ARKIB : 18/08/2008
Suasana Jesselton sekitar tahun
1960-an yang kini membangun sebagai Kota Kinabalu, salah sebuah bandar raya
maju di Malaysia.
KOTA KINABALU 17 Ogos -
Jesselton yang satu ketika dahulu berupa bandar mati tetapi kini berubah
menjadi bandar raya Kota Kinabalu yang hidup, meninggalkan banyak memori indah
kepada penduduk Sabah.
Diasaskan oleh Syarikat Borneo
Utara British selepas pusat pentadbirannya di Pulau Gaya musnah akibat
kebakaran, Jesselton menjadi ibu negeri ketiga syarikat tersebut pada 1946
selepas Sandakan dan Kudat.
Terletak di antara bukit-bukau
dan laut, ia pada mulanya dinamakan Api-Api sempena kebakaran di Pulau Gaya
itu.
Ia kemudian dinamai pula
Jesselton, sempena nama Sir Charles Jessel yang ketika itu bertugas sebagai
timbalan pengurus Syarikat Borneo Utara British.
Sejarah mercu tanda pembangunan
Jesselton yang masih tegak hingga ke hari ini ialah Jesselton Hotel, bangunan
Kastam, Hongkong and Shanghai Bank, Chartered Bank, dewan orang ramai Kota
Kinabalu, panggung Capital, bangunan Pelancongan Sabah dan perkhidmatan
keretapi.
Mercu tanda itu wujud sebelum
Borneo Utara memasuki Malaysia pada 16 September 1963 yang kemudian dikenali
sebagai Sabah.
Abdullah Hussin, 76, masih
terkenang kehidupan indah yang dilaluinya pada zaman dahulu.
''Saya masih ingat di awal
1950-an, saya sering keluar bersama kawan-kawan dari pelbagai kaum Melayu,
Kadazandusun mahupun Cina dan bermain snuker di Jesselton. Kadang-kadang kami
pergi 'aramati' (parti) bersama-sama.
''Masa itu, saya tinggal di
rumah papan di pusat bandar. Saya bekerja sebagai buruh di syarikat getah Sun
Lee. Masa itu seronok, tetapi sekarang yang tinggal hanya kenang-kenangan,''
katanya kepada Bernama.
''Masa itu gaji saya hanya
RM80, tetapi ia lebih dari cukup. Malah saya masih ada duit untuk berseronok
pada hujung minggu.
''Semuanya murah. Harga gula
baru 10 sen atau 20 sen sekati (600 gram),'' tambahnya.
Abdullah berkata, dia datang ke
Jesselton menaiki kapal kargo di awal 1950-an untuk mencari kerja.
''Masa itu belum ada jalan dari
Kudat ke Jesselton, Bila saya sampai di Jesselton, saya lihat hanya ada
beberapa rumah kedai papan beratap rumbia, juga beberapa rumah nelayan yang
dibina di atas tiang tinggi.
''Selepas 1957, baru banyak
bangunan batu. Di tengah bandar ada panggung Capital. Memang orang dulu suka
tengok wayang, termasuk yang datang dari Kampung Tanjung Aru, Sembulan dan
Likas,'' katanya.
Selama 55 tahun dahulu,
Abdullah berkata, Jesselton akan menjadi sunyi mulai pukul 7 malam.
''Tapi tak perlu takut apa-apa,
walaupun kita keluar pada sebelah malam, tak ada siapa yang kacau kita. Peniaga
boleh letak pisang mereka (di pasar) di sebelah malam, tapi di sebelah siang
masih ada lagi di situ. Tak pernah ada pencuri dan perompak,'' katanya.
Tetapi menurut Abdullah,
pembangunan sangat berkurangan di Jesselton pada ketika itu, hanya mula berubah
apabila Sabah memasuki Malaysia.
Kerajaan melabur berjuta-juta
ringgit untuk membangunkan Jesselton sebagai pusat pentadbiran.
Jesselton dinamai Kota Kinabalu
pada 30 September 1968 dan diisytihar sebagai bandar raya pada 2 Februari 2000.
Kota Kinabalu kini berkembang
pesat sebagai pusat kewangan, ekonomi dan pelancongan serantau terutama di
Kawasan Pertumbuhan Asia Tenggara - Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina
(BIMP-EAGA).
Ia kini memiliki banyak hotel
mewah seperti Sutera Harbour Resort dan Shangri-la Tanjung Aru Resort, jalan
raya yang lebar dan panjang, bangunan moden seperti bangunan Yayasan Sabah,
pasar raya besar 1 Borneo dan bangunan Center Point.
Bagi generasi sekarang, Mohamad
Awang, 50, dari Kampung Sembulan Lama, berkata: ''Kita boleh melihat banyak
perubahan dalam semua bentuk pembangunan termasuk ekonomi, pendidikan,
kesihatan dan infrastruktur.
''Di Kota Kinabalu sendiri,
kita ada banyak sekolah rendah, menengah dan Universiti Malaysia Sabah,
hospital Queen Elizabeth, lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu yang baru
dan tidak lama lagi perkhidmatan keretapi yang dinaik taraf,'' katanya.
Namun Mohamad berharap Kampung
Sembulan Lama yang terletak di pinggir Kota Kinabalu, akan dijadikan
perkampungan Melayu tradisional.
''Walaupun kita menuju
perubahan, kekayaan pelbagai budaya, amalan serta adat resam perlu
dikekalkan,'' katanya.
Pengarah Arkib Negeri, Datu
Tiga Belas, Datuk Zainal Abidin berkata, sejarah Jesselton adalah penting untuk
dihayati bukan sahaja kepada penduduk bandar raya ini tetapi juga rakyat Sabah
keseluruhannya.
Sehubungan itu acara khas
'Jesselton Dalam Kenangan' akan diadakan esok sempena sambutan kemerdekaan
negara tahun ini untuk rakyat mengingati kembali Jesselton sebagai ibu evolusi
Sabah.
''Kita akan pamerkan kepada
orang ramai ratusan rekod sejarah termasuk gambar lama berhubung Jesselton di
Wisma Pertanian,'' katanya.
- Bernama
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_04.htm#ixzz4ztmuhmss
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan