Khamis, 24 Julai 2014

Kemegahan rakyat Johor

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
 
AB. AZIZ (tengah) bersama Roslee (kanan) dan Sani di hadapan bangunan Markas Staf Stesen Kem Majidee yang bakal berpindah lokasi.

PENUTUPAN Kem Majidee, antara kem tertua Tentera Darat pada 21 Jun lalu mencetuskan pelbagai reaksi daripada penduduk setempat terutamanya dari Kampung Melayu, Taman Pelangi, Taman Melodies dan Kampung Bakar Batu.

Ini kerana telah wujud satu ikatan istimewa antara anggota tentera yang mendiami kem tersebut dan penduduk-penduduk kampung berdekatan yang telah menetap di sekitar kem tersebut sejak sekian lama.

Seorang penduduk Kampung Bakar Batu, Fadhli Yusoff, 35, menjelaskan, Kem Majidee menjadi kemegahan warga Johor kerana telah melahirkan ramai perwira negara sejak awal kemerdekaan.

Namun dia berharap agar penutupan kem itu bagi memberi laluan kepada Kota Southkey tidak menjadikan nama Kem Majidee dilupakan dalam lipatan sejarah.

“Apabila ditutup, yang tinggal hanyalah namanya sahaja sedangkan sebelum ini apabila datang ke Johor Bahru, Johor kem ini tersergam indah dan menjadi simbolik pertahanan negara,” katanya.

Perkara ini diakui sendiri oleh Panglima 7 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Ab. Aziz Abdullah kerana beliau pasti legasi Kem Majidee terus utuh dalam memori penduduk bandar raya Johor Bahru.

Menurut Ab. Aziz, ikatan istimewa yang lama terjalin antara tentera dan penduduk setempat adalah bukti bahawa Kem Majidee bukan sahaja dikenali sebagai mercu tanda pertahanan negara bahkan turut menjadi inspirasi kepada masyarakatnya.

“Selain berasa selamat dan aman, kehadiran anggota tentera kami juga dilihat satu deklarasi kepada sumbangan dan penerimaan baik mereka kepada kami.

“Contohnya, masih ada ramai lagi penduduk setempat yang gemar menggunakan Masjid Shuhada di dalam kem kerana mereka berasa lebih selesa dan gembira untuk berkait rapat dengan kami, anggota tentera.

“Kami juga mengadakan pelbagai pameran, kerjasama komuniti, gotong-royong dan sebagainya. Ini menjadikan kehadiran anggota tentera dalam kem ini amat penting bagi komuniti setempat,” jelas Ab. Aziz.

Memori


BLOK kediaman bujang selepas ditinggalkan.

Jelas beliau, kewujudan Kem Majidee ini sejak dari awal lagi telah berjaya memenangi hati dalam setiap penduduk setempat.

Justeru, penutupan kem yang telah bertapak sejak 74 tahun itu sudah pasti amat mengguris memori ramai penduduk dan bekas anggota tentera yang lama berkhidmat di sini.

Ada antara penduduk setempat mempersoalkan penutupan kem berkenaan dengan alasan lokasi tersebut adalah amat strategik bagi pertahanan negara di selatan.

Menjelaskan hal tersebut, Ab. Aziz berkata, semasa dibuka, kem tersebut memang satu lokasi yang strategik bagi pertahanan negara.

“Namun, kem ini terpaksa berundur bagi memberi keutamaan kepada kepesatan pembangunan di Johor kami pula diberi penempatan yang lebih moden dan selesa.

“Lokasi baharu tidak akan memberi impak besar dari segi operasi dan taktikal kerana tugas, tanggungjawab dan kemampuan kami masih lagi sama.

“Kita ada tiga batalion infantri yang akan bersiap bersedia melindungi selatan tanah air, jadi saya rasa ia bukan satu masalah jika dilihat dalam konteks lokasi,” tambah beliau.

Sementara itu, Pegawai Staf Pentadbiran Markas Staf Stesen Johor Bahru, Mejar Roslee Mohd. Salleh memberitahu, pelbagai kenangan dan memori manis akan terus diingatinya sepanjang bertugas di Kem Majidee ini.

“Kem ini banyak berjasa dan menyimpan pelbagai kenangan kepada kami semua. Ia pastinya menjadi sejarah yang akan dikenang sampai bila-bila.

“Setiap anggota akan melalui saat manis atau sukar sepanjang bergelar tentera. Begitu juga kami sejak menjejakkan kaki di kem ini sehingga meniti usia persaraan,” katanya.

Meskipun bangunan-bangunan di dalamnya akan hilang digantikan dengan bangunan komersil, pusat beli-belah dan perumahan moden, namun legasi yang ditinggalkan Kem Majidee ini akan tetap utuh dalam hati penduduk setempat dan bekas penghuninya.

SUMBER-KOSMO ONLINE 24.7.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan