SITI NOOR SEPEE & NORSHIKIN
MOHD SALLEH
28 Jun 2014
Pemandangan dari bahagian udara
Kem Majidee bakal dibangunkan semula. Pemandangan dari bahagian udara Kem
Majidee bakal dibangunkan semula.
TEPAT jam 6.30 petang, 21 Jun
lalu, tiupan trompet mengalunkan lagu ‘The retreat’ menandakan berakhirnya
mercu tanda pertahanan negara di selatan tanah air, apabila secara rasminya Kem
Majidee Johor Bahru ditutup.
Penutupan kem tertua di negara
ini yang berusia 74 tahun itu diadakan dengan penuh istiadat ketenteraan,
serentak alunan lagu ‘keramat’ itu dimainkan, kesemua bendera pasukan
diturunkan dan bermulalah perbarisan Paluan Berundur Batalion ke-10 Askar
Melayu Diraja.
Kem Majidee yang terletak di
tengah–tengah Bandar Johor Bahru, merupakan kem yang masih utuh bakal
diserahkan kepada Syarikat Selia Pantai Sdn Bhd bermula 1 Julai ini untuk
pembangunan Kota Southkey.
Sejarah kem Majidee
Kedudukan kem tersebut di
antara Jalan Bakar Batu dan Jalan Tebrau, di tengah-tengah kepesatan
pembangunan ibu negeri Johor telah meninggalkan 1,001 kenangan khasnya buat
seluruh warga tentera darat.
Sejarah penempatan pasukan di
Kem Majidee bermula dengan penubuhan pasukan elit Tentera Darat-Rejimen Gerak
Khas Malaysia atau dikenali sebagai Pasukan Komando Malaysia seawal 1965.
Menteri Pertahanan ketika itu,
Tun Abdul Razak Hussein mengarahkan sukarelawan dari Tentera Darat dan Tentera
Laut Diraja Malaysia mengambil bahagian dalam ujian pemilihan.
Pada 25 Februari 1965, satu
Latihan Asas Komando diperkenalkan dan dikendalikan oleh 40th British Royal
Marines Commando di Kem Majidee. Melalui latihan intensif berkenaan, lahirnya
15 pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang menjadi perintis kepada Pasukan
Elit Tentera Darat Rejimen Gerak Khas Malaysia yang sehingga kini digeruni dan
dibanggakan oleh tentera darat.
Sejak 1957, lain-lain pasukan
yang pernah menduduki Kem Majidee seperti Batalion ke-9 Rejimen Askar Melayu
Diraja, Batalion ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja dan Batalion ke-15 Rejimen
Askar Melayu Diraja.
Turut ditempatkan di sana
adalah Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja, Depot Peluru dan Letupan
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Rejimen 501 Askar Wataniah.
Pasukan terakhir menduduki Kem
Majidee adalah Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipindahkan ke
Kem Bukit Banang, Batu Pahat.
Lima pasukan lain iaitu
Batalion pertama Rejimen Renjer Diraja berpindah ke Kem Ulu Tiram termasuk 810
Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) Trup Semboyan 91 Rejimen Semboyan
Diraja, Platun Kor Perkhidmatan Diraja dan Markas Staf Stesen.
Kedudukan tidak lagi sesuai
sebagai lokasi pertahanan
Seiring usianya, Kem Majidee
tidak terkecuali mengalami proses pembangunan susulan kedudukannya strategik di
tengah bandar menyebabkan tempias transformasi gagal dielakkan.
Pegawai Penyelidik, Yayasan
Warisan Johor (YWJ), Kamdi Kamil mempunyai pandangan terhadap berakhirnya
legasi kem tentera tertua itu.
Menurutnya, pembangunan pesat
di bandar raya Johor Bahru turut merubah persekitaran kem berkenaan yang
dahulunya hanya dikelilingi kawasan tanaman getah dan perkampungan namun hari
ini, ia dikelilingi dengan bangunan komersial, pusat membeli-belah dan
perumahan moden.
“Hari ini, Kem Majidee
terhimpit pembangunan berikutan lokasinya yang strategik di pusat bandar Johor
Bahru, namun tidak sesuai untuk aspek ketenteraan.
“Walaupun peranan kem tentera
itu berbeza ketika zaman peperangan dan darurat, Kem Majidee merupakan warisan
pertahanan di bandar sekiranya berlaku kekacauan dan kini ia menjadi milik Kem
Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada),” katanya kepada Sinar Harian.
Kamdi berpendapat, apabila
pembangunan Southkey bermula pihak bertanggungjawab perlu mempertimbangkan
supaya sebahagian bangunan kem dikekalkan seperti kuarters yang dihuni anggota
tentera.
“Sebaiknya tidak keseluruhannya
diwujudkan premis perniagaan, saya berpendapat ia juga wajar dibangunkan
perumahan, namun kosnya mampu dimiliki khususnya orang Melayu.
“Tiada halangan bagi saya untuk
membangunkan sesuatu kawasan, namun jika melibatkan tempat bersejarah dan
warisan sebaiknya ia dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang, sebagai
contoh Turki masih mengekalkan bangunan bersejarah yang dibina sebelum Masihi
di Izmir,” katanya.
Suntik elemen Kemelayuan, kekal
nama Majidi
Kamdi yang juga penulis buku
100 Tokoh Melakar Sejarah turut berkongsi serba sedikit latar belakang kem yang
mengalami beberapa era pemerintahan dari zaman British diikuti pentadbiran
Tentera Jepun apabila berjaya menawan Johor Bahru sebelum ke Singapura.
“Sebagai kem tentera darat
tertua, ia telah menempuh zaman peralihan kuasa bermula dengan pemerintahan
British, Kem Majidee kemudiannya digunakan sebagai markas Tentera Jepun selepas
berjaya menguasai Johor Bahru.
“Ketika tentera Jepun berjaya
merampas kuasa, maka tentera British terpaksa berundur, sejak daripada itu
bukan sahaja Kem Majidee malah beberapa bangunan kerajaan di sekitar Johor
Bahru turut digunakan Jepun,” katanya.
Menyingkap zaman pemerintahan
sebelum merdeka itu, Kamdi berkata, dalam masa empat tahun pemerintahan tentera
Jepun, bangunan kerajaan termasuk hospital, Bangunan Bukit Timbalan dan
Bangunan English Collage telah ditawan.
Bagaimanapun selepas kebangkitan Tanah Melayu, Kem Majidee kembali
diserahkan kepada British dan kemudian diserahkan kepada Kerajaan Malaysia pada
11 November 1957.
Penggunaan nama kem tersebut
sebagai Kem Majidee adalah lanjutan kawasan kem tersebut di sekitar kawasan
bernama Majidee.
“Ketika itu, kem berkenaan
termasuk sekolah-sekolah menggunakan nama ‘Majidi’ iaitu sempena menghargai
jasa tokoh juga Pengasas Johor iaitu Ungku Majid Temenggung Ibrahim.
“Tidak dinafikan pelbagai fakta
kurang tepat dikaitkan dengan nama Majidi. Seperti di internet kononnya ia
diambil sempena pemilik tanah berbangsa Inggeris, Sir Majidee.
“Saya tidak faham kenapa perlu
kita mengagungkan bangsa asing sedangkan nama Majidi itu merupakan tokoh
berbangsa Melayu.
“Dalam konteks pemilihan nama
Southkey, sebagai orang Melayu saya berpendapat lebih baik elemen kemelayuan
dikekalkan.
“Jika kita lihat di
bandar-bandar besar, kebanyakan nama tempat menggunakan nama Inggeris.
Sepatutnya kita perlu ada jati diri dan bangga menggunakan Bahasa Melayu.
“Sebagai contoh di Indonesia,
rakyat mereka begitu berbangga untuk menggunakan Bahasa Indonesia walaupun
mempunyai pengaruh Belanda,” katanya.
Kem Majidee lahirnya perwira
Kem Majidee menjadi satu
kemegahan bagi warga tentera darat kerana telah melahirkan ramai perwira negara
sejak di zaman penjajahan sehingga kini.
Keputusan menutup kem berkenaan
ternyata memberikan khabar duka kepada anggota khususnya veteran tentera yang
menyimpan 1001 kenangan buat mereka.
Perkara ini diakui seorang
veteran tentera darat, Selamat Mohd Sahil, 75, yang memegang jawatan terakhir
sebagai Pegawai Waran I sebelum bersara pada 1982.
Walaupun hanya setahun bertugas
di Kem Majidee, namun Selamat mengakui hatinya begitu hiba kerana kem yang
menjadi kebanggaan seluruh anggota tentera bakal lenyap.
“Ia adalah satu kemegahan bagi
kami tetapi apabila ianya bakal diruntuhkan, maka segalanya akan tinggal
kenangan. Generasi akan datang tidak dapat lagi melihat keadaan sebenar kem
sedangkan ia kem pertama dibina di negara ini.
“Apabila ia ditutup dan diganti
dengan yang lain...yang tinggal adalah nama sedangkan sebelum ini apabila kita
datang di Johor Bahru, kem ini tersergam indah dan menjadi simbolik kepada
pertahanan tanah air,” katanya.
Menceritakan kenangan manisnya,
Selamat berkata, padang tembak di kem terbabit menjadi lokasi yang tidak akan
dilupakannya walaupun telah lebih 30 tahun bersara.
“Setiap kali mendengar tembakan
dan letupan meriam di padang tembak berkenaan ia menjadi penguat semangat untuk
kami. Ini kerana ketika itu tugas tentera agak mencabar tidak. Ketika menyertai
tentera negara sedang berhadapan serangan komunis.
“Kini padang tembak tiada lagi
kerana memberi laluan kepada projek lebuh raya, namun hati saya amat sebak
apabila selepas ini Kem Majidee hanya tinggal sejarah,” katanya.
Tidak dapat menahan sebak
Sementara itu, Pembantu
Kesihatan Rumah Sakit Angkatan Tentera Kem Majidee, Mohd Parman Supar yang
bertugas di kem berkenaan sejak 1974 memberitahu, beliau tidak menahan sebak
ketika alunan lagu retreat dialunkan semasa istiadat Paluan Beurndur.
“Saya berkhidmat bersama
angkatan tentera pada 1974 dan Kem Majidee merupakan kem pertama saya sebelum
diserap mengangkat senjata pada 1980 menentang komunis," katanya.
Selepas itu, Parman kembali
semula ke Kem Majidee pada 1998 sehingga kini, namun di penghujung
perkhidmatannya sebagai kakitangan awam, kem berkenaan ditutup bagi memberi
laluan kepada projek pembangunan.
“Saya begitu sebak kerana kem
pertama saya bertugas bakal lenyap. Sudah pasti ia akan kekal di dalam ingatan
saya sehingga akhir hayat.
“Generasi akan datang juga
mungkin hanya mengetahui sejarah Kem Majidee melalui pembacaan dan jika filem
Prebet Lapok arahan AR Badul itu ditayangkan semula, ia dapat mengimbau kembali
keadaan kem ini kerana penggambaran filem dijalankan di sini,” katanya.
Mohd Parman memaklumkan, dia
turut terlibat sebagai pelakon tambahan dalam filem era 1980-an itu sebagai
pemandu trak.
“Saya tidak melepaskan peluang
untuk hadir pada Istiadat Paluan berundur kerana ia jarang dipertontonkan
lebih-lebih lagi melibatkan Kem Majidee yang banyak menyimpan kenangan
sepanjang saya bertugas,” katanya.
Walaupun bakal mencecah usia
emas, semangat perjuangan masih kekal di jiwa Mohd Parman, malah semangat
terbabit turut diwarisi cucunya, Abdul Hakim Abdul Syawal, 3, yang menunjukkan
minat dalam ketenteraan.
“Saya membawa cucu saya untuk
menyaksikan sendiri istiadat yang begitu bersejarah bagi seluruh anggota
tentera khususnya yang pernah bertugas di Kem Majidee,” katanya.
Majidee kepada Southkey
Pelancaran projek mega
bersepadu SouthKey diisytiharkan pada 25 Februari 2012, di bawah pentadbiran
bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
Projek oleh syarikat Selia
Pantai Sdn Bhd itu, hasil kerjasama pintar awam-swasta iaitu antara Kumpulan
Selia dan Kerajaan Johor menerusi Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd
(KPRJ).
Projek dengan nilai pembangunan
kasar (GDV) RM13 bilion itu, melibatkan kawasan 133 hektar dan tempoh 15 tahun
untuk disiapkan yang mendapat pandangan konsultan oleh perancang utama, Prof
Philip Cox dari Cox Architects di Sydney, Australia.
Fasa pertama pembangunan,
melibatkan GDV bernilai RM2 bilion di Zon Perdana A dalam Iskandar Malaysia itu
sedang dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2018.
Pengerusi SouthKey Properties
Sdn Bhd, Datuk Abdul Karim Ahmad Tarmizi berkata, ia dibangunkan menerusi sembilan
presint bandar moden yang mempunyai kawasan komersial, penempatan, hotel dan
bermacam lagi.
“Pembangunan utama projek ini
didukung 60 peratus komponen komersial seperti taman perniagaan, kedai pejabat,
gedung beli belah, hotel, pusat perubatan, kolej pangsapuri dan sebanyak 10
peratus hartanah termasuk perumahan.
Manakala selainnya adalah
infrastruktur dan kemudahan awam,” katanya.
Abdul Ghani menerusi kenyataan
di majlis pecah tanah, mengandaikan projek ini memberi nafas baru kepada bandar
raya Johor Bahru.
“Berdasarkan lokasi SouthKey
yang strategik dan komponen pembangunannya yang menarik, ia mempunyai daya
tarikan tersendiri dengan gaya kehidupan moden yang memberi nafas baru kepada
Johor Bahru,” katanya.
Sumber- SINAR HARIAN ONLINE 28 Jun 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan