ARKIB : 23/03/2008
Bersama:MOHD. YUSOF ABAS
SOALAN: SAYA membaca cerita Nabi
Musa berguru dengan seorang hamba Allah yang soleh. Adakah cerita itu
benar-benar berlaku sedangkan Nabi Musa adalah Nabi besar dari kalangan ulul
azmi, manakala Khaidhir pula seorang saleh biasa yang dikurniakan ilmu dari
Allah. Apakah cerita sebenarnya dan apakah pengajaran daripada cerita ini?
Mohd Rizal Mohd Said,
Kuala Langat, Selanggor.
JAWAPAN: Ya! Cerita tersebut
memang tercatat dalam al-Quran pada akhir surah Al-Kahfi yang bermula dari ayat
65-82. Dikatakan (dikisahkan) Nabi Musa pada suatu hari ada berkata bahawa
dialah manusia yang paling alim. Lalu Allah mahu mengingatkanya bahawa ada lagi
orang lain yang lebih alim daripadanya selain Allah. Iaitu seorang hamba-Nya
yang dikurniakan ilmu daripada-Nya. Orang ini dikatakan bernama Khaidhir. Lalu
Nabi Musa ingin bertemu dan belajar dengan hamba itu. Dan bila Nabi Musa
bertemu dengannya, baginda pun berkata bolehkah aku mengikutimu untuk belajar.
Jawab Khaidhir: Boleh, tetapi
dengan syarat bila kamu ikut aku maka jangan bertanyaku sesuatu sehingga aku
bagi tahu kamu jawapannya. Dan kamu tidak mampu bersabar denganku , bagaimana
boleh kamu tahan sabar terhadap perkara yang kamu tidak dapat memahami
rahsianya.
Ringkas ceritanya: Mereka pun
berjalanlah sehingga sampai di satu pelabuhan dan terpaksa menaiki kapal.
Apabila kapal itu tiba di destinasinya penumpang pun turun lalu Khaidhir tidak
terus turun malah mengambil kapak dan melubangkan kapal tersebut. Nabi Musa pun
hairan, kenapa kamu rosakkan kapal ini yang telah membawa kita semua dengan selamat.
Sedangkan anak kapal tersebut sangat memuliakan mereka berdua. Sepatutnya kita
semua terhutang budi dengan mereka, kamu telah lakukan kerja bodoh. Maka jawab
Khaidhir bukankah aku kata, yang kamu tidak mampu bersabar denganku. Kemudian
jawab Musa ia terlupa dan iapun memohon maaf. Lalu mereka meneruskan
perjalanannya dan bertemu dengan anak-anak yang sedang bermain lalu Khadhir
menangkap budak itu dan membunuhnya. Kata Nabi Musa: Kenapa kamu bunuh budak
kecil yang tidak berdosa. Ini satu kesalahan yang amat besar.
Jawab Khaidhir: Aku dah
katakan kamu tidak mampu bersabar dengan-Ku. Kata Nabi Musa, Sekiranya aku
bertanya lagi maka jangan berkawan lagi denganku cukuplah kesilapanku denganmu
yang tidak tertahan.
Lalu mereka berjalan lagi
sehingga tiba di sebuah kampung dalam keadaan kelaparan dan ingin mendapatkan
makanan dari penduduk kampung yang kedekut itu. Tetapi seluruh penduduk kampung
enggan menjamu mereka, lalu bermalamlah mereka dalam kelaparan tetapi Khaidhir
apabila bertemu dengan dinding yang hampir roboh lalu beliau bertungkus lumus
menegakkanya kembali sekalipun dalam kelaparan.
Kata Nabi Musa, Elok kalau
kamu minta sedikit upah atas kerjamu itu untuk menghilang kelaparan kita ini.
Kata Khaidhir, Inilah tiba masa perpisahan antara kita. Aku akan ceritakan
rahsia perkara yang kamu tidak tahan sabar mengenainya.
Adapun kapal yang aku rosakkan
tempoh hari adalah milik orang miskin yang bekerja (mata pencarian hidup
mereka) dalam laut. Aku rosakkannya untuk mengelak dari dirampas raja zalim
yang akan merampas semua kapal yang baik-baik. Ini dilakukan supaya dia boleh
bekerja membawa penumpang dengan selamat kelak. Dan ternyata selepas itu kapal
itulah satu-satunya kapal yang tidak dirampas dan dapat bekerja belayar
berulang alik membawa penumpang. Dan kehidupan pekerja kapal yang miskin tadi
berubah menjadi senang dan kaya-raya.
Adapun budak kecil yang
dibunuh tadi kerana bila besar nanti dia akan menderhakai ibu bapanya, lalu
kemudian Allah ingin menggantikannya dengan anaknya yang lain yang lebih baik
dan menyayangi lagi menghormati mereka. Adapun dinding yang hampir roboh tadi,
adalah milik dua anak yatim dalam bandar tersebut. Tetapi oleh kerana mereka
masih kecil dan tidak mampu menjaga dinding tersebut dengan baik maka aku
betulkan sehingga mereka besar nanti dapatlah mereka keluarkan gedung harta
yang tersembunyi di bawahnya sebagai harta simpanan dari ibu bapa mereka yang
soleh.
Ini semua kerana rahmat dari
Tuhanmu. Semuanya ada rahsia yang kamu tidak mampu bersabar atasnya. Antara
pengajaran yang dapat difahami dari kisah tersebut ialah: Tidak ada mereka yang
lebih alim melainkan ada di atasnya Yang Maha Mengetahui daripadanya. Kita
disuruh belajar sekalipun dengan orang yang lebih rendah dari kita dan setiap
perkara yang berlaku itu pasti ada hikmatnya dan sekalipun ianya berupa musibah
tetapi pasti ada bersamanya rahmat dan nikmat. Allah berfiman bermaksud:
Sungguhnya berserta kesusahan itu kesenangan (surah al-Insyirah ayat 5-6)
Wallahualam.
Barang daripada kulit bangkai
Soalan: Bagaimana hukum
memanfaatkan kulit bangkai? Saya waswas kerana di pasaran sekarang banyak
barang kulit yang mungkin diperbuat daripada kulit bangkai.
Amin Shah, Puchong, Selangor.
JAWAPAN: Anda tidak perlu
waswas kerana kulit bangkai akan menjadi suci apabila disamak. Rasulullah
pernah melihat bangkai kambing di tepi jalan lalu sabdanya kepada para sahabat
kenapa kamu tidak menggunakan kulitnya? Tanya para sahabat bukankan ianya
menjadi najis? Sabdanya yang najis itu kalau memakannya tetapi kultnya kalau
disamak akan menjadi suci dan boleh digunakan (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Melainkan kulit binatang
seperti anjing, babi dan kacukan keduanya sahaja yang tidak akan suci sekalipun
setelah disamak. Adapun bangkai lain semuanya boleh disamak menurut mazhab kita
dan tidak perlu ragu untuk menggunakanya setelah disamak. Sedangkan samak
tersebut mestilah dengan menggunakan bahannya yang tertentu yang boleh
membersihkan dan menghilangkan kotoran dari kulit tersebut, seperti kulit
sejenis kayu (samak atau salam) atau barang lain yang boleh digunakan untuk
tujuan tersebut. Adapun anjing dan babi tadi tidak boleh disucikan melalui
samak itu kerana hukumnya najis aini (zatnya). Wallahualam.
- ALAMATKAN kemusykilan anda
kepada Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim, Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau
e-mel mingguan@utusan.com.my. Nyatakan nama penuh dan nama samaran untuk
siaran.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4ypi0pC00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan