menggunakannya untuk menghalau kambing gembalaan, jawab
Nabi Musa.
Allah memerintahkan Nabi Musa
melemparkan tongkat yang berada di tangannya itu. Tiba-tiba tongkatnya itu
bertukar menjadi ular. Pada mulanya ular itu kecil tetapi lama-kelamaan ular
itu menjadi besar.
Nabi Musa menjadi takut
sehingga baginda lari dengan sekuat-kuatnya.
Jangan takut wahai Musa.
Sesungguhnya orang yang telah diutus tidak boleh takut. Kamu peganglah semula
pasti ia akan menjadi tongkatmu.
Nabi Musa menjadi tenang dan
insaf mendengar firman Allah s.w.t. itu. Baginda bersyukur atas pemberian Allah
kepadanya. Musa telah menjadi nabi dan rasul Allah s.w.t.
Kepitlah tanganmu ke dalam
ketiakmu. Nescaya tanganmu akan menjadi putih bersih yang berkilat-kilat.
Apabila kamu di dalam ketakutan, pangkulah tanganmu itu. Sekarang kamu boleh
berangkat bagi menghadapi Firaun dan pengikut-pengikutnya.
Inilah kedua-dua mukjizat yang
diberikan Allah s.w.t. kepada Nabi Musa. Nabi Musa berjalan pergi ke tempat
isterinya lalu meneruskan perjalanan ke Mesir.
PENGAJARAN
* Seseorang itu hendaklah
bersyukur dengan kelebihan yang Allah berikan kepadanya.
PERBENDAHARAAN KATA
kembali: balik, pulang
menempuh: melalui
ragu: syak atau was-was
rendang: rendah dan banyak daun
serta cabangnya
INFORMASI
Di Gunung Thur Sina, di lembah
Thuwa yang suci, Nabi Musa diseru supaya membuka kasutnya dan menerima wahyu
Allah s.w.t. serta mukjizat daripada-Nya. Itulah wahyu pertama diterima oleh
Nabi Musa sebagai tanda kenabiannya.
- Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx. com.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4ypOsQVMT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan