Pada hari ini 5.7.1825 Parlimen
Inggeris telah meluluskan akta membenarkan Syarikat Hindia Timur E.I.C.
menubuhkan Negeri-Negeri Selat. Dengan penubuhan ini pentadbiran ketiga-tiga
penempatan Inggeris di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura diletakkan di bawah
satu kerajaan yang beribu Pejabat di Pulau Pinang. Ibu pejabat ini kemudian
telah dipindahkan ke Singapura atas sebab-sebab ekonomi dan perdagangan.
Penubuhan Negeri-Negeri Selat ini adalah bertujuan bagi memudahkan segala
urusan pentadbiran dan perdagangan Inggeris. Untuk tujuan tersebut seorang
Gabenor General telah dilantik dan beliau dibantu oleh Residan Councillor dari
tiap-tiap negeri. Di samping itu sebuah majlis telah di bentuk bagi membantu
Gabenor General di mana ramai dari ahlinya terdiri dari kakitangan awam. Di
peringkat awal penubuhannya Negeri-Negeri Selat sering mengalami masalah
kewangan untuk membiayai urusan pentadbirannya dan ia terpaksa dibantu oleh
kerajaan Inggeris di India. Oleh itu untuk menjimatkan perbelanjaan, pada tahun
1851, pentadbiran Negeri-Negeri Selat telah dipindahkan ke bawah kuasa Gabenor
General di India. Kegagalan Negeri-Negeri Selat mengumpulkan hasil yang
mencukupi bagi menampung perbelanjaanya adalah akibat dasar perdagangan bebas
yang diamalkan di Singapura. Sungguhpun ia maju dibidang perdagangan tetapi
kutipan hasil hanya bergantung kepada ladang candu, arak dan perjudian. Pada
tahun 1858, apabila Syarikat Hindia Timur Inggeris dimansuhkan, pentadbiran
Negeri-Negeri Selat telah diletakkan di pentadbiran Wizurai Culcutta. Akhirnya
pada tahun 1867, atas desakan pedagang-pedagang di Negeri-Negeri Selat Kerajaan
British akhirnya bersetuju menjadi Negeri-Negeri Selat, sebagai tanah jajahan
Inggeris dan ditadbir terus dari Pejabat Tanah Jajahan di London.
SUMBER- http://hids.arkib.gov.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan